Kementerian Luar Palestin pada Khamis menyatakan bahawa lanjutan waktu serbuan harian oleh Israel di Masjid al-Aqsa merupakan “eskalasi sistematik” yang bertujuan mengenakan realiti baharu di dalam kawasan suci itu serta mengukuhkan pembahagian masa, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu mengecam peningkatan serbuan oleh pendatang haram Israel ke halaman Masjid al-Aqsa, yang disertai nyanyian dan doa Talmud di bawah perlindungan ketat tentera Israel, selain serangan terhadap para jemaah Palestin.
Seramai 448 pendatang haram Israel menceroboh Masjid al-Aqsa pada Khamis dalam tempoh pagi dan petang, menurut seorang pegawai Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis yang bercakap kepada Anadolu dengan syarat tidak dinamakan.
Serbuan tersebut berlaku pada hari pertama masjid itu dibuka semula selepas ditutup sejak permulaan perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan bahawa serbuan itu berlaku di tengah-tengah lanjutan tempoh masa yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menurut Wafa, tempoh serbuan pertama kini bermula pada 6.30 pagi berbanding 7.00 pagi sebelum ini dan berterusan sehingga 11.30 pagi, manakala tempoh kedua berlangsung dari 1.30 tengah hari hingga 3 petang, menjadikan jumlah keseluruhan tempoh serbuan harian sebanyak enam setengah jam. – Dunia Palestin