Adakah Hamas & al-Qassam sahaja yang berjihad membebaskan al-Aqsa & memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
Tidak.
Di sana ada beberapa lagi kumpulan utama yang lain yang punyai tujuan mulia yang sama, walaupun berbeza dari segi ideologi & fahaman.
Siapakah mereka?
Fatah
Fatah adalah antara gerakan kemerdekaan Palestin yang paling lama di tanah itu. Nama Fatah diambil dari nama penuhnya di dalam Bahasa Arab yang diterbalikkan: (حركة التحرير الوطني الفلسطيني).
Gerakan ini diasaskan oleh pelbagai tokoh awal kemerdekaan Palestin, namun yang paling terkenal ialah Yasser Arafat (juga dikenali dengan kuniyah: Abu Ammar).
Sebelum Abu Ammar memegang tampuk tertinggi Fatah, gerakan ini dipimpin oleh Ahmed Shukeiri, kemudian diserahkan kepada Yahya Hammuda. Selepas Yahya, barulah Abu Ammar menjadi tokoh utama Fatah pada tahun 1969.
Selepas Abu Ammar memegang Fatah, gerakan ini berjaya menjalankan operasi gerila ke atas Penjajah Israel sebanyak 2432 kali! Jadi, tidak hairanlah Yasser Arafat adalah seorang lagenda di mata kebanyakan rakyat Palestin & Arab.
Perjanjian Oslo 1993
Namun, apabila termeterainya Perjanjian Oslo, gerakan ini menyaksikan keruduman gerakan ketenteraan Fatah. Bahkan, sejak 1993, rata-rata rakyat Palestin menganggap Fatah adalah sebagai sebuah gerakan yang telah mengkhianati kepercayaan rakyat Palestin.
Tetapi, Fatah tetap menjadi popular apabila dijalankan pilihanraya & Fatah mendapat kutipan ke-2 tertinggi setelah Hamas.
Sayap Ketenteraan Fatah
Menjadi kelaziman bagi semua parti atau gerakan kemerdekaan Palestin untuk mempunyai sayap ketenteraannya.
Fatah sebagai antara gerakan tertua juga mempunyai sayap ketenteraanya. Pada awalnya, nama bagi ketumbukan ketenteraan mereka ialah (العَاصِفَة) yang membawa maksud: Ribut.
Tetapi, bermula Intifada ke-2, al-’Asifah telah ditukar kepada Briged Syuhada’ al-Aqsa.
Setelah itu Fatah seakan-akan tidak mengaku bahawa Briged Syuhada’ al-Quds ini bukan sebahagian dari mereka.
Ini mungkin kerana antara isi Perjanjian Oslo ialah rakyat Palestin tidak boleh mengangkat senjata kepada Kerajaan (Haram) Israel.
Tetapi sebuah siasatan yang dilakukan bahawa didapati Yasser Arafat giat menyumbang sejumlah wang yang banyak kepada sayap ketenteraan ini.
Akibatnya, Briged Syuhada’ al-Quds telah disenaraikan sebagai sebuah gerakan teroris.
Tokoh Utama Briged Syuhada’ al-Quds
- Khalil al-Wazir
Beliau adalah antara pelopor awal gerakan ketenteraan di Palestin serta merupakan antara pengasas awal & bersama bagi gerakan Fatah & al-’Asifa.
Beliau lahir tahun 1935 di Ramallah, Tebing Barat.
Antara operasi utama yang telah beliau rancangkan ialah Perang Karamah 1968. Perang yang berjaya ini telah sekali gus mengangkat reuptasi beliau sebagai seorang ahli taktik perang yang hebat
Pada tahun 1988, ketika berumur 52 tahun, rumah beliau di Tunis (Tunisia) telah diceroboh oleh beberapa Komando Israel. Beliau telah terbunuh syahid pada hari kejadian.
Operasi ini dilakukan kerana Khalil al-Wazir merupakan jurutera utama bagi Intifada Pertama pada tahun 1987.
2. Raed al-Karmi
Raed al-Karmi, atau lebih dikenali dalam kalangan rakyat Palestin sebagai ‘Helang Briged (Syuhada’ al-Aqsa), adalah seorang pejuang lagenda bagi rakyat Palestin Pasca-Intifada.
