Apakah sebenarnya yang rakyat Palestin mahukan dari umat Islam?

Semasa menghadiri Muzakarah Ilmuwan Islam: Jihad Bebaskan Palestin pada 1 Jun baru-baru ini, saya sempat bertanya pada Dr. Muslim Imran, Pengarah Asia Middle East Center (AMEC) yang merupakan rakyat Palestin dan juga salah seorang pembentang muzakarah satu soalan ringkas iaitu “apakah sebenarnya yang rakyat dan pejuang Palestin mahukan dari umat Islam?”

Beliau memberikan dua bahagian jawapan, yang pertama adalah keperluan segera dan mendesak untuk menghentikan genosid di Gaza dan memberikan tekanan untuk gencatan senjata. Umat Islam perlu menggunakan segala saluran dan kemampuan yang ada baik dari segi diplomatik, politik, pengaruh media dan apa sahaja cara untuk memberi tekanan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan genosid ini.

Umat Islam perlu menjadi wakil bagi pihak Palestin berjumpa dan melobi pihak yang perlu terutamanya di Barat supaya hentikan genosid kerana jika kami (rakyat Palestin) pergi berjumpa kami akan dianggap pengganas tetapi tidak kamu, mereka tidak anggap kamu pengganas.

Keduanya, beliau berkata insyaAllah apabila genosid telah berhenti ada dua perkara yang mereka mahukan dari umat Islam:

1. Teruskan menyokong pejuang Palestin.

    Umat Islam perlu teguh dan kuat menyokong gerakan pejuang Palestin, bantuan kemanusiaan adalah penting tetapi ia tidak akan merubah suasana, yang akan merubah suasana adalah perjuangan pembebasan Palestin.

    Bagaimana untuk menyokong? Beliau berkata jadilah suara untuk pihak pejuang di pentas dunia, sampaikan naratif yang betul tentang perjuangan pembebasan Palestin. Kemudian berikan segala bentuk bantuan kepada pejuang, baik segi politik, media, ketenteraan dan juga kewangan.

    Beliau memberi contoh bagaimana Mauritania, sebuah negara kecil yang miskin, tetapi telah menyalurkan puluhan juta dolar selama ini kepada gerakan pejuang untuk pembebasan Palestin. Negara-negara Islam yang mewah dan kaya sepatutnya boleh melakukan lebih daripada itu.

    2. Menjadi kuat.

      Perkara kedua yang beliau sebutkan ini bukan untuk Palestin, tetapi untuk ummah itu sendiri, beliau meminta umat Islam menjadi kuat dengan membina kekuatan tersendiri. Kita sudah terlalu lama hidup dalam sistem yang dicipta musuh yang menyebabkan kelemahan, keterbatasan dan mudah dicatur oleh mereka sesuka hati.

      Negara Islam perlu membangunkan kepakaran dan membina teknologi serta sistem sendiri termasuklah ekonomi dan persenjataan. Ketika ini hanya ada tiga negara yang dianggap sebagai negara Islam yang mampu mengeluarkan senjata sendiri iaitu Turki, Pakistan dan Iran. Beliau juga menyebut Malaysia sepatutnya boleh terkehadapan dalam bidang ini dengan kepakaran dan bijak pandai yang ramai dalam negara ini.

      Walaupun benda ini pastinya akan mengambil masa yang panjang tetapi ia perlu bermula sekarang dan perlu ada iltizam politik (political will) yang kuat oleh para pemimpin negara Islam.

      Begitulah sedikit sebanyak jawapan beliau yang saya dapat rumuskan, yang boleh diambil tindakan segera oleh kita semua. Fikirkan secara mendalam apa peranan yang kita boleh lakukan sama ada kecil atau besar. Gunakan kemahiran, pengaruh dan kedudukan yang Allah SWT pinjamkan.

      15 Resolusi Muzakarah Ilmuwan Islam: Jihad Bebaskan Palestin: duniapalestin.net/dunia/4283/

      Ahmad Nu’man Mazlan
      Pengurus Dunia Palestin Network

      Total
      0
      Shares
      Leave a Reply

      Your email address will not be published. Required fields are marked *

      Previous Post

      Hamas: Veto AS merupakan lampu hijau kepada jenayah Netanyahu

      Next Post

      Hamas: Kecaman negara dunia tanpa tindakan tidak lagi dipedulikan Israel

      Related Posts