Selayang Pandang Surah Bani Israil
Apabila para budiman membaca tajuk, pasti akan terkejut dengan nama surah, iaitu: Bani Israil.
Adakah wujud nama surah ini di dalam al-Quran yang kita baca saban hari? Wujudkah nama ini di dalam al-Quran yang terdapat di dalam aplikasi telefon bimbit kita?
Jawapannya memang tidak ada.
Namun, untuk manfaat umum, ada beberapa surah di dalam al-Quran yang mempunyai lebih dari satu nama, contohnya ialah Surah al-Isra’, yang sering kita tadabbur setiap tahun apabila tibanya peristiwa bersejarah Isra’ & Mi’raj Rasulullah SAW.
Penulis Tafsir al-Quran yang hebat, Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir iaitu Sheikh al-Tahir ibn Ashur mengatakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, Para Sahabat & Para Tabiin, Surah al-Isra’ lebih dikenali dengan ‘Surah Bani Israil’.
Bahkan, Sahabat yang bernama Abdullah bin Mas’ud, antara salah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang paling pakar tentang al-Quran beserta tafsirnya juga pernah berkata, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sanad dari Abd al-Rahman bin Yazid:
“Surah Bani Israil (al-Isra’), Surah al-Kahfi, Surah Maryam, Surah Taha, Surah al-Anbiya’ ialah antara surah-surah yang paling awal diwahyukan kepada Rasulullah SAW. Surah-surah ini juga ibarat perkara yang paling berharga bagi-Ku”.
Jadi, jelas sudah tentang golongan Salaf al-Saleh yang menyebut nama surah ini sebagai Surah Bani Israil.
Mengapa?
Kerana di dalam surah ini telah dibuka tentang kisah agung Isra’ Rasulullah SAW ke Masjid al-Aqsa, kemudian ayat yang seterusnya telah diceritakan tentang Bani Israil & kisah kehancuran (الإفساد) yang mereka lakukan di atas muka bumi ini.
Ayat 4 dan 5 Surah Bani Israil
Di dalam Surah Bani Israil, ayat 4 & ayat 5 adalah titik utama perbincangan kita. Kerana ia secara tidak langsung terkait dengan situasi yang berlaku pada zaman moden ini; Perang Israel-Palestin.
Di dalam ayat 4, Allah SWT telah berfirman bahawa Bani Israil akan melakukan kerosakan (الإفساد) sebanyak 2 kali, bahkan mereka ini setelah membuat kerosakan bersifat angkuh dan sombong.
Berkesinambungan dengan kerosakan yang telah dilakukan oleh Bani Israil, Allah SWT telah berjanji di dalam ayat yang ke-5 dari Surah Bani Israil bahawa Allah SWT akan berjanji untuk menghantar (البعث) dalam bentuk kehancuran kepada Bani Israil.
Ini adalah natijah dari kehancuran yang dilakukan & sifat sombong dan angkuh setelah membuat kerosakan di atas muka bumi.
Di dalam memahami maksud kalimah (الإفساد)= Kehancuran & (البعث)= Pembalasan, para ahli tafsir al-Quran ada berbeza pendapat di antara 2 golongan iaitu:
- Mutaqaddimin: mereka ini boleh dikategorikan golongan mufassirin yang hidup sebelum zaman moden.
- Muasirin: mereka ini ialah golongan ahli tafsir yang hidup pada zaman kini.
Ada 2 titik perbezaan para ahli tafsir di dalam menafsirkan ayat 4 & 5 Surah Bani Israil. Perbezaan penafsiran mereka tidaklah berlaku disekitar maksud sebenar kalimah “لتفسدنّ“ & ”بعثنا”, tetapi lebih kepada siapakah & bilakah berlakunya kehancuran & janji dari Allah SWT kepada kaum Bani Israil.
Penafsiran para mufassirin mutaqaddimin
Penulis dapati amat susah untuk menentukan yang mana satukah yang paling rajih (tepat) dari segi pendapat di kalangan para mufassirin yang lama ini dalam menentukan siapakah watak yang dimaksudkan di dalam al-Quran.
Kerana penafsiran yang membawa kepada peristiwa bersejarah ini telah membuatkan para mufassir berbeza pendapat, bahkan perbezaan itu terlalu banyak untuk disenaraikan.
Namun, demi manfaat pembaca yang budiman sekalian, penulis cuba senaraikan watak-watak yang pernah disebut oleh para mufassir mutaqaddimin yang terdapat di dalam kisah Surah Bani Israil ini.