Dilahirkan pada tahun 1974, di Bandar Tulkarm, sebuah bandar yang terkenal sebagai pusat perjuangan Palestin di Tebing Barat.
Beliau mula menempa nama apabila tercetusnya Intifada Kedua, apabila ketua beliau, Dr. Thabet Thabet, telah berjaya dibunuh.
Sebagai tindakan balas, Raed telah berjaya membunuh 2 orang tentera IOF yang ketika itu sedang makan Hummus & Falafel di sebuah restoran di Tulkarm.
Sejak itu, nama beliau telah naik menjadi nombor 1 yang dikehendaki oleh Israel. Selepas itu, PM Israel Ariel Sharon setiap hari akan bertanya kepada unit perisikan beliau, mengapa hari ini Raed al-Karmi masih hidup lagi.
Sehinggalah pada tanggal 14 Januari 2002, IOF telah berjaya membunuh syahid beliau. Sejak itu nama beliau diangkat harum oleh rakyat Palestin.
Syuhada’ al-Aqsa & Taufan al-Aqsa
Selepas meletusnya Perang Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, Briged Syuhada’ al-Aqsa tanpa berlengah lagi menyatakan sokongan mereka pada perjuangan ini dan berdiri teguh bersama Hamas & al-Qassam walaupun sebelum ini mereka mempunyai konflik dan perselisihan antara mereka.
Namun, demi perjuangan & kemerdekaan serta kemuliaan al-Aqsa, mereka sanggup bersatu.
Saat perang ini meletus, Syuhada’ al-Aqsa banyak berperang & menyerang beberapa kawasan di Tebing Barat, seperti: Jenin, Nablus, Ramallah dan lain-lain.
Al-Jihad Al-Islami
Gerakan yang seterusnya yang dikenali sebagai Jihad Islami Palestin adalah sebuah gerakan perjuangan yang bernuansakan perjuangan Islam. Ianya juga adalah gerakan perjuangan yang beraliran Islam yang rasmi & pertama di Tanah Palestin.
Gerakan ini tercetus apabila 2 orang tokoh pengasas utama mereka, al-Syahid Dr. Fathi al-Syiqaqi & Sheikh Abd al-Aziz Awda, yang ketika itu sedang sama-sama belajar di Mesir. Dalam waktu mereka belajar di sana itulah terjadi perbincangan tentang gerakan pembebasan Palestin yang sudah sedia ada di sana.
Bagi mereka gerakan-gerakan yang sudah sedia ada tidak mencukupi & tidak membawa suara Islam yang ‘cukup’.
Oleh kerana kedua-dua orang tokoh ini juga adalah ahli yang aktif bagi gerakan Ikhwan Muslimun, mereka bersetuju untuk berpisah dari gerakan yang mereka giati itu, lalu menubuhkan gerakan kemerdekaan Palestin yang pertama yang beraliran Islam.
Berbanding gerakan-gerakan yang sebelum ini lebih kepada fahaman nasionalis, sosialis & sekularis.
Maka, pada tahun 1981, Fathi Syiqaqi & Abd al-Aziz Awda telah menubuhkan sebuah gerakan yang dinamakan sebagai ‘Harakat al-Jihad al-Islami Fi Falastin’.
Kini Jihad Islami dipimpin oleh Ziyad Nakhaleh yang menggantikan pemimpin sebelumnya iatu Ramadan Shallah pada tahun 2018.
Sayap Ketenteraan Jihad Islami
Saraya al-Quds atau juga dikenali dengan Briged al-Quds telah diasaskan pada tahun 1987 selepas tercetusnya Intifadah Pertama. Gerakan ini diasaskan oleh Fathi Syiqaqi & Abd al-Aziz Awda.
Briged ini bergiat aktif di Semenanjung Gaza & Tebing barat terutamanya di Jenin.
Jika mahu disenaraikan operasi serangan Briged al-Quds ke atas Zionis Israel, maka senarainya akan menjadi sangat panjang. Ini menunjukkan gerakan ini sangat hebat & mempunyai ketumbukan tentera yang hebat.
Namun, serangan mereka yang paling awal & hebat ialah pada tahun 1989 , mereka berjaya menyerang Lebuh Raya Tel Aviv yang telah membunuh sekitar 20–30 orang.
