Kumpulan tidak rasmi merangkumi bekas pegawai tentera Israel dan pegawai perisikan, pusat penyelidikan, ahli akademik serta ahli politik sedang membincangkan masa depan Gaza selepas tamat perang.
Pelan yang paling menonjol adalah mewujudkan ‘pulau’ atau ‘gelembung’ geografi yang mana rakyat Palestin yang tidak bergabung dengan Hamas boleh tinggal di tempat perlindungan, sementara tentera Israel ‘membersihkan kumpulan pejuang yang tinggal’, menurut laporan Wall Street Journal.
Anggota lain daripada parti Likud pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyokong satu lagi pelan berfokuskan keselamatan yang bertujuan untuk membahagikan Gaza dengan dua koridor bagi membolehkan tentera Israel melancarkan serbuan apabila difikirkan perlu.
Menurut laporan itu, walaupun kepemimpinan politik di Israel hampir tidak berkata apa-apa mengenai keadaan Semenanjung Gaza selepas tamat pertempuran, kumpulan itu sedang mengusahakan pelan terperinci yang memberikan gambaran bagaimana Israel berfikir untuk hari seterusnya.
Pelan itu, sama ada diterima pakai sepenuhnya atau tidak, mendedahkan kebenaran mengenai akibat yang jarang dinyatakan, termasuk orang awam Palestin boleh kekal terkurung selama-lamanya di kawasan yang lebih kecil di Semenanjung Gaza sementara pertempuran berterusan di luar.
Tentera Israel mungkin perlu kekal secara mendalam terbabit dengan Tebing Barat selama bertahun-tahun sehingga Hamas dimusnahkan.
Menurut bekas jeneral Israel, Israel Ziv, keputusan mesti dibuat segera.
Perkara itu perlu diputuskan bertujuan untuk bekerjasama dengan penduduk tempatan Palestin yang tidak bergabung dengan Hamas bagi mewujudkan kawasan terpencil di utara Gaza.
Rakyat Palestin di kawasan yang Israel percaya Hamas tidak lagi mengawal akan diagihkan bantuan dan dibenarkan menjalankan tugas sivik.
Wall Street Journal melaporkan akhirnya, gabungan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Arab akan menjalankan operasi itu.
Menurut laporan akhbar itu, tentera Israel akan terus memerangi Hamas di luar kawasan ‘gelembung’.
Ziv, yang mengawasi keluarnya Israel dari Gaza pada 2005, mencadangkan “rakyat Palestin yang sanggup mengecam Hamas boleh mendaftar untuk tinggal di pulau geografi berpagar, terletak bersebelahan dengan kawasan kejiranan mereka dan dikawal tentera Israel, yang akan memberi mereka hak untuk membina semula rumah mereka”. – Berita Harian