Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza bimbang berdepan kekurangan makanan susulan tindakan Israel menghentikan kemasukan barangan komersial selama lima hari berturut-turut, sekali gus mencetuskan kenaikan harga barangan keperluan asas.
Menurut laporan Al Jazeera, harga beberapa barangan termasuk telur, tepung dan bawang meningkat dengan ketara sejak Rabu lalu, menambah beban keluarga yang kehilangan sumber pendapatan akibat perang dan kemusnahan ekonomi.
Seorang penduduk Gaza, Ismail al-Barawi, berkata harga sekotak telur meningkat daripada 35 shekel kepada antara 60 hingga 70 shekel, manakala harga tepung turut melonjak sehingga menyukarkan keluarga mendapatkan bekalan mencukupi.
Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan Gaza menolak alasan Israel berhubung pertikaian bayaran perdagangan dan menuduh rejim itu menggunakan isu berkenaan untuk mengetatkan sekatan terhadap kemasukan barangan.
Pejabat itu turut menggesa masyarakat antarabangsa mendesak kemasukan 600 trak bantuan setiap hari bagi memenuhi keperluan penduduk Gaza.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata harga makanan di Gaza pada September 2026 secara purata 204 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum Oktober 2023. – Dunia Palestin