Media Israel melaporkan bahawa Kabinet Keselamatan dan Politik Israel secara senyap meluluskan pembinaan 34 penempatan haram baharu di seluruh Tebing Barat.
Menurut Roya News, keputusan itu merupakan peluasan terbesar dalam satu sesi kabinet. Sekiranya digabungkan dengan kelulusan terdahulu untuk 69 penempatan, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 103.
Kabinet mengenakan kerahsiaan ketat bagi mengelakkan tekanan Amerika Syarikat (AS), khususnya selepas amaran daripada Presiden AS Donald Trump berhubung tindakan pengilhakan.
Tentera penjajah Israel dilaporkan menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan tenaga manusia. Ketua Staf, Eyal Zamir, mencadangkan agar pelan tersebut dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aspek keselamatan, namun keseluruhan pelan tetap diluluskan walaupun terdapat keberatan daripadanya.
Sejak Februari 2026, rejim penjajah Israel telah merampas tanah rakyat Palestin di Kawasan C, dengan mendaftarkannya sebagai “harta negara” buat kali pertama sejak 1967.
Data Biro Statistik Pusat Palestin menunjukkan bahawa pada tahun 2025, Israel merampas lebih 5,571 dunam tanah, mengeluarkan 94 perintah rampasan melibatkan 2,609 dunam, serta tiga perintah pengambilalihan berjumlah 1,731 dunam.
Pada tahun yang sama, Israel merobohkan kira-kira 1,400 struktur milik rakyat Palestin, termasuk 258 di Baitulmaqdis, selain mengeluarkan 991 perintah perobohan atas alasan “tiada permit”.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berulang kali menegaskan bahawa peluasan penempatan adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, serta memberi amaran bahawa ia menjejaskan “penyelesaian dua negara”. – Dunia Palestin