BDS Malaysia menggesa kerajaan mengharamkan operasi syarikat perkapalan Mediterranean Shipping Company (MSC) di Malaysia serta-merta atas dakwaan penglibatannya dalam penghantaran bahan ketenteraan kepada Israel.
Dalam satu kenyataan media, gerakan itu berkata beberapa kapal milik MSC termasuk MSC Maya dan MSC Patrix telah disasarkan oleh aktivis bersama Global Sumud Flotilla kerana dipercayai membawa senjata serta bahan yang digunakan tentera Israel.
Pada 20 April lepas, lebih 20 bot flotila terbabit telah menghalang kapal MSC Maya yang didakwa membawa bahan untuk kegunaan persenjataan Israel ketika dalam perjalanan ke pelabuhan Ashdod dan Haifa.
BDS Malaysia turut menyatakan MSC telah melakukan ratusan penghantaran pergi dan balik dari penempatan haram Israel di Tebing Barat, selain mengekalkan hubungan perkongsian kapal yang rapat dengan ZIM, syarikat perkapalan kargo Israel yang didakwa memainkan peranan penting dalam logistik ketenteraan rejim itu.
“MSC telah meneruskan penghantaran bahan ketenteraannya ke Israel walaupun menyedari sepenuhnya keputusan serta penemuan badan antarabangsa berkaitan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” menurut kenyataan itu.
BDS Malaysia berkata terdapat asas untuk menuduh MSC melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, antaranya susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 yang menyatakan terdapat risiko munasabah berlakunya genosid di Gaza.
Menurut kenyataan itu lagi, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki dalam laporannya bertarikh 16 September 2025 turut menyimpulkan Israel bertanggungjawab atas jenayah genosid di Gaza.
Selain itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 November 2024 dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap perdana menteri Israel dan menteri pertahanan ketika itu atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
BDS Malaysia berkata MSC kini mempunyai operasi yang meluas di Malaysia dengan pejabat di Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Sehubungan itu, gerakan berkenaan menyeru kerajaan mengambil tindakan segera seperti mana keputusan mengharamkan syarikat perkapalan Israel, ZIM, daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
“Kegagalan berbuat demikian berisiko menjejaskan objektif pengharaman ZIM dan boleh mendedahkan kerajaan sendiri kepada tuduhan bersubahat,” menurut kenyataan itu. – Dunia Palestin