Pendapat mufassir mutaqaddimin mengenai kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israil
Di dalam ayat yang ke-4 dari Surah Bani Israil jelas bahawa Allah SWT telah memberitahu bahawa Bani Israil akan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini sehingga mengundang murka dari Allah SWT.
Kerosakan yang dinyatakan di dalam ayat ini bukan hanya 1, tetapi 2 kali kerosakan yang akan dilakukan oleh Bani Israil.
Jadi apakah kerosakan yang telah dibuat oleh Bani Israil yang dimaksudkan di dalam ayat yang ke-4 ini?
Para Mufassirin berbeza pendapat tentang kerosakan yang dimaksukan ini.
Kerosakan yang pertama ialah:
- Mereka telah menghalalkan perkara-perkara yang haram serta telah membunuh nabi mereka, iaitu Nabi Isaiah.
- Ibn Abbas RA & Ibn Mas’ud RA berpendapat bahawa kerosakan yang pertama ialah Bani Israil membunuh Nabi Zakaria AS.
- Ibn Ishak berpendapat yang dimaksudkan ialah pembunuhan Nabi Isaiah di dalam pokok. Bahkan beliau juga menambah bahawa Nabi Zakaria AS tidak dibunuh, bahkan beliau meninggal dengan cara yang biasa.
- Al-Tabari juga ada mengeluarkan pendapat yang menyatakan riwayat dari Ibn Abbas RA tentang maksud kerosakan ialah pembunuhan Nabi Yahya AS.
- Al-Syaukani pula mengatakan kerosakan pertama ialah pembunuhan Nabi Isaiah & penangkapan mereka ke atas Nabi Jeremiah serta melanggar ajaran Taurat. Manakala kerosakan yang kedua ialah pembunuhan Nabi Yahya AS serta kejahatan Bani Israil yang merancang untuk membunuh Nabi Isa AS.
Dari senarai yang di atas yang telah penulis ringkaskan dari pelbagai perbincangan para mufassirin, dapat disimpulkan beberapa perkara:
- Para mufassirin tidak dapat menentukan secara jelas apakah peristiwa yang dimaksudkan dengan kerosakan yang terdapat di dalam Surah Bani Israil ayat yang ke-4 ini.
- Namun, peristiwa itu berlegar di antara 2 kerosakan, iaitu: Komplot Pembunuhan Bani Israil ke atas nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka seperti: Nabi Isaiah, Jeremiah, Zakaria AS & Yahya AS.
- Yang kedua, ialah kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israil dalam bentuk keingkaran mereka terhadap ajaran yang terdapat di dalam Taurat.
- Para mufassirin ini juga tidak menentukan secara tepat apakah ia kerosakan yang pertama & apakah ia kerosakan yang kedua.
Setelah pelbagai perkara kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israil ini, mereka tidak insaf & bertaubat, bahkan mereka ini bersifat sombong & angkuh seperti yang diceritakan oleh Allah SWT dalam ayat yang ke-4.
Rentetan dari kerosakan yang berkali-kali inilah Allah SWT telah menghantarkan janji-Nya dalam bentuk kehancuran kepada Bani Israil.
Siapakah yang dihantar Allah SWT untuk menghancurkan Bani Israil?
Para Mufassirin seperti al-Tabari, al-Qurtubi, al-Baghawi, al-Alusi, al-Syaukani dan lain lagi dari sekalian mufassirin menyatakan ada beberapa watak atau tokoh yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ke-5 & ke-7 dari Surah Bani Israil.
Antara tokoh yang disebutkan oleh mereka ialah:
Sennacherib
Menurut Ibn Ishak berpendapat bahawa selepas kerosakan yang pertama Allah SWT telah menghantar Sennacherib. Beliau ialah seorang raja bagi sebuah kerajaan di Assyria yang terletak di Lembah Mesopotamia.
Tempoh kekuasaan beliau ialah sekitar tahun 705 SM – tahun 58 1SM.
Jadi di sekitar tempoh ini, beliau telah menghantar bala tentera yang ramai ke Jerusalem yang ketika itu diperintah oleh Kerajaan Judah yang dipimpin oleh Hezekiah.
Kesan dari peperangan ini Sennacherib berjaya merampas banyak kawasan yang pada awalnya di bawah jajahan takluk Hezekiah bahkan Sennacherib berjaya menakluk kota-kota penting milik Kerajaan Judah.
Melihat dari kesan dari penjajahan yang dilakukan Sennacherib tidaklah teruk sangat berbanding Nebuchadnezzar II, para mufassirin kuat mengatakan beliaulah yang dimaksudkan dalam kehancuran yang pertama hasil dari kerosakan yang pertama.
