Mufti Besar Libya, Syeikh Sadiq al-Ghariani mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan Israel berusaha menjadikan Saddam Haftar, anak kepada komander tentera Libya timur, Khalifa Haftar, sebagai pemimpin negara itu. Beliau memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh mencetuskan konflik bersenjata.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi platform peribadinya, al-Ghariani mendakwa Washington dan Tel Aviv menyokong cita-cita politik Saddam Haftar sebagai sebahagian daripada usaha yang digambarkan sebagai penyelesaian kepada perpecahan politik dan institusi yang berlarutan di Libya.
Mufti Besar itu turut merujuk laporan mengenai kemungkinan pertemuan antara Saddam Haftar dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Abu Dhabi. Beliau menyifatkan pertemuan yang didakwa itu sebagai petunjuk kepada usaha mendapatkan sokongan antarabangsa untuk anak lelaki Haftar berkenaan.
Al-Ghariani mendakwa Saddam Haftar memiliki ciri-ciri yang dicari Washington dan Tel Aviv bagi seorang bakal pemimpin Libya. Beliau antaranya merujuk dakwaan bahawa Saddam Haftar memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat serta kesediaannya untuk memperjuangkan kepentingan AS dan Israel.
Beliau memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk melantik Saddam Haftar sebagai pemerintah Libya secara paksa boleh membawa negara itu kembali terjerumus dalam konflik bersenjata.
Kenyataan itu menyusul laporan media yang mendakwa Netanyahu dan Saddam Haftar mungkin telah mengadakan pertemuan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir September lalu, sebagai sebahagian daripada usaha anak lelaki Haftar itu untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan mendapatkan sokongan politik.
Laporan berkenaan sebahagiannya berdasarkan maklumat mengenai pergerakan pesawat yang diterbitkan akhbar Itali, Il Foglio, selain kenyataan seorang penganalisis politik Libya.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai pertemuan tersebut serta tuduhan bahawa Amerika Syarikat dan Israel menyokong cita-cita Saddam Haftar untuk memimpin Libya masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak-pihak yang terlibat. – Dunia Palestin