Israel buat pertama kali mengakui bahawa sistem pertahanannya gagal memintas sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Yaman dan menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv, mengakibatkan tujuh orang cedera serta menghentikan operasi trafik udara.
Israel bergantung kepada dua sistem pertahanan paling canggih di dunia—Arrow (Hetz) buatan tempatan dan THAAD buatan Amerika Syarikat—namun kedua-duanya gagal menghalang serangan tersebut, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa Israel.
Insiden ini mencetuskan perbincangan meluas mengenai kemampuan sebenar sistem pertahanan udara Israel yang selama ini dianggap paling hebat di rantau itu.
Penganalisis ketenteraan Kuwait, Faisal Al-Hajri, ketika bercakap kepada agensi Anadolu menjelaskan kekangan teknikal sistem radar pertahanan Israel.
“Radar pertahanan udara menggunakan sistem pemancar untuk menghantar gelombang dan sistem penerima untuk mengesan gelombang yang dipantulkan,” katanya. “Apabila gelombang mengenai sasaran di udara, ia dipantulkan semula ke radar dan dipaparkan pada skrin untuk dipintas.”
Beliau menambah bahawa sistem ini direka untuk mengesan pesawat yang mempunyai keratan rentas radar (RCS) lebih besar, sedangkan peluru berpandu balistik yang lebih kecil sering tidak menghasilkan isyarat pantulan yang jelas, menjadikan skrin radar kosong.
Al-Hajri turut menjelaskan bahawa peluru berpandu balistik jarak jauh seperti yang digunakan oleh pihak Houthi biasanya membawa kepala peledak lebih kecil demi mencapai sasaran yang lebih jauh, sekaligus mengurangkan kesan kemusnahan fizikal.
“Serangan ke atas Ben Gurion hanya menyebabkan kemusnahan terhad kerana kepala peledak yang kecil dan sistem navigasi peluru berpandu yang tidak tepat. Maka, impaknya lebih bersifat psikologi berbanding ketenteraan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sistem pertahanan radar Israel yang dibina khusus untuk menangkis ancaman pesawat, sukar mengesan peluru berpandu berkelajuan tinggi.
Tentera Israel mengakui bahawa sistem Arrow dan THAAD gagal memintas peluru berpandu yang jatuh di kawasan terbuka berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion, mencederakan tujuh orang dan menghentikan trafik udara selama sejam.
Namun kenyataan tentera selepas itu menyebut: “Penemuan awal tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada sistem pengesanan, pemintasan, atau mekanisme amaran Home front Command.”
Menurut penilaian tersebut, “kemungkinan besar insiden berpunca daripada isu teknikal pada peluru pemintas yang dilancarkan terhadap peluru berpandu tersebut.”
Tentera sebelum itu melaporkan bahawa peluru berpandu dikesan selepas siren berbunyi di seluruh Israel, selepas cubaan pemintasan yang gagal.
Jurucakap Houthi, Yahya Saree dalam kenyataan televisyen mendakwa bahawa kumpulan itu melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik ke arah lapangan terbang dan “berjaya mengenai sasaran” sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan sebagai tindak balas terhadap genosid Israel di Gaza.
Sebelum ini, kumpulan Houthi telah beberapa kali mendakwa melancarkan serangan seumpama itu, namun ini merupakan kali pertama Israel mengakui peluru berpandu tersebut benar-benar mengenai sasarannya.
Trafik udara terhenti, dengan beberapa pesawat terpaksa berlegar di udara sebelum dibenarkan mendarat, dan sembilan syarikat penerbangan termasuk dari Switzerland, Austria, Australia dan India membatalkan penerbangan ke Tel Aviv, menurut akhbar harian Yedioth Ahronoth.
Sejak pertengahan Mac, Yaman berdepan kempen ketenteraan intensif oleh Amerika Syarikat, termasuk sekitar 1,300 serangan udara dan laut yang menyebabkan ratusan kematian dalam kalangan orang awam, menurut pihak Houthi.
Kumpulan itu turut menyasarkan kapal-kapal yang melalui Laut Merah dan Arab, Selat Bab al-Mandab, dan Teluk Aden sejak November 2023 sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini menderita akibat serangan Israel selama lebih 19 bulan.
Serangan Houthi dihentikan apabila gencatan senjata di Gaza diumumkan pada Januari antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas tetapi disambung semula selepas Israel melancarkan semula serangan udara pada Mac.
Di Rafah, Gaza selatan, tentera Israel terus merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin secara sistematik dengan sokongan tembakan dari helikopter penyerang, menurut saksi.
Lebih 52,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November lalu telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang ke atas wilayah tersebut. – Anadolu