Nebuchadnezzar II
Nebuchadnezzar II juga adalah seorang raja yang gagah yang berpengkalan di Mesopotamia. Beliau datang selepas Sennacherib serta memimpin kerajaan yang datang selepas kerajaan Sennacherib. Bahkan, Nebuchadnezzar II datang lebih kurang 200 tahun selepas Sennacherib.
Oleh itu, para mufassirin mutaqaddimin kuat mengatakan beliaulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam kehancuran ke-2 yang datang di dalam ayat yang ke-7 dari Surah Bani Israil.
Selain itu, para mufassirin menyatakan Nebuchadnezzar II melaksanakan operasi penjajahan ke atas Jerusalem setelah mendapat khabar bahawa Bani Israil telah membunuh nabi mereka. Namun, nama nabi yang telah disebutkan juga ada beberapa dan mereka berbeza beberapa pendapat.
Antaranya: Isaiah, Jeremiah, Zakaria & Yahya.
Sejarah telah mencatatkan bahawa Nebuchadnezzar II telah menghancurkan Jerusalem dengan kemusnahan yang amat teruk. Zuriat Bani Israil telah dibunuh tanpa mengira jantina & umur bahkan semua bangunan telah diranapkan. Ketika inilah dikatakan Haikal atau Kuil Sulaiman telah dihancurkan
Titus
Ada juga para mufassir yang mengatakan kerosakan yang ke-2 berlaku pada era pemerintahan Raja Rom yang bernama Titus. Beliau berkuasa sekitar tahun 79 M — 81 M.
Pada tahun 70 M, Titus yang pada ketika itu masih lagi belum menjadi seorang raja, telah mengetuai sebuah ekspedisi peperangan yang besar di Jerusalem.
Jerusalem pada ketika itu memang sudah berada di bawah kekuasaan Rom. Namun, terdapat pemberontakan yang besar yang dilakukan oleh Bani Israil yang berada di Jerusalem.
Maka, Raja Rom pada ketika itu telah menghantar Titus bagi meredakan pemberontakan ini.
Hasilnya, Titus bersama bala tenteranya telah menghancurkan Jerusalem & Kuil Bani Israil buat kali kedua setelah ia dibina semula selepas dihancurkan oleh Nebuchednazzar II.
Jalut
Ada juga pandangan mufassir yang mengatakan Jalut atau ‘Goliath’ sebagai tokoh yang dihantarkan oleh Allah SWT dalam kehancuran yang pertama. Namun, bilangan mufassir yang mengatakan pendapat ini tidaklah ramai.
Jalut, adalah seorang yang berasal dari etnik atau kaum ‘Philistine’. Kaum ini terkenal perseteruan mereka dengan kaum Bani Israil
Seperti yang direkodkan dalam sejarah, Jalut dikenali sebagai sebuah figura yang unik & hebat. Punyai tubuh yang amat besar dan gagah. Sehingga dikatakan Jalut adalah sebuah raksasa yang menakutkan.
Maka, Allah SWT telah menghantarkan Jalut kepada Bani Israil. Hasilnya Bani Israil berjaya dikalahkan dengan teruk.
Selepas itu, Allah SWT telah mengutuskan Nabi Daud AS dan Baginda telah berjaya mengalahkan Jalut seperti yang terkenal di dalam al-Quran.
Analisa pandangan para mufassir mutaqaddimin terhadap ayat 4,5 dan 7 dari Surah Bani Israil
Ada beberapa permasaalahan yang jelas dari pelbagai penafsiran para mufassirin mutaqadimin seperti berikut:
- Jelas di atas bahawa berlaku khilaf yang pelbagai dari kalangan para ulama’ tentang bilakah & siapakah yang dimaksudkan di dalam ayat-ayat tersebut. Khilaf ini berlaku kerana sumber-sumber yang diambil mengenai kisah-kisah ini adalah dari sumber israiliyat.
- Jikalau pembaca yang budiman sedar, kisah-kisah yang telah dibawakan oleh para mufassirin yang silam ini tidak mengaitkan kisah tersebut dengan ayat 1 dari Surah Bani Israil. Mengapa selepas kisah Isra’ & Mi’raj Rasulullah SAW telah dibawakan kisah-kisah lampau yang bukan berlaku pada zaman Rasulullah SAW?
Di dalam Pengajian al-Quran di sana ada sebuah ilmu yang dinamakan sebagai Ilmu Munasabah al-Quran. Ilmu ini membincangkan kesinambungan antara 1 ayat al-Quran dengan ayat yang datang sebelum atau selepasnya.