Pada tahun 1995, Briged al-Quds telah disenaraikan oleh Barat sebagai sebuah gerakan pengganas. Natijahnya, pada tahun yang sama pengasasnya, Dr. Fathi Syiqaqi telah dibunu syahid di Malta oleh Mossad.
Tokoh Utama Briged al-Quds
- Baha’ Abu ‘Ata
Baha’ adalah salah seorang komando utama bagi Saraya al-Quds.
Nama beliau sangat hebat, kerana menjadi igauan bagi keamanan Israel.
Ini terbukti apabila The Jerusalem Post mengiklankan bahawa ada 3 nama yang benar-benar akan mengganggu-gugat keamanan Israel, mereka itu ialah:
- Qasem Suleimani (Iran)
- Hasan Nasrallah (Lebanon-Hezbollah)
- Baha’ Abu ‘Ata
Nama Baha’ mula membintang apabila tahun 1990 beliau telah diangkat sebagai pemimpin tertinggi bagi Briged al-Quds.
Ini sesuai dengan kelebihan & kemampuan beliau yang mampu menyelia pelbagai operasi jihad, bahkan mampu mencipta senjata sendiri.
Pada 12 November 2019, IOF telah menyerang kawasan perumahan Baha’. Akibatnya beliau serta isterinya dimuliakan Allah SWT dengan Syahid.
2. Akram al-’Ajuri
Nama Akram al-’Ajuri mula menjadi lagenda & sebutan masyarakat antarabangsa, apabila IOF & Mossad telah cuba membunuh beliau dengan cara mengebom rumah tinggal beliau di kawasan desa di Damsyik pada tahun 2019.
Namun, takdir Allah SWT melebihi segalanya, beliau terselamat. Tetapi anaknya, Muaz al-’Ajuri telah syahid.
Akram telah menaiki hierarki tertinggi Jihad Islami apabila mendapat pungutan kedua tertinggi selepas Ziyad Nakhaleh.
Oleh itu beliau ialah tokoh kedua terpenting bagi Jihad Islami.
Tetapi bagi Briged al-Quds, Akram merupakan pemimpinnya yang paling utama.
Sehingga kini keberadaan beliau masih misteri. Sementara itu, sebenarnya nama Akram al-’Ajuri sangat masyhur dalam kalangan masyarakat Gaza.
3. Abu Hamzah
Figura Abu Hamzah menjadi bualan ramai apabila kemunculan beliau banyak memberi berita gembira bahkan berita yang buruk buat IOF.
Beliau adalah ibarat kembar bagi Abu Ubaidah.
Briged al-Quds & Taufan al-Aqsa
Tidak asing lagi bagi para pemerhati gerakan perjuangan di Gaza & Palestin tentang persamaaan yang banyak antara Jihad Islami & Hamas.
Mereka ibarat 2 anak yang lahir dari rahim yang sama, iaitu: Ikhwan Muslimun.
Pada tahun 2022, Ziyad Nakhaleh menyatakan dengan terus terang bahawa mereka telah banyak bekerjasama dengan Hamas/al-Qassam dalam menjalankan aktiviti keselamatan di sekitar Gaza.
Di tengah kegentingan Taufan al-Aqsa sangat jelas kebersemaan antara 2 pasukan yang berlainan nama & identiti ini. Tetapi perjuangan & tujuan mereka pastinya satu.
Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP)
PFLP adalah sebuah gerakan kedua terbesar & tertua di Palestin. Ia diasaskan pada 11 Disember 1967, berkesinambungan dengan kekalahan teruk Bangsa Arab yang berlawan dengan Israel pada tahun 1967.
Gerakan perjuangan ini terkenal dengan ideologinya yang nasionalis yang kiri.
PFLP telah diasaskan oleh beberapa tokoh awal pembebasan Palestin seperti: Dr. George Habash, Abu Ali Mustafa Zabri, Wadi’ Hadad & Ahmad al-Yamani.
Tetapi, tokoh yang paling utama bagi PFLP ialah George Habash, seorang rakyat Palestin yang beragama Kristian.
Kerana terkenalnya gerakan ini sebagai sebuah gerakan berhaluan kiri, maka cara ia berjuang & bergerak amat berbeza dengan gerakan nasionalis kanan seperti Fatah.
Yang menariknya, PFLP tidak percaya dengan Solusi 2 Negara atau 2 States Solution. Bahkan hanya percaya dengan terdirinya Negara Palestin yang berdaulat.
