Puluhan mayat berselerakan, tertimbus bawah runtuhan di utara Gaza

Orang ramai berkumpul di luar bangunan yang runtuh ketika mereka cuba mengeluarkan seorang lelaki dari bawah runtuhan selepas pengeboman Israel di daerah Saftawi di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Pengeboman Israel selama 16 hari berturut-turut di Jabalia menghalang kerja mencari dan menyelamat pelarian Palestin yang terperangkap di wilayah utara itu kerana tiada lagi tempat untuk mereka menyelamatkan diri.

Pasukan Pertahanan Awam Gaza berkata mereka tidak dapat menyelamatkan mangsa yang cedera apatah lagi jika terperangkap di bawah sisa runtuhan dan mengesahkan puluhan mayat masih berada di bawah runtuhan bangunan yang musnah dibom Israel.

Sementara itu, kakitangan di Hospital Indonesia, Kamal Adwan dan al-Awda di Gaza berkata bekalan makanan hampir habis manakala infrastruktur kesihatan sudah musnah sama sekali dan tiada bekalan ubat.

Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pula memberi amaran mengenai risiko kebuluran di Gaza, sehari selepas Amerika Syarikat (AS) berkata Israel sudah diarah memperbaiki penghantaran bantuan ke wilayah itu.

Orang ramai mengusung keluar seorang lelaki yang diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan selepas pengeboman Israel di daerah Saftawi di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam satu sidang akhbar di Berlin berkata, risiko kebuluran berpotensi berlaku, malah sudah berlaku di beberapa kawasan.

“Hari ini terdapat risiko sebenar… kita mungkin memasuki fasa di mana kebuluran atau kekurangan zat makanan yang teruk berlaku lagi,” sambil merujuk kepada musim sejuk tidak lama lagi dan sistem imun penduduk Gaza yang semakin lemah.

“Pada masa sama, Israel mempertingkatkan operasi ketenteraan di utara wilayah Palestin yang terkepung itu, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) memberi amaran bahawa ratusan ribu orang terperangkap.

“Krisis kemanusiaan di Gaza sudah sangat teruk, keseluruhan kawasan ini sekarang bagaikan padang jarak, sama sekali tidak sesuai lagi untuk didiami manusia,” katanya.

Orang ramai hanya mengunakan tangan atau peralatan asas ketika mereka cuba mengeluarkan seorang lelaki dari bawah runtuhan selepas pengeboman Israel di daerah Saftawi di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Mengenai penghantaran bantuan ke Gaza, beliau berkata sejak dua hingga tiga minggu lalu, tiada konvoi yang dapat memasuki kawasan utara kecuali semalam.

“Kami menghadapi penurunan besar dalam jumlah konvoi di selatan dengan purata hanya lima puluh hingga enam puluh untuk dua juta orang, sedangkan kami menganggarkan jumlah yang diperlukan jauh lebih tinggi,” kata Lazzarini.

Beliau juga menegaskan bahawa konvoi yang berjaya masuk telah dirompak kerana keruntuhan sepenuhnya pelaksanaan undang-undang dan ketenteraman awam.

Selama lebih seminggu, pasukan Israel sudah melancarkan serangan udara dan darat secara besar-besaran di utara Gaza dan kawasan sekitar Jabalia, dengan mendakwa bahawa pejuang Hamas sedang berkumpul semula di sana.

Ketua agensi Pertahanan Awam di utara Gaza, Ahmed al-Kahlout, berkata lebih daripada 200,000 orang kehilangan bantuan makanan dan bekalan air minuman selama 12 hari berturut-turut. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel terus bedil kubu Hizbullah, perluaskan serangan ke luar Beirut

Next Post

MALBAT boleh serang balas tentera Israel jika kedudukan diancam

Related Posts