Tentera penjajah Israel telah memintas bot-bot yang berlayar bersama Global Sumud Flotilla (GSF) dengan menggunakan dron, teknologi gangguan komunikasi serta pasukan serbuan bersenjata untuk menghentikan armada bantuan kemanusiaan itu di tengah Laut Mediterranean, lapor Al Jazeera memetik penganjur dan media Israel.
“Misi bantuan GSF menyatakan bahawa bot kami telah dihampiri oleh bot laju tentera yang mengenalkan diri sebagai ‘Israel’, sambil menghalakan laser dan senjata serangan separa automatik, serta mengarahkan peserta ke bahagian hadapan bot dan supaya berlutut dengan tangan di atas kepala,” menurut kenyataan GSF pada Khamis.
“Bot tentera Israel telah mengepung flotila secara haram di perairan antarabangsa dan mengancam penculikan serta keganasan,” kata flotila itu dalam satu hantaran di media sosial.
“Komunikasi dengan 11 kapal telah terputus dan media Israel mendakwa bahawa tujuh bot telah dipintas. Kerajaan-kerajaan mesti bertindak segera untuk melindungi flotila ini.”
Radio Tentera Israel memetik sumber Israel sebagai berkata bahawa Israel telah mula mengambil alih kapal-kapal bantuan yang menuju ke Gaza, dan bahawa tujuh daripada 58 kapal flotila itu telah dirampas berhampiran pulau Crete di Greece. – Dunia Palestin