Berkesinambungan dari kepercayaan & ideologi ini, kita dapat lihat, bahawa cara mereka berjuang lebih agresif berbanding Fatah.
Faktor inilah mereka dapat lahirkan tokoh perjuangan & pembebasan yang lebih radikal & lebih lagenda di mata rakyat Palestin.
Ghassan Kanafani, Ahmad Saadat & Leila Khalid adalah tokoh perjuangan PFLP & Palestin yang cara berjuang mereka lain dari yang lain.
Sayap Ketenteraan PFLP
Briged Abu Ali Mustafa adalah salah sebuah gerakan ketenteraan yang utama di Palestin.
Nama briged ini diambil sebagai inspirasi dari pejuang yang lama & utama mereka yang telah syahid dibunuh Mossad pada tahun 2001, iaitu Mustafa Zabri.
Operasi mereka yang paling besar & terkenal sudah tentulah Pembunuhan Menteri Pelancongan Israel, iaitu Rehavam Ze’evi, pada tahun 2001. Ini adalah sebagai tindak balas terhadap pembunuhan keatas pemimpin utama mereka, Abu Ali Mustafa Zabri.
Operasi ini adalah atas arahan Setiausaha Agung PFLP, Ahmad Saadat. Akibatnya hingga kini Ahmad Saadat dipenjara di tempat yang tidak diketahui melainkan hanya Israel.
Tokoh Utama Briged Abu Ali Mustafa
- Abu Ali Mustafa Zabri
Sang Lagenda ini dilahirkan di Arrabah, Tebing Barat pada tahun 1938.
Sejak mudanya telah menyertai gerakan kemerdekaan antaranya ialah Gerakan Kebangsaan Arab. Kemudian beliau telah ditangkap oleh Kerajaan Jordan kerana kelantangan beliau. Kemudia dibuang negeri di Syria serta menetap di sana selama 31 tahun.
Pada tahun 1999 barulah beliau dibenarkan untuk pulang semula ke Palestin.
Usai pulang ke tanah tercinta, beliau terus dilantik sebagai Setiausaha Agung PFLP, pada tahun 2000.
Di bawah seliaan beliau, Palestin dapat lihat gerakan bersenjata sangat marak dilakukan di Tebin Barat & Tanah Jajahan Israel. Banyak tempat-tempat penjajah telah dibom & diserang.
Oleh kerana kegiatan yang tidak disenangi oleh penjajah ini. Pada 27 Ogos 2001, sedang beliau sedang bekerja di pejabatnya di al-Bireh. IOF telah menghantar sebuah helikopter Apache tercanggih untuk membunuh seorang pejuang sahaja!
Akibatnya, beliau telah syahid. Seramai 50,000 orang telah mengiringi jenazah syahid beliau pada hari itu.
2. Leila Khaled
Pejuang Wanita Palestin ini dilahirkan di Haifa pada tahun 1944. Pada umur 15 tahun beliau sudah menyertai gerakan perjuangan di belakang George Habash. Di dalam masa yang sama dalam berjuang, beliau juga melanjutkan pelajara dalam bidang perubatan di Universiti Amerika Beirut.
Pada 29 Ogos 1969, nama Leila Khalid menjadi sebutan seluruh dunia apabila beliau telah membuat rampasan kapal terbang ‘TWA Flight 840’ yang berlepas dari Roma ke Tel Aviv. Mereka merancang untuk menculik Duta Israel ke USA pada ketika itu, Yitzhak Rabin (PM Israel 1974–1977 & 1992–1995).
Leila Khaled adalah pejuang Palestin yang pertama yang membuat operasi merampas kapal terbang sebagai sebuah gerakan penentangan kepada penjajah. Oleh itu, tidak pelik sehingga kini beliau dianggap sebagai ibu perjuangan kebebasan Palestin walaupun kini menetap di Amman, Jordan.
3. Ahmad Saadat
Ahmad Saadat dilahirkan di al-Bireh 1953. Beliau melanjutkan pengajian beliau di Institut Perguruan URNWA di Ramallah. Beliau adalah lulusan Ilmu Matematik.
Beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung PFLP pada Oktober 2001 selepas kesyahidan Abu Ali Mustafa.
Tidak menunggu lama untuk menempa nama beliau sebagai pejuang sejati, beliau telah menjadi perancang utama bagi pembunuhan Rehavam Ze’evi.
