Rejim penjajah Israel telah melanjutkan larangan terhadap Syeikh Ikrimah Sabri, khatib Masjid al-Aqsa merangkap Ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmaqdis, daripada memasuki masjid itu untuk tempoh enam bulan lagi.
Menurut Quds Press, Israel menyerahkan perintah lanjutan itu kepada peguam Syeikh Ikrimah, yang melarang tokoh agama Palestin itu memasuki Masjid al-Aqsa sehingga 19 April 2027.
Keputusan itu merupakan lanjutan terbaharu sekatan yang dikenakan terhadap beliau, yang dilarang memasuki masjid berkenaan sejak Ogos 2024.
Seorang pegawai dari pejabat Syeikh Ikrimah, yang enggan dikenali berkata Israel berulang kali melanjutkan larangan itu, dengan perintah terdahulu dijadualkan tamat pada Oktober.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Israel telah menahan Syeikh Ikrimah beberapa kali, selain mengeluarkan perintah yang mengehadkan akses beliau ke Masjid al-Aqsa dan melarangnya ke luar negara.
Beliau juga kini sedang dibicarakan atas tuduhan “hasutan”.
Israel sering mengeluarkan perintah melarang rakyat Palestin memasuki Masjid al-Aqsa untuk tempoh sehingga enam bulan, dengan sesetengah larangan dilanjutkan selepas tamat tempoh.
Keputusan terbaharu itu bermakna Syeikh Ikrimah akan terus dilarang memasuki Masjid al-Aqsa sekurang-kurangnya sehingga 19 April 2027, sekali gus melanjutkan sekatan yang menghalang beliau daripada melaksanakan tugas keagamaannya di lokasi berkenaan selama lebih dua tahun. – Dunia Palestin