Adakah kalian tahu siapakah dia Sheikh Ahmad Yassin?

Al-Syahid Dr. Wael al-Zard, Al-Syahid Dr. Nizar Rayyan & Al-Syahid Sheikh Ahmad Yasin: Untaian Perjuangan Yang Bersambung

Dari kiri: Dr. Wael al-Zard, Sheikh Ahmad Yasin & Dr. Nizar Rayyan. Semuanya telah mulia dengan kesyahidan.

Sebelum penulis memulakan kisah indah kenangan antara Dr Nizar Rayyah dengan guru-nya Sheikh Ahmad Yasin, suka untuk penulis selitkan di sini bagaimana kami menemui kisah yang indah ini.

Pada 13 Oktober 2023, telah tular tentang berita Dr. Wael yang telah syahid, tular video persiapan jenazah beliau, jelas terpampang muka bersih, indah & mulia beliau. Seperti sedang tidur.

Sejak itu, ramai pemuda Gaza yang bercerita tentang, ‘Oh inilah guru yang telah mengajarkan kami al-Quran, yang telah mengajarkan kami solat!’.

Itulah definisi sebenar hidup mulia! Mati juga mulia dengan syahid!

Selepas itu, penulis juga terjumpa video ceramah Dr. Wael yang menceritakan pengalaman beliau bersama gurunya, Dr. Nizar Rayyan.

Kisahnya bermula apabila Dr. Wael bersama dengan Dr. Nizar menaiki kereta menuju ke suatu tempat. Sepertinya di sana ada satu pertemuan antara pemimpin utama Hamas.

Usai sampai tempat yang dituju, Sheikh Ahmad Yasin meminta Dr. Nizar menjadi pencatit minit mesyuarat.

Dr. Wael getus di dalam hati beliau, ‘Tak seharusnya Sheikh Ahmad Yasin meminta Dr. Nizar untuk menjadi pencatit!’.

Mengapa?

Kerana jika anda faham dengan sosok yang bernama Nizar Rayyan, mungkin anda akan faham dengan getusan hati Dr. Wael.

Dr. Nizar Rayyan

Sebagai pemula, Dr. Nizar Rayyan adalah seorang yang pakar dalam Ilmu Hadith. Seorang yang mempunyai tubuh badan yang tinggi, besar & gagah. Marahnya ditempiaskan dengan cara pergi ke kawasan sempadan Palestin-Israel untuk berjihad!

Jadi, tidak pelik Dr. Wael tergetus begitu!

Di dalam kereta, usai pertemuan mereka. Dr. Wael bertanya, ‘Kenapa engkau menerima tugasan yang tidak seberapa itu wahai Sheikh Nizar? Engkau turuti segala arahan mudah dari Sang Imam Ahmad Yasin?’.

Dr. Nizar Rayyan tersenyum manis kepada Dr. Wael.

Lalu beliau membalas: ‘Jika engkau tahu nilai sebenar Sheikh Ahmad Yasin, sudah tentu engkau tidak akan bertanya begitu pada-ku’.

Selepas itu, Dr. Wael al-Zard ada menyebut artikel utama kita ini tentang nilai & bagaimana pandangan generasi awal perjuangan Hamas & al-Qassam kepada sosok hebat Sheikh Ahmad Yasin ini.

Maka, kami menjemput dengan rendah hati kepada para pembaca budiman untuk meneruskan pembacaan artikel terjemahan ini di bawah.

Kenangan awal tentang keindahan Palestin

Dahulu, kami adalah kanak-kanak kecil di tanah air yang kami cintai ini.

Kami bermimpi tentang keindahan dan kesuburan tanah ini.

Kami sentiasa tertunggu-tunggu akan hikayat-hikayat nenek moyang kami mengenai Watan yang kami cintai ini.

Kami akan terngiang-ngiang apabila disebutkan setiap sumur, kemurahan hati dan perigi-perigi air.

Kami sayang akan keldai-keldai, unta-unta & segala haiwan peliharaan datuk kami.

Kami rindukan aroma Bunga Lili di ‘Asqalan (Ashkelon). Kami terkenang pengalaman memanjat Menara Masjid Nabi Robin pada musim buah anggur dan buah tin.

Kota Ashkelon yang kini kuat diserang roket Mujahidin al-Qassam. Asheklon Bumi Perjuangan.

Kami mimpikan kenangan bersantai bersama bapa kami pada musim luruh di bawah sinaran bulan yang indah. Sambil itu juga kami makan bersama makanan kegemaran kami, Haytaliyah.

Memang kami adalah kanak-kanak kecil yang punyai pelbagai kenangan indah yang termeterai di sebalik minda kami.

Namun, tanah air kami lebih mulia dan indah berbanding haruman Oren asli Yafa. Bahkan, Watan ini lebih indah daripada buah tin yang dipetik segar di pagi hari.

