Israel tahan hasil kutipan cukai milik Palestin, potong dana AS$200 juta

Israel memutuskan untuk sekali lagi menahan hasil kutipan cukai milik Pihak Berkuasa Palestin (PA), serta memotong dana kira-kira AS$200 juta pada bulan ini, sekali gus memburukkan lagi krisis kewangan yang dihadapi pihak berkuasa berpangkalan di Ramallah itu, lapor Anadolu.

Menurut kenyataan pejabat Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, sebahagian besar hasil cukai yang dikutip Israel bagi pihak PA pada bulan ini telah dipotong untuk melangsaikan bil tertunggak.

“Daripada jumlah keseluruhan lebih 740 juta shekel (AS$248 juta) yang dikutip bulan ini, potongan besar berjumlah sekitar 590 juta shekel (AS$197.7 juta) telah dibuat,” menurut kenyataan itu.

“Ia disalurkan untuk menampung hutang terkumpul PA kepada Israel Electric Corporation, syarikat utiliti air dan badan alam sekitar,” tambah kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, baki dana yang tinggal telah dibekukan dan tidak dipindahkan sebagai sebahagian daripada dasar yang diterajui Smotrich sejak tahun lalu “sebagai bantahan terhadap langkah-langkah yang diambil PA terhadap Israel di institusi antarabangsa.”

Hasil kutipan cukai merujuk kepada cukai yang dikenakan ke atas barangan yang diimport ke kawasan Palestin, sama ada dari Israel atau melalui pintu sempadan yang dikawal Tel Aviv, yang dikutip Israel bagi pihak Pihak Berkuasa Palestin. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Masa depan Palestin perlu diputuskan oleh seluruh rakyat

Related Posts