Selepas misi ini berjaya, beliau telah bersembunyi di Ramallah, berdekat dengan Yasser Arafat. Akibatnya, Arafat telah ditekan dengan begitu teruk oleh Israel.
Oleh itu, Pihak Pemerintah Palestin telah menjalankan satu sesi mahkamah & memenjerakan Saadat pada tahun 2002 di Jericho.
Pada PRU Palesin tahun 2006, walaupun berada di penjara, kerana kemasyhuran beliau, beliau telah berjaya dilantik sebagai salah seorang Ahli Parlimen. Pada tahun yang sama juga, Hamas telah berjanji untuk membebaskan wira rakyat Palestin ini dari penjara.
Namun, akibat tekanan UK, US & Israel, penjajah telah memindah-mindahkan kedudukan Ahmad Saadat dari satu penjara ke satu penjara yang lain. Sehingga kini, kesihatan beliau menurun dengan sangat teruk akibat mogok lapar terhadap penjajah.
Briged Abu Ali Mustafa & Taufan al-Aqsa
Pada 7 Oktober 2023, dengan meletusnya Taufan al-Aqsa, Briged Abu Ali Mustafa tidak mengambil masa yang lama untuk isytiharkan yang mereka bersama & mendokong perjuangan Hamas & al-Qassam yang mereka sifatkan sebagai perjuangan rakyat Palestin.
Democratic Front for the Liberation of Palestine (DFLP)
DFLP adalah sebuah gerakan yang menjadikan ideologi demokratik sebagai asas bagi parti atau gerakan ini.
Asalnya, sebahagian pengasas gerakan ini, seperti: Nayef Hawatmeh & Yasser Abed Rabbo, adalah ahli parti PFLP. Namun, mereka berpandangan bahawa George Habash terlalu mementingkan gerakan ketenteraan & kurang mementingkan gerakan kesedaran tentang perjuangan & ideologi ke akar umbi rakyat Palestin.
oleh itu pada tahun 1968, Nayef Hawatmeh bersama Yasser Abed Rabbo telah mengambil keputusan untuk berpisah dari PFLP dan menubuhkan DFLP.
Antara prinspi perjuangan DFLP ialah untuk membina SATU NEGARA yang mana bangsa Arab & Yahudi boleh hidup aman damai secara demokrasi & demokratik.
Sayap Ketenteraan DFLP
Briged Perjuangan Kebangsaan atau juga dikenali sebagai Briged Omar al-Qassem adalah sayap utama ketenteraan bagi DFLP.
DFLP telah membuat satu operasi yang hebat pada tahun 1974 di Ma’alot, Safed di Tanah Jajahan Israel. DFLP telah menyerang & menawah sebuah sekolah. DFLP telah menyusup ke kawasan Safed ini dari Lebanon.
Ini telah memaksa Moshe Dayan & IOF untuk mengerahkan seluruh tentera untuk melawan DFLP.
Gerakan ini diasaskan pada tahun 1969 dengan nama Briged Bintang Merah. Namun, selepas meletusnya Intida Kedua pada tahun 2000, briged ini telah menukar nama yang baru.
Tokoh Utama Briged Perjuangan Kebangsaan
- Ibrahim Abu ‘Ulbeh
Pejuang yang hebat ini dilahirkan pada tahun 1964 di Kem Jabalia di Gaza.
Sejak remaja lagi beliau telah menyertai gerakan perjuangan. Pada tahun 1989, beliau telah ditangkap oleh penjajah & diseksa dengan teruk sekali di dalam penjara.
Pada tahun 1991, beliau telah dibebaskan. Namun seksaan di dalam penjara membuatkan beliau makin bersemangat untuk perjuangkan kemerdekaan.
Beliau adalah antara pengasas awal bagi briged ini & juga bagaikan bapa bagi tentera-tentera bagi briged ini.
Banyak operasi-operasi awal para mujahidin yang beliau telah selia. Namun, pada tahun 2008, setelah membuat persiapan bagi operasi berani mati bagi Briged Perjuangan Kebangsaan & al-Quds, beliau telah dibom oleh IOF di Beit Lahia.
IOF telah berkata, pembunuhan ini adalah balasan dari operasi Ibrahim yang telah membunuh ramai pegawai tinggi IOF dari Divisyen Givati IOF.
