Doktrin meruntuhkan Masjid al-Aqsa: Perkaitan Zionis Kristian dan Yahudi

Selama lebih sebulan, para jemaah Muslim telah dihalang daripada memasuki Masjid al-Aqsa – satu penutupan yang mencabar teras identiti Baitulmaqdis dan mengancam salah satu tapak paling suci dalam Islam. Di tengah krisis ini terletak pertembungan ideologi Zionis Yahudi dan Zionis Kristian, di mana cita-cita politik dan fanatisme agama saling berkait, sekali gus mengancam untuk membentuk semula masa depan kemanusiaan.

Akar idea

Tradisi Yahudi mengaitkan pembinaan semula kuil dan pengumpulan terakhir orang Yahudi di Palestin dengan kedatangan Messiah (Mashiach), yang akan menghimpunkan kembali kelompok Yahudi yang tercerai-berai serta membina “Kuil Ketiga”.

Secara sejarah, ramai Yahudi beragama menolak kepercayaan Zionis sekular moden ini, dengan menegaskan bahawa ia mesti berlaku melalui campur tangan Ilahi dan bukan sebelum era “mesianik”. Namun, pembentukan negara-bangsa moden “Israel” oleh gerakan Zionis sekular telah melahirkan aliran pemikiran ekstremis yang menegaskan bahawa penebusan (redemption) mesti direka secara aktif oleh tangan manusia.

Agenda mereka kini tidak lagi tersembunyi: gerakan yang dahulunya dianggap pinggiran telah menembusi arus perdana politik Israel, memperoleh pengaruh di peringkat kuasa tertinggi. Dalam trajektori ini, penjajah meletakkan asas untuk menjadikan perobohan Masjid al-Aqsa dan pembinaan “Kuil Ketiga” sebagai simbol yang menjadi teras kepada identiti kolektif Israel.

Zionisme Kristian

Zionisme Kristian – khususnya dalam kalangan fundamentalis evangelikal – mempromosikan tafsiran literal terhadap Injil, yang membayangkan kembalinya orang Yahudi ke Palestin, penubuhan sebuah negara (Yahudi) dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, serta pembinaan kuil di tapak Masjid al-Aqsa sebagai pendahulu kepada kedatangan semula Nabi Isa (Jesus).

Berasal dari Protestan Eropah jauh sebelum kemunculan Zionisme Yahudi, teologi ini berpusat pada ramalan Armageddon – pertempuran dahsyat antara kuasa yang dianggap sebagai kebaikan (Israel dan Zionis Kristian) dan kejahatan (umat Islam) – yang membawa kepada pemusnahan golongan yang tidak beriman, dan menurut ramalan tersebut, termasuk dua pertiga orang Yahudi sendiri.

Doktrin ini telah tersebar secara meluas, khususnya di Amerika Syarikat, di mana ia menjadi asas kepada sokongan politik yang tidak berbelah bahagi terhadap dasar luar serta lobi politik yang memihak kepada Israel.

Pertembungan dan pakatan

Idea sebuah negara penampan Yahudi di Palestin sebenarnya muncul dalam pemikiran Zionis Kristian sebelum Zionisme Yahudi. Dari Britain abad ke-19 hingga Amerika Syarikat hari ini, Zionisme Kristian telah menyediakan perlindungan ideologi serta sokongan Barat, sekali gus menyingkirkan halangan terhadap apa yang dianggap sebagai pemenuhan ramalan.

Langkah-langkah mutakhir – seperti pengiktirafan Amerika Syarikat terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan pelan damai 2020 yang digelar “Deal of the Century” – menggambarkan kesinambungan penjajaran ini.

Sepanjang dua dekad lalu, Zionis Yahudi yang beragama telah mengukuhkan pakatan mereka dengan Zionisme Kristian, memanfaatkannya untuk mempercepat proses peyahudian Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis. Apa yang bermula sebagai pencerobohan sporadik telah berkembang menjadi kempen ibadah yang diritualkan, dengan pembahagian masa dan ruang di dalam masjid. Kini, al-Aqsa ditutup sepenuhnya atau dibuka semula hanya mengikut syarat Israel — satu langkah penentu ke arah “Kuil Ketiga” yang dibayangkan.

Kerjasama ini turut dizahirkan melalui projek “lembu merah”: meskipun terdapat larangan rabai yang berpunca daripada kebimbangan mengenai ketidak-sucian ritual, golongan evangelikal Amerika telah membiayai kejuruteraan genetik lembu merah bagi membolehkan pelaksanaan ritual penyucian Yahudi serta kemasukan beramai-ramai ke al-Aqsa, sekali gus memajukan persiapan pembinaan kuil tersebut.

