Skala kemusnahan yang besar di Gaza dengan kematian hampir 41,600 orang sejak setahun lalu, mendedahkan wajah sebenar Israel kepada dunia.
Penyelidik Yayasan Al Quds Malaysia, Dr Belal Al-Akhras, berkata selama bertahun-tahun, pihak berkuasa Israel cuba menutup jejak pendudukan mereka, dengan memutar belitkan sejarah, terutama peristiwa pengusiran besar-besaran rakyat Palestin pada 1948.

Katanya, tidak cukup dengan helah kotor mereka, Israel juga berjaya mengelak daripada pengawasan antarabangsa, selain turut mengetepikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
“Matlamat Israel adalah untuk mengasingkan rakyat Palestin daripada dunia, membiarkan mereka sendirian dalam kesunyian.
“Pendekatan itu semakin diperhebatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila Israel menormalisasikan hubungan dengan beberapa kerajaan serantau dan mengambil langkah memperkukuh kedudukannya pada peringkat global, antaramya Koridor Ekonomi India-Asia Barat-Eropah, yang meletakkan Israel sebagai hab pusat menghubungkan benua,” katanya kepada BH, hari ini.
Menjelang ulang tahun tercetusnya perang antara Israel-Palestin, hari ini, Israel dilaporkan meletakkan pasukan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga.
Ketika dunia memperingati tempoh setahun sejak bermulanya genosid Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, gelombang solidariti melanda seluruh dunia, menyatukan rakyat dan gerakan akar umbi dalam mengecam kekejaman regim Yahudi ke atas rakyat Palestin.
Belal berkata, Israel menjadi kuasa yang menggugat kestabilan, menjalankan serangan di seluruh Asia Barat dan meningkatkan permusuhan dengan negara lain seperti Lubnan serta Yaman dengan pembunuhan beramai-ramai yang sedang diperluas.
“Pendirian Israel yang tidak berkompromi dan mentaliti merosakkan diri sendiri menunjukkan masa depan yang suram, sama dengan kuasa kolonial yang gagal,” katanya.
Belal berkata, ketika ini, Gaza berdepan pelbagai sekatan melalui laut, udara, dan darat.
Katanya, lebih membimbangkan, Israel secara beransur-ansur menempatkan 700,000 penduduk haram dan lebih 350 penempatan di Tebing Barat.
“Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa menjadi tumpuan usaha untuk menghapuskan kehadiran Palestin, Islam, dan Kristian bandar itu,” katanya.

Katanya, Israel gagal mencapai objektifnya untuk memusnahkan Hamas dan Palestin serta mendapatkan semula tawanan.
“Sebaliknya, mesin perang Israel secara sistematik menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam, melakukan pembunuhan beramai-ramai, termasuk 17,000 kanak-kanak dan merosakkan lebih 60 peratus unit kediaman.
“Konflik ini mendedahkan kelemahan dalaman Zionis. Lebih daripada setengah juta rakyat Israel meninggalkan negara itu selepas 7 Oktober tahun lalu, dengan ramai tidak kembali,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kesan peperangan ke atas Israel, Belal berkata, kira-kira 13 peratus penduduk Yahudi Haredi, menolak perkhidmatan ketenteraan.
Katanya, lebih memburukkan seramai 10,000 askar Israel terbunuh atau cedera di medan perang.
“Beban ekonomi sangat berat, dengan kos perang melebihi AS$67 bilion, lebih 46,000 syarikat ditutup dan penarafan kredit yang berulang kali diturunkan.
“Perang ini juga merosakkan kredibiliti sekutu Barat membabitkan ketertiban antarabangsa, menjauhkan mereka daripada pendapat awam global dan menjejaskan hubungan dengan negara yang menentang pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya.
Belal berkata, dunia sedang menyaksikan peristiwa penting dalam perjuangan untuk mendapatkan keadilan dan keperluan mendesak bagi menentang pembunuhan beramai-ramai.
Katanya, kegagalan dunia menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu menetapkan duluan berbahaya untuk konflik global, rakyat dan kerajaan.
“Dunia perlu meningkatkan pembabitan mereka dan menyokong perjuangan Palestin dengan tindakan, bukan sekadar omongan dan mengambil pendirian umum,” katanya. – Berita Harian