Kota Yafa (Jaffa) yang indah

Kami, kanak-kanak yang kecil & Palestin yang terjajah adalah sebuah dhamir yang besar, sangat besar. Bahkan, ianya lebih besar dari alam semesta yang samseng lagi mengganas.

Watan kami yang dijajah adalah lebih besar berbanding semua negara, bahkan Watan ini indahnya tidak terperi.

Yafa bagaikan pengantin yang disimbahi sinar matahari yang memancarkan sinar bak perak dan emas.

‘Asqalan mengingatkan orang tentang kepahlawanan Salahuddin al-Ayyubi.

Baitul Maqdis tersergam megah bagaikan kuda yang gagah.

Bisan, di sini tersimpannya haruman derupan kuda-kuda gagah perkasa sewaktu Perang Yarmouk & Mu’tah.

‘Akka, tempatnya melutut para penguasa yang taghut. Usamah Zaid yang masih belia menguasai kota indah ini.

Itulah Watan dari kacamata kami, kanak-kanak pelarian. Itulah Watan kami. Segala-segalanya.

Kenangan Buruk Menerpa

Wahai Palestin! Dulunya, kami adalah kanak-kanak. Namun, kebocahan kami tidaklah seperti kanak-kanak di tempat yang lain.

Kami terjaga dari lamunan seraya kedengaran rintihan yang disalut luka. Bibir kami kelu tidak berdaya untuk mengungkapkan apa-apa pun kenangan kami. Secara tiba-tiba hilanglah kenangan kami tentang tanah air, sumur & madu. Kami lupa apa itu tebu hitam yang lebih enak berbanding semua jenis tebu yang pernah wujud & buah zaitun yang mengalirkan minyak sebelum dituai.

Maka tidak semena-mena terbentuklah pula kenangan baru bagi kami, kanak-kanak kecil, tentang Palestin.

Watan yang terbentuk di atas bumbung simen dalam suasana kem pelarian yang diwarnai impian tinggi yang cerah.

Wahai Palestin! Kami adalah kanak-kanak kecil.

Wahai Palestin! Kekasih hati bagi semua umat Islam di serata tempat.

Impian indah kami wahai Watanku tercinta adalah untuk melihat-Mu dalam keadaan aman, sejahtera & dijulang tinggi.

Namun, secara tiba-tiba kegelapan data mencengkam dari pelbagai arah. Lantas menyusup masuk bersama segala ketakutan ke dalam jiwa kecil kami.

Kemudian, bom yang kejam itu jatuh menyebarkan maraknya di antara kami, merobek hati kami sedikit demi sedikit. Pandangan kami dibentangkan dengan kematian yang menyayat hati di pusara kem pelarian.

Hitam & gelap. Seperti malam yang pekat likat tiada cahaya.

Dan sekarang, sudah menjadi rutin harian kami untuk bersiar ke pusara bagi orang yang kami kasihi.

Mereka sentiasa berpesan hemat: “Wasiat kami adalah untuk usung semula jasad jenazah kami ke tanah air!”.

Selepas itu, hari-hari kami dipenuhi dengan pelbagai kecelakaan & kekalahan. Sehinggakan ia telah menjadi sebahagian dari kami. Sehinggakan apabila ambulan bulan sabit merah mendatangi membawa khabar duka & luka. Yang hanya terpacul dari mulut & keluh kesah kami hanyalah berkenaan rumah kami! Tanah kami! Kehidupan kami yang telah dirompak & dirobek!

Sosok Sheikh Ahmad Yasin

Tetapi, di suatu sudut di dalam Palestin, di dalam Masjid al-Abbas. Al-Imam Abu Muhammad al-Yasin berbisik perlahan kepada anak-anak & para pemuda yang disekelilingnya:

“Demi Allah! Kita akan perangi mereka (Zionis) bila tiba saatnya kita telah miliki satu senapang!’.

Pemuda disekeliling beliau kaget tak terkata. Fikiran mereka melayang menggambarkan sosok bengis Zionis penjajah yang sudah melekat di fikiran separa sedar mereka sejak berlakunya Pembunhan Deir Yasin yang kejam itu! Darah mereka yang tidak berdosa masih segar di mata mereka. Bagaimana mereka mahu membunuh Zionis yang binatang itu!

Al-Imam al-Yasin seakan-akan mengerti getusan hati kami, seraya beliau berkata:

“Generasi kita ini akan berperang hebat dengan Zionis! Sama ada mereka yang akan merampas segalanya dari kita. Atau kitalah yang akan mengambil semula, semua hak kita dari Zionis!”.

Perang ini tercetus dengan kehebatan yang berpihak kepada Negara (Haram) Israel. Lalu, terjadilah apa yang telah terjadi pada Perang Enam Hari (1967). Kesombongan Yahudi makin menjalar apabila mereka bernyanyi dan menari sambil terbakarnya Minbar al-Aqsa.

