Taufan Al-Aqsa adalah fasa baharu dalam perjuangan rakyat Palestin. Ia juga adalah fasa baharu kepada Israel. Walaupun angka kematian meningkat dari hari ke hari di kalangan rakyat Palestin, tetapi hakikat kemusnahan Israel ini semakin hari juga semakin hampir menjadi kenyataan.
Saya kongsikan di sini beberapa petunjuk ringkas yang menuju ke arah itu:
a. Yang mengendalikan perang bagi pihak Israel sekarang adalah AS. Selain dari bantuan tunai dari AS sebanyak USD 8 billion, penghantaran 10,000 tentera dan bantuan aset ketenteraan di hari awal berlakunya Taufan al-Aqsa, US juga mengambil alih ‘war room’ secara langsung. Ini bukti bahawa AS menganggap Israel tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri.
b. Kabinet Israel selepas serangan 7 Oktober adalah kabinet gabungan antara parti pemerintah dan pembangkang. Ahli politik Israel yang bertelagah selama ini akhirnya buat kali pertama dalam sejarah bersatu untuk menghadapi rakyat Palestin. Bacaan mudah dalam persaingan politik, bila seteru politik bersatu maknanya mereka ada musuh yang lebih besar yang mereka tidak boleh hadapi sendirian.
c. Ekonomi Israel sedang menuju kehancuran. Tiada kemasukan pelancong. Tiada penerbangan dan lapangan terbang tidak lagi aktif. Kedai-kedai, hotel dan sebagainya sudah mula suram. Kos perang dalam masa 20 hari pertama sudah menelan belanja sebanyak USD 25 billion. Dan kos harian sekarang adalah USD 1.3 billion. Israel tidak akan mampu menanggung lagi kos itu jika perang ini berpanjangan.
d. Rakyat Israel sudah hilang keyakinan kepada kemampuan negara mempertahankan mereka. Selama puluhan tahun tertanam dalam minda rakyat Israel bahawa Israel negara terkuat dunia dan Israel mampu menyerang Iran bila-bila masa. Serangan beberapa minit pada 7 Oktober yang menjatuhkan 11 penempatan askar, 21 penempatan haram Israel, membunuh lebih 1,000 tentera dan menawan lebih 200 tawanan menghilangkan mitos kepercayaan itu dari minda rakyat Israel. Bagi yang ada kewarganegaraan lain dan ada wang, mereka keluar beramai-ramai kembali ke negara mereka. Serangan membabi buta terhadap orang awam hanyalah untuk mengembalikan keyakinan tersebut kepada rakyat bahawa Israel masih kuat.
e. Pergerakan ahli politik dan rakyat untuk menjatuhkan Netanyahu semakin hari semakin kuat. Semua menafsirkan bahawa Netanyahu sudah hilang kredibiliti untuk memimpin. Netanyahu tidak ada pilihan selain dari meneruskan serangan sebagai alasan untuk menangguhkan pilihanraya. Ada sumber yang mengatakan bahawa sasaran Netanyahu adalah 50,000 kematian di pihak Palestin. Dan ada bacaan bahawa Netanyahu akan jatuh dalam tempoh terdekat.
f. Pergerakan dari Iran dan sekutunya; Syria, Hizbullah Lubnan dan Houthi Yaman sudah berlaku. Mungkin juga Iraq tidak lama lagi. Semua mendapat peluang keemasan kelemahan Israel ini untuk meluaskan projek Hilal Syiah (Syiah Raya) mereka. Jika mereka bersatu menyerang serentak, AS dan sekutunya yang juga sedang sibuk dengan isu Ukraine dan lain-lain belum tentu mampu menyelamatkan israel.
Sebahagian pimpinan Fatah sudah mula mengubah cara pandang mereka kepada isu Palestin ini. Sebahagian pimpinan negara Arab sekutu Israel seperti Mesir juga sudah mula menunjukkan ketegasan terhadap Israel dalam beberapa isu, kerana mereka sudah membaca bahawa arus sekarang bukan lagi berpihak kepada Israel.
Pemimpin Malaysia, NGO dan politik sepatutnya faham bahawa jika mereka masih berpihak kepada Israel, mereka sebenarnya berada di pihak yang kalah. Masa masih ada untuk membetulkan pendirian.
Wallahu a’lam.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)