Sejak kebelakangan ini, Israel seolah-olah terdesak melanggari garis-garis merah, yang merupakan “card-card” terakhir mereka dalam percaturan politik.
Mereka memilih untuk menghapuskan pemimpin nombor satu yang menjadi ancaman kepada sempadan selatan dan utara mereka iaitu, Ismail Haniyeh, Hamas di Gaza, dan Hassan Nasrallah, Hezbollah di Lubnan. Mengapa Israel sudah begitu terdesak?
Satu sudut yang menjadi kupasan ramai pihak adalah, Israel sudah terdesak untuk segera menamatkan perang kerana keadaan ekonomi dan politik mereka sudah tidak stabil. Begitu juga analisa yang mengatakan ini sebagai talian hayat Netanyahu. Itu juga satu faktor.
Tetapi faktor lain yang dimahukan Israel, adalah melakukan “provokasi-strategik” skala tinggi yang mahu mengheret “Axis-of Resistance” segera ke dalam kancah perang serantau. Jika Iran masih berdegil , mereka akan menyasarkan secara terus Ayatollah Ali Khamenei.
Ada analisa mengatakan bahawa tindakan ini untuk melemahkan Iran, tetapi saya berpandangan sebaliknya. Ini juga satu tindakan secara tidak langsung untuk menguatkan musuh berkepentingan mereka iaitu Iran. Apa yang Iran akan lakukan untuk menjadi kuat? Iran akan meminta pertolongan daripada Rusia, dan mobilisasi keseluruhan militia mereka di negara-negara Timur tengah untuk menghadapi Israel dan Amerika Syarikat.
Setakat ini, Iran masih lagi “reserve” daripada mempercepatkan beberapa perjanjian persenjataan dan nuklear dengan Rusia. Dari satu sudut apabila Iran menjadi kuat, sudah tentu ianya menakutkan negara-negara Sunni yang selama ini dimomokkan “dengan axis-of evil” bagi mengheret mereka ke dalam orbit negara pakatan barat Amerika-Israel.
Apa yang Israel mahukan sebenarnya? Israel sangat mahukan pakatan Saudi-Amerika-dan Israel segera terlaksana. Secara tidak langsung, apabila Saudi menormalisasikan hubungan dengan israel, membawa makna secara simbolik penjaga kepada tanah suci umat Islam telah “berdamai” dengan Israel.
Masyarakat dunia sedang menumpukan kepada peristiwa yang berlaku sekarang. Tetapi Israel, sudah mula bergerak ke arah senario sekiranya Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat. Israel sedang bermain dalam satu suasana sekiranya Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat seterusnya.
Israel perlu segera melanjutkan Deal of The Century yang telah direncana sejak dari zaman Trump. Ianya tidak sekadar berakhir dengan perjanjian Abraham Accord, Accord yang sebenar adalah Saudi Accord. Sekiranya Trump memenangi pilihanraya ini, perjanjian yang direncana Jared Kushner (menantu Trump) salah seorang aktor elit global Yahudi dan Mohammed Bin Salman akan segera terlaksana.
Apakah Rencana ini? rencana ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan Israel sebagai kuasa serantau di Timur Tengah. Ketua kepada pakatan serantau Timur Tengah. Tetapi bagi menjadi kuat, Israel memerlukan musuh yang sama kuat iaitu Iran. Iran akan “dibantu” secara tidak langsung melalui Rusia untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai kuasa saingan israel di Timur tengah.
Dalam hal ini siapakah yang menjadi mangsa utama dalam senario ini? Mangsa utama dalam senario ini adalah bangsa Arab dan negara-negara Islam Sunni. Mereka akan berterusan menjadi pemain dalam papan catur musuh pada masa hadapan.
Agenda pembebasan Palestin akan semakin pudar, melainkan negara-negara Islam segera sedar untuk memutuskan sebarang kebergantungan kepada kuasa asing dan membina keupayaan alternatif secara mandiri. Kuasa asing yang dimaksudkan di sini, adalah Amerika Syarikat, Israel, Perancis, UK, Rusia, China, dan juga Iran. Hanya itu sahajalah jalan bagi memenangi pertembungan agenda ini.
Mohd Asyraf Mohd Farique
Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute