Kelab Perwira Malaysia (Perwira) berjaya mengagihkan bantuan kira-kira 50,000 keping roti kepada penduduk di utara Gaza, di tengah-tengah pengeboman berterusan Israel di wilayah terkepung itu.
Dalam kenyataan, Perwira memaklumkan projek bantuan ini berjalan secara tiga fasa bermula 1 sehingga 31 Ogos ini.
“Alhamdulillah, hasil sumbangan semua pada Infaq Gandum Mega Fasa 1 pada 1 hingga 10 Ogos 2024, sukarelawan Perwira di utara Gaza telah berjaya mengagihkan bantuan roti sebanyak 50,000 keping bersamaan 10,000 orang penerima manfaat.
“Perwira melaksanakan projek ini dalam misi cegah kebuluran di kalangan penduduk yang terseksa dengan kekejaman Israel.
“Misi ini menyalurkan bantuan penyediaan makanan berupa roti setiap hari selama 31 hari sepanjang Ogos,” katanya.
Perwira menjelaskan, misi ini juga mahu menggalakkan masyarakat untuk berterusan menyumbang sebagai tanda kekuatan hubungan persaudaraan dengan rakyat Palestin.
Secara tidak langsung dapat kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap isu-isu kemanusiaan yang berlaku pada masa sekarang, katanya.
Kelab Perwira Malaysia merupakan sebuah platform bagi melahirkan barisan sukarelawan dan tenaga mahir serta bantuan keperluan asas dalam berhadapan bencana. – Ismaweb
*Sumbangan untuk projek Infaq Gandum Mega di Gaza boleh disalurkan melalui pautan ini: bit.ly/infaqgandumgaza