Hamas sedia laksana gencatan senjata tanpa syarat baharu

Hamas berkata perundingnya sedia melaksanakan gencatan senjata ‘segera’ dengan Israel di Gaza berdasarkan cadangan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini, tanpa syarat baharu mana-mana pihak.

Kumpulan pejuang Palestin itu, dalam satu kenyataan, berkata pasukan perundingan mereka, diketuai pegawai kanan Khalil al-Hayya, bertemu negara pengantara, Qatar dan Mesir pada Rabu.

Pertemuan itu diadakan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel di Doha untuk membincangkan perkembangan terkini di Gaza .

Hamas berkata mereka membincangkan ‘perkembangan berkaitan perjuangan Palestin dan pencerobohan di Semenanjung Gaza’ tanpa sebarang makluman sama ada perbincangan telah menghasilkan kejayaan.

Semasa satu-satunya jeda November lalu dalam perang 11 bulan sekarang, 105 tebusan dibebaskan ke Israel sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin di bawah perjanjian yang dibuat oleh negara pengantara.

Kenyataan terbaharu Hamas pada rabu mengulangi ‘kesediaan untuk pelaksanaan segera perjanjian gencatan senjata berdasarkan pengisytiharan Presiden AS, Joe Biden’.

Tekanan untuk perjanjian semakin meningkat selepas pihak berkuasa Israel mengumumkan kematian enam tebusan pada awal September apabila mayat mereka dikeluarkan dari terowong di Gaza.

Pelarian Palestin berdiri di halaman sebuah sekolah di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, selepas serangan udara Israel. – Foto AFP

Walaupun menghadapi tekanan antarabangsa untuk memuktamadkan perjanjian, Israel dan Hamas secara terbuka memberi isyarat berpegang teguh kepada pendirian mereka, sekali gus merencatkan proses rundingan gencatan senjata.

Namun kali ini. kumpulan pejuang itu mendakwa ia tidak meletakkan sebarang tuntutan lanjut kepada perunding dan pada masa yang sama ‘menolak sebarang syarat baharu perjanjian itu daripada mana-mana pihak’.

Rundingan setakat ini gagal mencapai kesepakatan untuk menamatkan perang selama 11 bulan itu. Isu berlarutan termasuk kawalan koridor Philadelphi, kawasan sempit di sempadan Gaza dengan Mesir, masih berterusan.

Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns, yang juga ketua perunding AS mengenai Gaza, berkata pada Sabtu bahawa cadangan gencatan senjata yang lebih terperinci akan dibuat dalam beberapa hari akan datang.

Cadangan sebelum ini, yang dikemukakan Biden pada Jun, mengesyorkan gencatan senjata tiga fasa sebagai balasan kepada pembebasan tebusan Israel.

Perang di Gaza bermula selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober membunuh 1,200 orang dan mengambil kira-kira 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.

Serangan balas Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 41,084 rakyat Palestin dan mencederakan 95,029 yang lain, kata kementerian kesihatan Gaza. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ketua PBB: Pembunuhan dan kemusnahan di Gaza yang terburuk pernah dilihat

Next Post

Israel tawar ‘laluan selamat’ pada Yahya Sinwar untuk tamatkan perang

Related Posts