Angkatan Bersenjata Yaman pada Ahad mengumumkan pelaksanaan sekatan udara menyeluruh terhadap Israel sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim penjajah Zionis yang dilaporkan mahu memperluas operasi ketenteraannya ke atas Gaza.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak tentera memaklumkan bahawa mereka akan melancarkan serangan berulang ke atas lapangan terbang Israel, khususnya Lapangan Terbang Lod yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Ben Gurion, dalam usaha melumpuhkan laluan udara musuh.
“Kami menyeru semua syarikat penerbangan antarabangsa agar mengambil maklum kenyataan ini serta-merta dan membatalkan semua penerbangan ke lapangan terbang milik musuh penjenayah, demi keselamatan pesawat dan ejen mereka,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa Yaman yang bebas dan berdaulat tidak akan berdiam diri terhadap pelanggaran berterusan oleh Israel, khususnya terhadap negara-negara Arab seperti Lubnan dan Syria.
“Negara ini tidak akan gentar menghadapi konfrontasi dan menolak sebarang bentuk penaklukan atau ketundukan,” tambah kenyataan itu. – Dunia Palestin