“Muhammad telah Mati! Dia hanya wariskan anak-anak perempuan!”, begitulah kata-kata yang dilaungkan oleh Moshe Dayan (Menteri Pertahanan Israel) & para tenteranya. Bahkan, mereka berpesta gembira di halaman luas antara al-Qubah al-Sakhrah & Masjid al-Aqsa, mereka melagakan gelas arak sesama mereka di dalam kawasan yang telah dibersihkan oleh Omar al-Khattab R.A dengan kainnya sendiri!

Bagaimana mahu aku mulakan peperangan kami pada permulaanya? Wahai Kesayanganku.

Pertempuran dengan penjajah pada ketika itu hanya bersimbolkan Kuffiyeh & Kain al-Jaljali.

Simbol yang kami pegang teguh pada waktu susah & senang itu telah dirobek dengan kasar oleh penjajah yang baju besinya melekat kuat bau tengik arak yang mereka minum pada hari raya mereka!

Pakaian tradisi & simbol kekuatan kami ini telah dicabut kasar dan digantikanlah pakaian wanita kami dengan pakaian bak model yang menyerlahkan lurah & lubang di sana & sini. Lantas, sifat mulia & kesucian yang menjadi kelaziman kami telah ditukar dengan budaya asing seperti, arak, lucah & pusat melepak. Natijahnya, kami benar-benar menjadi bangsa yang lemah.

Halangan Awal Generasi Pertama Didikan Sheikh Ahmad Yasin

Wahai anak-ku, ketahuilah, pertempuran ini bermula antara al-Imam al-Yasin dengan segala kebejatan yang berlaku di sekitar para pemuda Palestin yang kurang imannya.

Engkau bayangkan bagaimana Sheikh Ahmad Yassin mendidik kami, sedangkan di dalam masa yang sama masjid tidak dibenarkan untuk dibina, bahkan tempat mengopi, kedai arak & pawagam dibina dengan pesat dengan laju.

Gambar-gambar wanita yang berpakaian menjolokkan mata telah tersebar di kalangan kanak-kanak yang masih bersekolah rendah!

Pantai-pantai yang indah telah dicemari dengan kelab-kelab malam yang menggalakkan pemuda untuk berhibur tanpa had!

Di tengah kegawatan & kebejatan akhlak & moral inilah Sang Imam memulakan menanam biji benih bunga & menyemainya dengan wangian yang harum semerbak.

Tanaman ini telah disemai dengan sebaik Tatangan Tarbiah!

Usaha Hebat Tarbiah Sheikh Ahmad Yasin

Kau bayangkan bagaimana Sang Imam yang lumpuh hampir kesulurahan badan telah dipapah oleh salah seorang anak muridnya merantau ke rumah-rumah & lorong-lorong untuk menziarahi para pemuda.

Di setiap lawatan tarbiah ini beliau pasti akan mengangkat tangannya untuk menepuk bahu pemuda yang bakal menjadi pewarisnya.

Suaranya yang perlahan & lembut mendidik itu telah sampai ke pelosok Palestin. Beliau telah sampai untuk mentarbiah pemuda di Jabaliya, Rafah & Kem al-Syati’!

Jabaliya di Gaza yang kini hancur musnah akibat serangan bom penjajah IOF

Beliau telah menaiki kereta merantau sehingga ke Umm al-Nur (Umm al-Fahum di Tebing Barat) & Bi’r al-Sab’ (BeerSheba)!

Di setiap tempat persinggahan ini telah didirikan organasasi dakwah & telah diajarkan kepada para pemuda tentang Islam.

Namun, di dalam masa yang sama, ada juga anasir-anasir luar lagi asing yang telah berjaya meracuni para pemuda yang lain.

Perjuangan bagi generasi pengasas awal ini sungguh besar sekali.

Mereka membuka sebuah Madrasah Quran di dalam masjid, mengajar anak-anak Palestin cara membaca Surah Al-Anfal dengan mendalam, menenekan kepada mereka bahawa Surah Al-Anfal ini akan menjadi sebuah tujuan, dan tujuan ini akan menjadikan perjuangan ini menjadi lebih jelas.

Tujuan perjuangan kita ini akan merentasi melangkaui tanah ini sehingga sampai ke penduduk Fallujah di Iraq. Mereka akan menjulang & menyokong: ‘Jangan risau, Hamas!”. Di seluruh pelosok dunia, gadis-gadis menghiasi bilik mereka dengan imej Sheikh Imam Abu Muhammad Yasin.

Adalah satu perkara yang mengaibkan wahai anakku, jika kamu tidak tahu-menahu siapakah Sheikh Ahmad Yasin, anakku!

Adalah satu bentuk kekurangan jika kamu tidak bersama dengan perjuanag Sheikh.

Adalah sebuah bentuk kelalaian jika kamu tidak mengikutinya serta tidak menjadikan kerusinya sebagai lambang perjuangan bagi umat ini yang mana mereka akan menyeru: “Kami akan kembali (semula ke Tanah kami yang telah dirampas)! Kami akan kembali! Kami pasti akan kembali!”

Wahai guru-ku Abu Muhammad (Kuniyah Sheikh Ahmad Yasin), mungkin telah tiba masanya untuk engkau berehat, wahai guru-ku.

Engkau telah memikul beban ummah ini dari mula sehinggalah engkau telah dimuliakan Allah SWT dengan syahid.

Engkau terus menerus membimbing kami dengan tekad yang kuat.

Engkau mengajar kami untuk benci kelalaian

Engkau mengajarkan bagaimana malam itu seharusnya menjadi sekolah kerohanian bagi seorang mujahidin yang mengisi malamnya dengan qiam dan menunaikan solat

Engkau juga ajarkan kami bahawa seharusnya waktu siang menjadi sekolah bagi seorang mujahid untuk berpuasa & berzikir.

Betapa jelas kemarahan engkau ketika kami mengucapkan kata-kata selain jawpan azan tatkala azan berkumandang

Engkau juga memarahi & mendidik kami ketikamana kami berbisik tatkala azan berkumandang, kami berkata-kata dengan perkataan selain jawapan azan: ‘Allahu Akbar! Allahu Akbar!’.

Wahai guruku Abu Muhammad! Aku masih melihat sinar harapan yang memancar terik dari mata engkau, wahai guruku!

Aku yakin, sesungguhnya kemenangan akan datang, dan fajar gemilang hampir tiba.

Wahai guruku! Aku masih ingat lagi engkau didik kami dengan penuh harapan, engkau berusaha untuk buangkan kebosanan dari kami dengan menyeru kami untuk terus jalan ke hadapan!

Engkau berkata kepada kami: “Memulakan langkah pertama sentiasa sukar. Namun, langkah kalian pasti akan menderap laju bak orang yang lancar bergerak naik tangga dan akan terus melangkah!”.

Wahai guruku Abu Muhammad! Selama ini engkau mengajar kami tentang kehidupan.

Engkau mengajar kami bahawa Palestin akan kembali semula ke dalam dakapan kami. Hanya-sanya apabila generasi ini telah kembali sepenuhnya kepada Allah SWT.

Engkau telah menyeru dengan berkali-kali untuk imarahkan pembinaan masjid dan pusat pendidikan. Dengan cara ini, ia akan berjya membuka hati dan jiwa-jiwa manusia dengan rahmah serta disulami kefahaman.

Hari ini, kami telah mengerti segala ajaran & nasihat-Mu. Sedangkan engkau telah mulia dengan kehidupan yang abadi di sisi Tuhan-Mu (InsyaAllah).

Hari ini, Kami telah mengerti, wahai insan yang kami cintai dengan sepenuh hati dan jiwa!

Wahai zaitun yang minyak harumnya menerangi walaupun tidak disentuh api. Bagaimanalah jika api telah menyentuh minyak yang harum ini, tentu ia akan marak menyebar lantas membakar penjajah sehingga mereka pergi!

Di tanah kami, bukanlah tempat yang sesuai bagi orang yang asing dan manusia yang hina bak burung gagak!

Ini adalah tanah kami!

Moga Allah SWT angkat darjat Sang al-Imam al-Mujahid al-Muhaddith Nizar Rayyan
  • Al-Syahid al-Mujahid Prof. Dr. Nizar Abdul Qadir Rayyan telah syahid bersama empat isteri dan sebelas anak lelaki beliau, apabila rumahnya menjadi sasaran tentera penjajah Israel ketika perang meletus pada tahun 2009, ketika Operasi Cast Lead di Gaza.

Penulis: Al-Syahid Al-Mujahid Prof. Dr. Nizar Abdul Qadir Rayyan
Terjemahan: Ahmad Muntaha Zainal Bahrin | Anas Bad Latif

Total
0
Shares
Previous Post

Berpihaklah kepada yang menang, Israel akan hancur

Next Post

Kesatuan pejuang pembebasan Palestin

Related Posts

Taufan Al-Aqsa: Kita dari kelompok mana?

وَلَوۡ یَشَاۤءُ ٱللَّهُ لَٱنتَصَرَ مِنۡهُمۡ وَلَـٰكِن لِّیَبۡلُوَا۟ بَعۡضَكُم بِبَعۡضࣲۗ وَٱلَّذِینَ قُتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَلَن یُضِلَّ أَعۡمَـٰلَهُمۡ “Dan…
Read More