Kumpulan pelampau pergiat agenda yahudisasi terhadap Masjid al-Aqsa

Kumpulan pelampau Yahudi didakwa semakin giat menggerakkan agenda yahudisasi dan perobohan Masjid al-Aqsa dengan memanfaatkan pengaruh politik dalam kerajaan Israel, menurut pendedahan Pengarah Pusat Kajian al-Quds Universiti 29 Mei Istanbul, Dr. Abdullah Maarouf dalam satu webinar anjuran Dunia Palestin.

Menurut Dr. Abdullah, pemimpin politik esktremis Yahudi seperti Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich mempercayai bahawa mereka perlu mengambil tindakan aktif bagi mempercepatkan kedatangan Messiah, berbeza dengan pandangan tradisional Yahudi Ortodoks yang menunggu ketentuan Tuhan tanpa campur tangan manusia.

Beliau menjelaskan bahawa kumpulan ini melihat diri mereka sebagai “tangan Tuhan” dan menggunakan saluran politik untuk mencapai matlamat keagamaan, termasuk usaha merealisasikan ramalan dalam Talmud berkaitan hari kiamat. Golongan tersebut percaya mereka perlu memaksa berlakunya “keajaiban” melalui tindakan politik dan konflik, bukannya menunggu petunjuk ilahi.

Dr. Abdullah menegaskan bahaya utama terletak pada saiz kumpulan yang kecil, dianggarkan hanya sekitar 4,000 hingga 5,000 individu, namun mempunyai pengaruh besar dalam menentukan dasar kerajaan Israel. Katanya, parti kecil berhaluan pelampau sering menjadi penentu pembentukan kerajaan gabungan, sekali gus memberi mereka kuasa untuk mempengaruhi hala tuju politik dan keselamatan serantau.

“Gerakan Zionisme Agama percaya dunia perlu diseret ke arah peperangan besar bagi memaksa campur tangan Tuhan dan mempercepatkan kedatangan Messiah,” katanya, sambil memberi amaran bahawa ideologi tersebut mendorong tindakan berisiko tinggi termasuk ancaman terhadap Masjid al-Aqsa serta negara-negara jiran.

Beliau turut menyatakan bahawa golongan pelampau ini tidak berpegang kepada logik politik atau mengambil kira kesan jangka panjang tindakan mereka. Sebaliknya, mereka percaya bahawa tindakan agresif, termasuk ancaman terhadap Masjid al-Aqsa, akan membawa kepada campur tangan Tuhan yang akhirnya mewujudkan keamanan menurut kepercayaan mereka.

Dr. Abdullah menyifatkan pendekatan tersebut sebagai berbahaya kerana menggunakan teks agama bagi menghalalkan tindakan ekstrem, sambil memberi amaran bahawa kepimpinan semasa Israel yang dipengaruhi kumpulan pelampau berpotensi menjejaskan kestabilan global.

Beliau juga menekankan dalam sesi webinar itu bahawa pengaruh fahaman evangelikal ekstrem di Amerika Syarikat turut memperkukuh naratif keagamaan berkaitan pembinaan semula kuil di lokasi Masjid al-Aqsa. Sesetengah tokoh politik dan agama di negara itu secara terbuka menyatakan bahawa dunia kini berada dalam “zaman keajaiban”, sekali gus menggalakkan usaha mewujudkan realiti baharu di lapangan.

Rakaman penuh webinar tersebut boleh didapati di laman web duniapalestin.com. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pejuang Palestin serang hendap militia pengkhianat di selatan Gaza

Related Posts