2. & 3. Amin Abu Hatab dan Hisham Abu Jamus
Pada tanggal 25 Ogos 2008. 2 orang Komandi Briged DFLP, Hisham Abu Jamus & Amin Abu Hatab, telah menyerang penempatan haram Israel di Sempadan Gaza-Israel yang telah menyebabkan ramai tentera Israel terbunuh.
Mereka berdua telah diangkat sebagai wira rakyat Gaza & Palestin.
4. Wajdi Jaudah
Wajdi Jaudah adalah pemimpin utama bagi DFLP & Briged Perjuangan Kebangsaan. Bukan sahaja seorang pemimpin ketenteraan, beliau ialah intelektual & ideolog bagi DFLP.
Dilahirkan pada tahun 1977, di Ramallah di Tebing Barat.
Mula berjuang bersama DFLP sejak zaman universiti apabila beliau dipilih sebagai Setiausaha Agung Sayap Pemuda DFLP di Universiti Terbuka Al-Quds pada tahun 1996.
Mula bergabung dengan sayap ketenteraan DFLP pada tahun 2000 apabila tercetusnya Intifada Kedua. Beliau telah berjaya membuat Tel Aviv tidak tenang apabila berjaya pada tahun 2003, Wajdi berjaya membunuh 4 orang IOF dan 26 orang tercedera.
Pada tahun 2004, beliau telah dipenjara penjajah & beliau telah dianggap sebagai tokoh pejuang Palestin yang terpenting yang berada di dalam penjara penjajah.
Briged Perjuangan Kebangsaan & Taufan al-Aqsa
Abu Khaled, jurucakap rasmi bagi briged ini telah bertetus terang bahawa mereka juga sebahagian dari pasukan yang berjuang mempertahankan kemuliaan Gaza & Palestin.
Mereka telah berjaya membunuh ramai tentera IOF & menawan tentera IOF.
Hamas
Sekarang ini, kita akan memfokuskan pula kepada sebuah gerakan yang dikira termuda & terbaru dalam sejarah perjuangan Palestin. Tetapi sejak 2006, gerakan ini menjadi gerakan yang paling besar & berpengaruh di Gaza, bahkan di keseluruhan Palestin.
Hamas adalah singkatan bagi Ḥarakat al-Muqāwamah al-ʾIslāmiyyah. Telah diasaskan pada 8 Disember 1987 selari dengan tercetusnya Intifadah Pertama.
Gerakan ini diasaskan oleh 7 orang tokohnya yang utama, iaitu: al-Syahid Syeikh Ahmad Yasin, Syeikh Ibrahim al-Yazuri, Syeikh Muhamad Sham’ah, Syeikh Abd al-Fattah Dukhan, al-Syahid Abd al-Aziz al-Rantisi, Isa al-Nasyar & al-Syahid Salah Syahadah.
Walaupun gerakan ini secara rasminya diasaskan pada tahun 1987, gerak kerja para tokoh Hamas telah bermula pada awal 1970-an apabila Syeikh Ahmad Yasin mengasaskan Pusat Islam di Gaza ketika umurnya baru mencecah 25 tahun. Pusat ini adalah sebagai markaz utama bagi Syeikh Ahmad Yasin mendidik generasi baru bagi perjuangan Islam di Palestin.
Hamas adalah sebuah gerakan yang sudah diketahui keterikatannya & keakrabannya dengan Ikhwan Muslimun di Mesir. Ini memandangkan apabila al-Syahid al-Imam Hasan al-Banna sejak tahun 1935 sudah bersama berjuang melawan kebejata Zionis.
Pada tahun 1945, Ikhwan Muslimun rasmi telah membuka cawangannya di Baitul Maqdis, kemudian tahun 1946 juga telah dibuka cawangannya di Gaza.
Pada tahun 2006, ketika diadakan PRU Palestin, Hamas telah rasmi menjadi sebagai parti terbesar yang memenangi kerusi di Parlimen Palestin. Menjadikan ia sebagai gerakan yang paling berpengaruh bagi rakyat Palestin.
Sayap Ketenteraan Hamas
Briged al-Syahid Izzudin al-Qassam atau nama pendeknya al-Qassam telah diasaskan pada tahun 1991 oleh beberapa tokohnya yang utama, seperti: Salah Syahadah, Muhamad Deif, Yahya Ayyash, Imad Aql & Nizar Rayyan.