Penting untuk diperhatikan bahawa pakatan ini bukan berasaskan hubungan kasih sayang bersama. Secara sejarah, Zionisme Kristian muncul daripada kerangka yang melihat orang Yahudi sebagai instrumen dalam naratif kehancuran dunia yang lebih luas, bukannya sebagai rakan dalam kepercayaan.

Namun, Zionisme Yahudi semakin memanfaatkan sokongan ini sebagai elemen penting dalam projek politiknya, manakala Zionis Kristian melihatnya sebagai cara untuk mempercepatkan pemenuhan ramalan akhir zaman. Hasilnya ialah satu pertembungan yang didorong oleh matlamat politik dan agama yang dikongsi – satu usaha untuk mempercepatkan pemenuhan ramalan melalui tindakan manusia.

Perbezaan asas

Bagi Zionis Yahudi, kuil melambangkan pemenuhan perjanjian Ilahi dengan “bangsa terpilih” – manifestasi tertinggi takdir nasional mereka. Namun bagi Zionis Kristian, ia hanyalah batu loncatan dalam ramalan akhir zaman yang berakhir dengan kemusnahan kedua-dua orang Yahudi dan umat Islam. Justeru, orang Yahudi dicatur menjadi bidak dalam drama eskatologi yang lebih besar dan ditakdirkan berdepan pemusnahan dalam bencana dahsyat yang lebih besar daripada Holocaust.

Zionis Yahudi tidak buta terhadap kemungkinan pengakhiran ini, namun kuil tetap dianggap sebagai pencapaian kemuncak aspirasi nasional dan agama mereka. Kedua-dua gerakan memanipulasi teks suci untuk membenarkan cita-cita masing-masing, tetapi visi akhir mereka berbeza secara ketara – menyingkap satu pakatan yang terbina atas kepentingan bersama yang bersifat sementara, bukannya takdir yang benar-benar dikongsi.

Daripada teologi kepada politik

Apa yang dahulunya sekadar aspirasi teologi yang jauh kini telah terealisasi menjadi projek politik sepenuhnya. Doktrin meruntuhkan Masjid al-Aqsa telah beralih daripada spekulasi eskatologi kepada lapangan dasar antarabangsa. Kuasa-kuasa Barat – terutamanya Amerika Syarikat – telah mengambil pendirian yang mencerminkan teologi Zionis Kristian, dengan menyediakan perlindungan diplomatik serta sokongan ketenteraan bagi mengukuhkan cengkaman Israel ke atas Baitulmaqdis dan Palestin.

Percantuman antara teologi dan politik ini membawa implikasi global: Baitulmaqdis tidak lagi sekadar isu Palestin atau umat Islam semata-mata, tetapi menjadi pusat pertembungan berskala dunia, di mana semangat Zionis bertembung dengan geopolitik kolonial. Di tengah-tengah perjuangan ini berdiri Masjid al-Aqsa – bukan sekadar sebuah tempat suci yang dipertikaikan, tetapi simbol identiti, kedaulatan, dan masa depan seluruh rantau tersebut.

Kesimpulan

Doktrin meruntuhkan Masjid al-Aqsa mendedahkan gabungan paling berbahaya antara agama yang dipolitikkan: teologi Zionis Kristian ekstrem yang saling berkait dengan nasionalisme penjajahan Yahudi. Ia menunjukkan bagaimana sesuatu yang bermula sebagai spekulasi eskatologi telah berubah menjadi projek politik yang terselaras, disokong oleh kuasa negara dan pakatan antarabangsa – dengan Masjid al-Aqsa berada di tengah-tengah pertarungan ini.

Dalam konteks ini, penggunaan nama Operasi Taufan al-Aqsa oleh rakyat Palestin bukan sekadar slogan, tetapi gambaran suatu perjuangan yang bersifat kewujudan. Mempertahankan al-Aqsa bererti mempertahankan mercu tertinggi iman, maruah, dan keadilan. Memastikan perlindungannya bukan sahaja untuk memelihara masjid tersebut dan identiti kolektif Ummah (komuniti Islam), tetapi juga penting bagi menghalang fanatisme agama daripada menjadikan Baitulmaqdis sebagai pusat projek kehancuran dunia, sekali gus melindungi kemanusiaan daripada risiko bencana dan kekacauan berskala global.

Khalid El-Awaisi
Profesor dalam bidang Pengajian Baitulmaqdis dan Sejarah Islam di Social Sciences University of Ankara

Diterjemah oleh Dunia Palestin dari laman web Anadolu Ajansı.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas tuntut pengantara bertindak terhadap pelanggaran Israel

Next Post

Hamas: Tahanan Palestin hadapi fasa paling berbahaya dalam sejarah

Related Posts