Hamas: Masa depan Palestin perlu diputuskan oleh seluruh rakyat

Hamas menegaskan bahawa masa depan Palestin perlu diputuskan oleh seluruh rakyat Palestin menerusi proses politik yang inklusif dan pilihan raya demokratik, kata Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim di Astro Awani.

Beliau berkata Hamas menyeru agar satu perbincangan meja bulat diadakan melibatkan semua kumpulan Palestin, termasuk PLO bagi membentuk satu suara nasional yang bersatu dalam menentukan struktur pemerintahan negara itu pada masa depan.

“Hamas membayangkan sebuah negara sivil yang dibina atas asas demokrasi dan pilihan raya yang bebas serta telus, dan kami bersedia menghormati apa jua keputusan yang dibuat rakyat,” katanya dalam satu wawancara bersama Astro Awani.

Mengulas mengenai pilihan raya majlis perbandaran di Tebing Barat dan Deir al-Balah di Gaza, Naim berkata Hamas tidak mengambil bahagian secara rasmi kerana calon-calonnya berdepan risiko dibunuh oleh rejim Zionis Israel.

Beliau turut menegaskan bahawa perpindahan besar-besaran rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel menjadikan pilihan raya tempatan ketika ini tidak boleh dianggap sebagai ukuran sebenar sokongan atau populariti politik mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Naim mendakwa Hamas sebelum ini telah menawarkan untuk menyerahkan pentadbiran di Gaza kepada sebuah jawatankuasa teknokratik sebagai langkah peralihan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Israel sengaja menghalang usaha tersebut bagi mengekalkan naratif bahawa Hamas enggan melepaskan kawalan ke atas Gaza.

Menurut beliau, sebarang penyelesaian politik yang berkekalan memerlukan perpaduan nasional Palestin dan penghormatan terhadap hak rakyat untuk menentukan masa depan mereka sendiri. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Delegasi pimpinan Hamas tamatkan lawatan rasmi ke Malaysia

Related Posts