Kanak-kanak Palestin di kampung Umm al-Khair di Tebing Barat terpaksa mengikuti kelas alternatif dikenali sebagai “Freedom School” selepas laluan utama ke sekolah mereka dihalang dengan pagar dawai berduri yang didirikan pendatang haram Israel.
Menurut laporan Al Jazeera, puluhan pelajar bersama ibu bapa dan guru berhimpun berhampiran pagar tersebut sambil membawa buku, sepanduk serta melaungkan slogan menuntut hak mereka untuk mendapat pendidikan.
Ketua majlis kampung Umm al-Khair, Khalil Hathaleen berkata tindakan menghalang laluan itu menjejaskan hak pendidikan kanak-kanak, malah menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar selepas tentera Israel dilaporkan melepaskan gas pemedih mata dan bom bunyi ketika mereka cuba melalui kawasan tersebut.
Beliau menegaskan laluan berkenaan telah digunakan sejak sekian lama sebagai jalan utama pelajar ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari komuniti Badwi tersebut.
Sebagai tindak balas, komuniti tempatan melancarkan inisiatif “Umm al-Khair Freedom School” dengan mengadakan sesi pembelajaran di kawasan terbuka berhampiran pagar sebagai simbol bantahan aman terhadap sekatan tersebut.
Guru tempatan, Tareq Hathaleen menegaskan pendidikan merupakan hak semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang, sambil menambah bahawa sekatan itu turut menjejaskan akses penduduk ke klinik kesihatan dan tempat ibadah.
Penduduk turut menolak cadangan laluan alternatif sepanjang kira-kira tiga kilometer kerana bimbang keselamatan kanak-kanak yang terpaksa melalui kawasan penempatan haram Israel berhampiran komuniti mereka. – Dunia Palestin