Hampir kesemua pengasasnya telah syahid, yang tinggal untuk teruskan perjuangan ialah Muhamad Deif yang sehingga sekarang masih misteri keberadaannya serta membuatkan IOF sangat gerun dengan Muhamad Deif ini.
Sejak tahun 1988, al-Qassam sangat giat menyerang penjajah Israel Zionis yang zalim.
Antara perang utama yang telah dilancarkan oleh al-Qassam & turut disertai oleh briged yang lain:
- Perang al-Furqan, 2008.
- Perang al-’Asf al-Ma’kul, 2014.
- Perang Saif al-Quds, 2021.
- Perang Taufan al-Aqsa 2023.
Tokoh Utama al-Qassam
Di sini penulis secara berterus terang nyatakan, jika ingin disenaraikan pahlawan mereka yang hebat, sungguh terlalu banyak. Oleh itu, seperti briged yang lain, penulis hanya memilih yang paling berpengaruh antara semua yang hebat belaka ini.
- Yahya Ayyash
Yahya dilahirkan di Tebing Barat pada 6 Mac 1966 dan pernah memimpin al Qassam sebelum syahid pada 5 Jan 1996 di Gaza.
Yahya lulus di bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Bir Zeit pada 1988. Yahya menyertai al-Qassam pada 1992 dan terkenal sebagai pakar pembuat bom.
Kali pertama al-Qassam menggunakan bom ciptaan sendiri, ialah pada tahun 1992, oleh Yahya Ayyash.
Sebelum itu, bom ciptaan beliau tidak berjaya meletup. Kali pertama dicuba juga tidak meletup.
Al-Syahid Yahya sangat sedih, sehingga dikatakan beliau menangis.
Beliau digelar “Sang Jurutera” ( المهندس, — al-Muhandis) oleh Israel kerana misi pengeboman yang dirancangnya telah menyebabkan kematian lebih 90 orang tentera Israel.
Tatkala dalam buruan Israel, Yahya berpindah randah dan berusaha melatih seramai mungkin jurutera baru untuk meneruskan kerjanya.
Pada Oktober 1995, Shin Beit, agen keselamatan Israel mendekati bapa saudaranya, Kamil Hamad untuk membantu membunuh Yahya melalui sebuah telefon bimbit yang telah dipasang 15 gram bahan peledak RDX.
Pada 5 Januari 1996, ayah Yahya menghubunginya. Sebaik menjawab panggilan itu, sebuah pesawat Israel mendengar perbualan tersebut lantas menghubungi Shin Beit untuk segera meledakkan telefon dari jauh & beliau terbunuh.
2. Yahya Sinwar
Yahya al-Sinwar dianggap sebagai Mastermind bagi Operasi Taufan al-Aqsa.
Beliau ialah Pemimpin utama Hamas di Gaza. Dilahirkan tahun 1962 di Khan Younis, Gaza.
Pada tahun 1988 beliau telah dihukum penjara sepanjang hayat oleh rejim Zionis. Akhirnya pada tahun 2011 telah dibebaskan hasil pertukaran tawanan.
Washington telah memasukkan nama beliau di dalam senarai ‘pengganas antarabangsa’ pada tahun 2015. Pada tahun 2017 beliau terpilih sebagai pemimpin utama Hamas di Gaza.
Tahun 2021 menyaksikan beliau dipilih sekali lagi sebagai pemimpin utama.
Beliau ialah mastermind utama Operasi Taufan al-Aqsa.
Walaupun duduk di penjara penjajah Israel hampir 23 tahun, beliau tidak cair bahkan beliaulah yang banyak merancang operasi ketenteraan dibebaskan.
3. Muhamad Deif
Lelaki Misteri Yang Diburu Israel Selama 30 Tahun.
Itulah dia Muhamad Deif. Disifatkan sebagai individu yang mustahil.
Kerana mustahil untuk ditangkap & dibunuh.
Sudah berkali-kali usaha untuk membunuh beliau, namun gagal sama sekali!
Nama sebenar beliau ialah Muhamad Diab Ibrahim al-Misri. Tetapi lebih dikenali dengan Muhamad Deif, kerana cara kehidupannya yang berpindah randah atas sebab keselamatan. Dilahirkan pada tahun 1965 di Khan Younis, Gaza. Asal keluarganya dari al-Qubaibah, Baitul Maqdis.
