Dr. Ali al-Qaradaghi telah memberikan pengisian mengenai Tafsir Surah al-Isra’. Walaupun sebelum ini saya sudah ada menulis berkaitan dengan Tafsir Surah al-Isra’, saya jujur katakan, bahawa pengisian tafsir dari Dr. al-Qaradaghi ini telah memberikan satu sudut yang baru bagi saya.
Pengisian ini telah beliau sampaikan pada 16 November 2023 di Dewan Megawati, Kompleks Kediaman Menteri Besar Selangor.
3 Syarat Kemenangan & Kehancuran Kali Pertama Buat Bani Israil
Di bahagian awal Surah al-Isra’ atau Surah Bani Israil, Allah SWT telah berfirman tentang 2 kehancuran yang Akan dilakukan oleh Bani Israel.
Bagi yang sudah biasa dengan pandangan para mufassirin moden seperti Sheikh Mutawalli al-Sya’rawi, Dr. Solah Abd al-Fattah al-Khalidi & Dr. Ahmad Naufal, pasti akan mengetahui tentang pandangan mereka tentang garis masa Kehancuran yang Pertama & Kehancuran yang Kedua.
Kehancuran yang Pertama berlaku dari bermulanya Rasulullah SAW diutuskan menjadi seorang rasul, sehinggalah Bangsa Yahudi telah diusir sepenuhnya dari Jazirah (Semenanjung) Arab pada Zaman Khalifah Omar al-Khattab RA.
Dr. Ali al-Qaradaghi telah senaraikan 3 syarat utama kemenangan bagi Hamba Allah SWT (عبادا لنا) yang soleh & kehancuran Bani Israil yang telah melakukan kerosakan yang melampaui batas (علوا كبيرا).
1- ‘Ubudiah:
Seorang hamba itu mestilah membersihkan dirinya dari segala kesyirikan & akhlak yang mazmumah serta hendaklah menyucikan dirinya dengan tauhid yang suci & segala akhlak yang terpuji.
Sheikh Ali bahkan telah memberikan satu kata azimat yang penting:
“قبل أن نحرّر الأقصى، لا بد أن نحرّر أنفسنا”
Sebelum kita hendak bebaskan al-Aqsa, kita seharusnya merdekakan diri kita!
2- Al-Tauhid:
Tauhid di sini bukan bermaksud tauhid akidah. Tetapi maksud di sini ialah kesatuan umat Islam. Nilai kesatuan dalam usaha membebaskan al-Aqsa adalah satu ciri yang amat penting.
Betapa sekarang ini rakyat Palestin dan Gaza amat-amat terseksa akibat tiadanya suara yang satu untuk membantu mereka.
Kita harus ambil iktibar dari Sejarah Salahuddin al-Ayyubi yang telah berusaha & berkorban segalanya demi menyatukan umat Islam yang pada ketika itu amat berpecah teruk.
Hasil usaha beliau yang gigih telah berjaya menyatukan umat Islam bermula dari Mesir hingga sampai ke seluruh kawasan Syam dan seterusnya kita dapat lihat dengan usaha ini, Salahuddin berjaya menakluk semula Baitul Maqdis dan mengambil semula Masjid al-Aqsa.
3- Al-Quwwah:
Di dalam Ayat 5 dari Surah al-Isra’, Allah SWT telah menyebut tentang ‘hamba-Nya yang gagah perkasa & menpunyai kekuatan ketenteraan’.
Maka, dapat difahami dari potongan ayat ini, kita sebagai orang yang bercita-cita untuk bebaskan al-Aqsa, seharusnya memenuhi setiap dari diri kita dengan segala ilmu, sama ada; ketenteraan, teknologi, perniagaan, ekonomi & segala macam ilmu.
Sejarah Islam juga telah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW & Para Sahabat RA telah memenuhi segala syarat-syarat yang disenaraikan di atas bahkan mereka adalah sebaik-baik contoh. Maka, mereka telah berjaya mendatangkan kehancuran ke atas Bani Israil.
Syarat Kemenangan & Kehancuran Kali Kedua Buat Bani Israil
Dr. Ali al-Qaradaghi dengan jelas nyatakan, Kehancuran Kedua buat Bani Israil adalah sepanjang masa yang kita saksikan ini yang sedang berlaku hangat di Gaza & Tebing Barat.
Mutakhir ini, IOF yang sangat kejam telah bertindak mengebom Sekolah al-Fakhoura bawah kelolaan PBB, Kem Nuseirat & Kem Jabalia secara serentak. Bahkan sejak awal lagi bila meletsunya Taufan al-Aqsa, IOF yang binatang telah mengebom sekolah-sekolah & hospital-hospital bahkan telah banyak melakukan kerosakan yang tidak terkira.
Oleh itu, di sini Dr. Ali al-Qaradaghi telah menambahkan SYARAT KE-4 bagi kemenangan & kebebasan al-Aqsa, iaitu: Kekuatan Media Sosial.
Dari mana di ambil istinbat & ijtihad yang segar ini.
Dari Ayat 7 dari Surah al-Isra’.
Yang bermaksud: ‘untuk memburukkan lagi wajah kalian (Bani Israil)’.
Ada pelbagai tafsiran di sini oleh Para Mufassirun.
Dr. Ali al-Qaradaghi tafsirkan di sini sebagai Kekuatan Media Sosial.
Ya, Media Sosial!
Bagaimana?
Kita perlu zahirkan segala kebobrokan, kezaliman, kejahatan & kebodohan Israel.
Supaya satu dunia tahu kejahatan mereka yang melampaui batas.
Ini adalah syarat untuk kebangkitan dan sekaligus kehancuran buat Bani Israil.
Sebarkan kejahatan mereka!
Bahkan, kita sesekali jangan memandang rendah terhadap kekuatan penulisan & sebaran kita di mana-mana platform di media sosial.
Di X, Instagram, WhatsApp, Telegram, Tik Tok & di serata media sosial yang wujud!
Thomas L. Friedman & Musuh Media Sosial
Pada 25 Oktober 2023, penulis prolifik asal Amerika Syarikat telah menulis sebuah makalah di portal The New York Times yang bertajuk: ‘Dari Perang 6 Hari kepada Perang 6 Penjuru’.
Beliau telah senaraikan ‘Unit Media Sosial’ antara 6 ‘Musuh’ Israel.
Walaupun di dalam makalah ini beliau telah menulis dengan naratif yang negatif tentang Media Sosial yang kuat memihak kepada Hamas, di sana ada maksud yang jelas, bahawa di ‘Penjuru Media Sosial’ ini, mereka sedang kalah dengan teruk.
Yakinlah bahawa kita semua di sini adalah aset yang penting dalam membantu Palestin dalam melawan kejahatan Israel.
Kita semua harus jangan lupa tentang kebobrokan & kehancuran yang sedang dilakukan oleh Bani Israil ke atas Bumi Palestin.
Kerana kebanyakan kita tidak ada kuasa diplomasi, kuasa tentera atau kuasa ekonomi.
Yang tinggal lagi bagi kita adalah untuk bersuara sekuat-kuatnya di serata platform Media Sosial.
Itulah kuasa kita yang ampuh.
Ustaz Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin Network