Jadi jelas, kisah-kisah yang dibawakan di atas, susah untuk dihubungkaitakan dengan kisah Isra’ & Mi’raj yang ada pada ayat 1. - Yang paling penting di sini ialah, kesemua para mufassirin yang disebutkan di atas tidak sempat melihat terbinanya Negara Haram Israel pada tahun 1948! Maka, mereka tidak sempat melihat kerosakan yang telah dilakukan Yahudi Zioniz pada masa kini.
Maka, tiba masanya kita membincangkan pendapat mufassirin muasirin (moden) berkait Surah Bani Israil ini.
Pandangan mufassirin muasirin terhadap ayat 4, 5, 6 dan 7 dari Surah Bani Israil
Penulis kira, ini adalah ilmu yang baru bagi penulis. Kerana saban tahun kita membaca Surah al-Isra’ setiap kali tibanya Isra’ & Mi’raj, pasti beberapa penceramah akan menceritakan Kisah Bukhtanasar (Nebuchednazzar II) yang menghancurkan Haikal Sulaiman & Baitul Maqdis.
Namun, para mufassirin moden semisal al-Syeikh al-Syaarawi, Dr. Solah Abd al-Fattah al-Khalidi & Dr. Ahmad Naufal telah memberikan perspektif yang baru buat penulis.
Oleh itu, dengan berbesar hati penulis ingin kongsikan perspektif ini kepada para pembaca yang budiman.
Pandangan al-Syeikh al-Syaarawi, Dr. Solah Abd al-Fattah al-Khalidi dan Dr. Ahmad Naufal
Mereka semua ini sepakat mengatakan bahawa (الإفساد) yang dimaksudkan di dalam Surah Bani Israil ini, berlaku selepas Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul.
Kerana pandangan ini lebih dekat & lebih berkesinambungan dengan mukadimah Surah Bani Israil yang menceritakan tentang Isra’ & Mi’raj Rasulullah SAW.
Para mufassir ini juga sepakat mengatakan bahawa kerosakan yang pertama yang dilakukan oleh Bani Israil adalah perseteruan & pelanggaran janji oleh Bani Qainuqa’ pada 2 Hijrah, Bani al-Nadhir pada 4 Hijrah, Bani Quraizah pada 5 Hijrah & Perang Khaibar pada 7 Hijrah.
Maka, siapakah yang dimaksudkan oleh Allah SWT (عبادًا لنا) di dalam ayat yang ke-5?
Para mufassirin moden berpendapat, bahawa maksud (عبادًا لنا) yakni ‘hamba kami’ ialah Rasulullah SAW beserta Para Sahabat RA.
Dr. Solah al-Khalidi juga kuat mengatakan ‘Hamba’ di sini adalah hamba-hamba Allah SWT yang muslim & mu’min.
Jika kita amati para mufassirin mutaqaddimin, kesemua hamba yang diutuskan Allah SWT sebagai janji kehancuran kepada Bani Israil, kesemuanya adalah hamba-hamba Allah SWT yang kafir.
Maka, ini sangat jelas perkaitan di antara mukadimah Surah Bani Israil dengan ayat-ayat yang datang selepasnya.
Pada ayat yang ke-5 Allah SWT telah ceritakan dengan jelas tentang janji-Nya dengan mengutuskan Rasulullah SAW & Para Sahabat RA sebagai kehancuran pertama mereka.
Natijahnya, selepas pelbagai pengkhianatan dan perseteruan dengan Rasulullah SAW & Para Sahabat RA, Bani Israil telah dihalau dari Jazirah (semenanjung) Arab secara total. Kemuncaknya adalah selepas Perang Khaibar.
Majoriti Bani Israil telah keluar dari Jazirah Arab & berkeliaran di kawasan, benua, tempat yang lain.
Sehingga tibalah zaman moden ini.
Tafsir ayat yang keenam
Pada ayat yang ke-6 pula, Allah SWT berfirman dengan jelas bahawa Allah SWT akan kembalikan kekayaan yang melimpah ruah buat Bani Israil.
Soalnya, bilakah situasi ini akan berlaku?
Para mufassirin mutaqaddimin tidak menceritakan dengan jelas, bilakah situasi ini akan berlaku.
Mengapa?
Kerana mereka hidup pada suasana yang mana Bangsa Yahudi itu sendiri berpecah belah, berpisah-pisah di seantero dunia & mereka tidak ada negara yang sendiri. Itulah sedikit gambaran tentang Yahudi pada pra-zaman moden.