Beliau telah bergabung dengan Hamas sejak menjadi pelajar. Bahkan, beliau telah menjadi ahli yang proaktif. Pada tahun 1988, beliau berjaya tamatkan degree beliau dalam Bidang Sains dari Uni. Islam Gaza.
Ramai yang tidak ketahui tentang satu minat Deif akan seni lakonan pentas/pentomen islamik. Beliau mempunyai satu kumpulan yang dinamakan sebagai al-’Aidun. Kumpulan ini berjaya membangkitan semangat rakyat Palestin untuk menuntut hak ke atas tanah mereka.
Anda tahu berapa kali cubaan bunuh ke atas Deif telah dibuat?
7 kali! Dengan izin Allah cubaan itu tidak berjaya. Israel telah cuba membunuh Deif pada tahun: 2001, 2002, 2003, 2006, 2014.
Kemuncaknya, ialah pada 2014, apabila Israel telah bom rumahnya, mengakibatkan syahidnya isteri & anak beliau. Diceritakan beliau terselamat, namun dia tercedera. Namun, ini tidak melemahkan beliau.
Sejak itu media massa Israel menggelar beliau dengan pelbagai gelaran: antaranya, manusia yang punyai 7 nyawa, manusia mustahil, manusia 9 nyawa.
Kini, Taufan al-Aqsa telah berjaya membuka mata dunia tentang akhlak Deif & bala tenteranya.
Meskipun, ahli keluarga beliau sendiri syahid, bahkan sahabat handai beliau telah pergi. Akhlak bersama tawanan & prinsip Islam dalam berperang tetap dipegang dengan begitu teguh. Tawanan dilayan dengan mulia, anak kecil & orang tua dilarang untuk dibunuh.
Itulah Deif, Arkitek Utama Taufan al-Aqsa.
Segala kehebatan al-Qassam yang kalian lihat sekarang juga adalah dari hasil perahan idea Deif, kerana Israel menggelar beliau sebagai Pemilik Arahan Roket al-Qassam.
Hamas, al-Qassam & Taufan al-Aqsa
Pada 7 Oktober 2023 kita disaksikan dengan satu kejutan hebat yang dilakukan Unit Udara al-Qassam. Pasukan ‘paraglider’ mereka berjaya menembus masuk ke kawasan yang telah dijajah oleh Israel, yang dikatakan mempunyai satu unit perisikan yang paling hebat di dunia.
Namun, mereka sendiri menggelupur terkejut serta menggagau ketakutan akibat serangan ini.
Serangan hebat yang didahului, (buat kali pertama dalam sejarah perjuangan panjang Palestin), benar-benar memaksa Israel & Netanyahu untuk meneruskan operasi darat di Gaza.
Sehingga ke hari ini kita lihat Abu Ubaidah sebagai Jurucakap al-Qassam mengemudi peperangan ini dengan penuh karisma & teguh.
Ini jelas menunjukkan al-Qassam sebagai peneraju utama bagi Taufan al-Aqsa ini.
Tetapi, kita harus akui, di belakang al-Qassam terdapat satu bala tentera yang terdiri dari pelbagai lapisan fahaman & ideologi. Dan al-Qassam lah yang menjadi pemimpin utama mereka.
Bagaimana al-Qassam yang dikira dari gerakan paling muda (Hamas) berjaya menjadi gerakan yang paling utama?
Penganalisis mengatakan, titik utama berlaku apabila Yahya Ayyash menunjukkan bahawa anak jati Palestin sendiri mampu untuk membuat senjata sendiri tanpa perlu bergantung penuh pada kuasa luar.
Titik perubahan ini berlaku pada tahun 1996, setelah kesyahidan Yahya Ayyash.
Begitu juga dengan latar belakang perjuangan & pejuang mereka yang panjang lagi hebat serta dihiasi dengan perjuangan Islam yang ikhlas, amat mudah bagi Hamas & al-Qassam menjuarai hati rakyat Palestin.
Bahkan harini, tanggal 7/10/2023, al-Qassam yang dulunya dikenali sebagai teroris di Barat. Telah diangkat menjadi pejuang, diangkat menjadi pembela yang tertindas!
Ustaz Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin Network