Rejim pengganas Israel mencadangkan memberi ‘laluan selamat’ keluar dari Gaza kepada pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Yahya Sinwar sebagai pertukaran untuk membebaskan tebusan yang dipegangnya dan melepaskan kawalan ke atas jalur itu, kata seorang pegawai kanan rejim.
“Saya bersedia memberikan laluan selamat kepada Sinwar, keluarganya, sesiapa sahaja yang mahu menyertainya,” kata utusan tebusan Israel, Gal Hirsch dalam satu wawancara di Bloomberg News Washington.
“Kami mahu tebusan kembali. Kami mahukan demilitarisasi, de-radikalisasi sudah tentu — sistem baharu yang akan menguruskan Gaza.”
Hirsch mengulangi bahawa Israel juga akan bersedia untuk membebaskan tahanan yang dipegangnya sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian.
Hirsch menyifatkan tawaran itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghasilkan penyelesaian baharu memandangkan prospek gencatan senjata kelihatan semakin malap.
Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir sedang berusaha untuk membentangkan cadangan gencatan senjata baharu kepada Israel, tetapi Hirsch berkata, Hamas setakat ini berusaha untuk menentukan syarat dan bukannya berunding.
Tidak jelas sama ada Hamas akan menerima cadangan untuk Sinwar meninggalkan Gaza, terutamanya memandangkan sejarah operasi Israel yang menyasarkan pemimpin di luar negara.
Tambahan lagi, Israel melihat Sinwar sebagai dalang serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang Israel di Gaza, dan beliau dianggap simbol perjuangan bersenjata Palestin.
Seperti yang pernah dinyatakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada masa lalu, Hirsch membandingkan Sinwar dengan Hitler.
Lagi menambah keraguan mengenai idea laluan selamat, Hirsch berikrar akan melaksanakan apa yang dipanggilnya sebagai ‘tindak balas kejadian Munich’ untuk menyasarkan mereka yang membunuh enam tebusan Israel pada akhir Ogos.
Itu merujuk kepada kempen pembunuhan selama bertahun-tahun yang dilancarkan Israel selepas pembunuhan 11 atlet Israel pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
“Akan ada harga untuk pembunuhan ini,” kata Hirsch mengenai kematian tebusan baru-baru ini. – Ismaweb