Jurucakap Hamas, Hazem Qassem menegaskan para tahanan Palestin kini berada dalam fasa paling berbahaya dalam sejarah gerakan tahanan, susulan apa yang mereka hadapi termasuk penyeksaan fizikal dan mental, kebuluran serta jenayah rogol. Beliau turut memberi amaran mengenai implikasi kelulusan undang-undang hukuman mati terhadap tahanan.
Dalam ucapannya semasa perhimpunan solidariti di Gaza hari ini sempena Hari Tahanan Palestin, Qassem menegaskan bahawa walaupun sedang berdepan genosid, kemusnahan dan kebuluran, Gaza akan terus kekal memainkan peranan penting dalam perjuangan nasional Palestin, khususnya dalam mempertahankan isu tahanan.
Menurut beliau, kira-kira satu juta rakyat Palestin pernah dipenjarakan oleh Zionis sepanjang beberapa dekad lalu, namun keadaan ketika ini dianggap paling berbahaya, terutama dengan dasar baharu yang menyasarkan tahanan, termasuk cadangan undang-undang hukuman mati dan peningkatan layanan kejam di dalam penjara.
Qassem menyeru supaya lebih banyak program, perhimpunan dan gerakan rakyat diadakan di semua lokasi terdapatnya rakyat Palestin khususnya di Gaza, Tebing Barat, wilayah Palestin yang dijajah dan diaspora, bagi memberi tekanan kepada penjajah supaya menghentikan jenayah terhadap tahanan dan membatalkan undang-undang tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa perhimpunan solidariti di Gaza yang disertai pelbagai kumpulan, kabilah dan organisasi masyarakat sivil menunjukkan perpaduan rakyat Palestin walaupun sedang berdepan penderitaan yang besar. Menurutnya, isu tahanan mesti terus diberi perhatian melalui strategi rasmi Palestin yang lebih berkesan.
Selain itu, Qassem menggesa pihak berkuasa Palestin, khususnya Presiden Mahmoud Abbas, supaya menarik balik keputusan berkaitan elaun tahanan. Beliau memberi amaran bahawa dasar itu akan menyebabkan kehidupan keluarga tahanan turut susah, selepas tahanan sendiri berdepan kebuluran di penjara. Beliau menekankan kepentingan membantu keluarga tahanan bagi menguatkan ketabahan mereka.
Qassem turut menjelaskan bahawa pihak muqawamah di Gaza telah banyak berusaha membantu pembebasan tahanan, khususnya melalui perjanjian pertukaran tahanan, termasuk semasa pertempuran Taufan al-Aqsa. Beliau menyeru agar usaha tekanan dan penentangan diteruskan di pelbagai medan bagi memastikan tahanan dapat dibebaskan. – Dunia Palestin