Hamas beri amaran peningkatan rampasan tanah di Tebing Barat

Hamas memberi amaran mengenai peningkatan aktiviti penjajahan dan rampasan tanah oleh rejim Israel di Tebing Barat susulan pengeluaran arahan serta notis untuk merampas ribuan dunam tanah milik rakyat Palestin di wilayah Tubas dan Jenin.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, gerakan itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada rancangan pengilhakan dan pemindahan paksa yang menyasarkan tanah serta rakyat Palestin.

Menurut Hamas, keputusan berkenaan mencerminkan peningkatan berbahaya dalam dasar perluasan penempatan haram Israel dan usaha memaksakan realiti baharu di lapangan di Tebing Barat.

“Keputusan-keputusan ini merupakan peningkatan berbahaya dalam dasar perluasan penempatan haram dan usaha memaksa realiti baharu di lapangan di Tebing Barat, di tengah-tengah kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengekang penjajah Israel dan menghentikan rancangan-rancangan agresifnya,” menurut kenyataan itu.

Hamas turut menegaskan bahawa langkah menguasai tanah rakyat Palestin di bawah alasan keselamatan dan ketenteraan merupakan pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta serangan terhadap hak sejarah rakyat Palestin ke atas tanah mereka.

Gerakan itu menegaskan rakyat Palestin tidak akan melepaskan hak mereka walaupun berdepan pelbagai bentuk tekanan dan pengorbanan.

Dalam pada itu, Hamas menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat supaya terus mempertahankan tanah dan hak mereka serta memperkukuh segala bentuk penentangan terhadap dasar penjajahan Israel.

Hamas turut menggesa masyarakat antarabangsa dan pihak yang menyokong kebebasan di seluruh dunia agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan pencabulan tersebut serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan yang dilakukan terhadap rakyat dan tanah Palestin. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Abu Ubaidah: Pembunuhan pemimpin tidak akan melemahkan al-Qassam

Related Posts