Israel terus bedil kubu Hizbullah, perluaskan serangan ke luar Beirut

Letupan susulan perang antara Hizbullah dan Israel, dilihat dari Nahariya, utara Israel. – Foto REUTERS

Israel melancarkan puluhan serangan menyasarkan kubu Hizbullah di Lubnan, menyebabkan 16 kematian termasuk seorang datuk bandar, meruntuhkan bangunan, selain mengakibatkan kerosakan meluas di beberapa kawasan selatan.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 52 mangsa cedera dalam serangan terhadap dua bangunan majlis perbandaran, di mana Datuk Bandar Nabatiyeh adalah antara yang terbunuh, menurut seorang pegawai tempatan kepada AFP.

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berkata, Israel dengan sengaja menyasarkan satu mesyuarat majlis perbandaran yang sedang membincangkan perkhidmatan dan penyediaan bantuan kota terbabit.

Kes berbalas serangan terbaharu itu berlaku ketika Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat selepas pasukan interim pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) turut cedera akibat serangan terbabit.

Namun, tentera Israel dilihat terus memperhebatkan serangan, malah sudah mula merancang untuk menyerang negeri lain di Lubnan selepas Beirut dibom tanpa henti sejak kebelakangan ini.

Tentera Israel menyatakan pesawat tempurnya sudah menyerang puluhan sasaran Hizbullah di bandar Nabatiyeh, Lubnan selatan, di mana kumpulan pejuang yang disokong Iran itu bersama sekutunya, Amal, memegang kuasa.

Anggota Pertahanan Awam dari Pihak Berkuasa Kesihatan Islam berjalan di lokasi yang rosak akibat serangan Israel di Nabatiyeh, selatan Lubnan. – Foto REUTERS

Pasukan penyelamat juga bertungkus-lumus di celah runtuhan di kampung Qana, Lubnan selatan, di mana serangan Israel pada Selasa mengorbankan tiga nyawa, menurut kementerian berkenaan.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghapuskan pemimpin Hizbullah di kawasan Qana, Jalal Mustafa Hariri.

Agensi berita ANI memetik Kementerian Kesihatan yang menyatakan bahawa tembakan meriam Israel di kawasan Tayr Debba, berhampiran Tyre, mengakibatkan tiga kematian.

Kubu utama Hizbullah di pinggir selatan Beirut juga menjadi sasaran pesawat Israel dan serangan selanjutnya dilaporkan berlaku di selatan Lubnan dan kawasan Bekaa di timur.

Hizbullah mendakwa melakukan serangan roket ketiga dalam tempoh 24 jam yang menyasarkan bandar Safed di utara Israel manakala tentera Israel menyatakan kira-kira 90 peluru atau roket Hizbullah melintasi Israel semalam.

Israel meningkatkan serangannya pada akhir September dan pada penghujung bulan itu, ia menghantar tentera darat merentasi sempadan Lubnan.

Antara lokasi yang musnah akibat serangan Israel di Nabatiyeh, selatan Lubnan. – Foto REUTERS

Kerajaan Israel menghadapi kritikan berhubung serangannya di Lubnan, termasuk daripada sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS).

“Kami telah memberitahu Israel secara langsung bahawa kami menentang sebarang kempen Israel… serangan hampir setiap hari di kawasan yang padat penduduk di Beirut.” kata jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, mengulangi kritikan Washington semalam.

Beliau juga menyatakan AS sudah memberitahu Israel bahawa operasi mereka tidak boleh mengancam nyawa orang awam termasuk pasukan pengaman PBB atau tentera Lubnan.

Sementara itu, 16 Menteri Pertahanan Kesatuan Eropah (EU) menggesa tekanan politik dan diplomatik maksimum ke atas Israel bagi mengelakkan berulangnya serangan terhadap pasukan pengaman PBB.

Dalam kes terbaharu, pasukan UNIFIL menuduh tentera Israel melepaskan tembakan ke arah menara pengawal mereka secara langsung dan jelas sengaja.- Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mesir gesa tindakan ‘segera dan tegas’ hentikan serangan Israel di Gaza

Next Post

Puluhan mayat berselerakan, tertimbus bawah runtuhan di utara Gaza

Related Posts