Di sini jugalah kelebihan yang ada pada para mufassirin moden.
Kenapa?
Kerana kesemua nama yang penulis senaraikan dari golongan mufassirin moden ini hidup pada ketikamana Negara Haram Israel telah berjaya ditubuhkan pada tahun 1948.
Sudah tentu ini adalah ‘game changer’ atau perubah utama perspektif dalam memahami konteks Surah Bani Israil ini.
Kehancuran yang kedua dan janji yang kedua di dalam ayat yang ketujuh Surah Bani Israil
Di dalam ayat yang ke-7, Allah SWT telah jelas berfirman bahawa pada suatu masa nanti, selepas Bani Israil telah mengecapi kekayaan & kejayaan yang melimpah ruah, mereka akan melakukan kehancuran besar buat kali yang ke-2. Selepas itulah Allah SWT akan melaksanakan janjinya untuk menghantarkan kehancuran akibat kesombongan mereka.
Apa pendapat mufassirin moden tentang waktu kehancuran & janji yang ke-2?
Mereka berijtihad bahawa kerosakan ini mula terjadi apabila Theodor Herzl mengumpulkan delegasi Yahudi di Kongres Basel pada tahun 1897. Di kongres yang penting inilah terangkatnya idea yang menjadi naratif utama bagi sekalian Yahudi untuk membina negara di Tanah Palestin.
Bahkan, Syeikh Mutawalli al-Syaarawi menambah dengan berkata:
“Barangsiapa yang mengamati ayat yang ke-7 pasti akan mengetahui bahawa di dalam ayat ini mengandungi berita gembira tentang terealisasinya janji Allah SWT. Apa yang kita lihat sekarang dari terkumpulnya Yahudi (Bani Israil) di Tanah Palestin. Akan tiba satu masanya nanti Allah SWT akan menghantar (عبادا لنا) yakni hamba kami untuk menghancurkan mereka. Kehancuran ini susah untuk berlaku jika mereka yakni Bani Israil berada di tempat yang berbeza-beza. Bahkan, kehancuran ini akan berlaku dengan lebih mudah apabila mereka berada di satu tempat yang sama”.
Selepas tahun 1897, telah banyak siri kerosakan yang telah dibuat oleh Bani Israil di atas muka bumi & tidak ada kuasa besar dunia yang mengecam Israel ini.
Antara detik sejarah penting yang merakamkan kehancuran yang dilakukan oleh Bani Israil ialah:
- Nakbah 1948
- Naksah 1967 (Perang 6 Hari)
- Perjanjian Oslo 1993
Bilakah janji Allah SWT yang kedua buat Bani Israil?
Penulis kira ini adalah soalan cepumas yang dinantikan oleh ramai pencinta al-Quds & Masjid al-Aqsa.
Sejak terdirinya Negara Haram Israel, rakyat Palestin tidak duduk berpeluk tubuh. Bahkan sejak awal lagi mereka telah bangkit berjihad menuntut hak, bahkan para mujahidin di Palestin adalah benteng terakhir bagi mempertahankan Masjid al-Aqsa dari dilepaskan kepada penjajah yang zalim.
Sejarah telah mencatatkan peristiwa penting tentang kebangkitan Mujahidin di Palestin:
- Intifadah (kebangkitan) Pertama (1987)
- Intifadah kedua (2000)
- Perang Gaza (2008)
- Perang ‘Asfin Ma’kul (2014)
- Perang Saif al-Quds (2021)
Taufan Al-Aqsa, Pemangkin kehancuran kedua Bani Israil
Pada 7 Oktober 2023, seluruh dunia dikejutkan dengan serangan hendap yang dilakukan oleh Mujahidin ke atas penjajah. Agen perisikan & ketumbukan tentera yang sangat hebat itupun tidak dapat mengesani persiapan ketenteraan Mujahidin yang selama ini disekat dari pelbagai arah & sudut.
Sejak 7 Oktober, kita telah melihat sekali lagi kerosakan yang kejam, binatang & barbarik yang telah dilakukan oleh Bani Israil moden ini.
Kesemua jenayah perang telah diganyang begitu saja oleh mereka: mengebom hospital, membunuh anak kecil yang tidak bersalah, menghalang bantuan kemanusiaan untuk masuk ke Gaza dan bermacam-macam lagi jenayah jelik yang dilakukan.
Di dalam masa yang sama kita telah lihat bagaimana Mujahidin telah menunjukkan akhlak yang sangat mulia. Seluruh dunia kaget melihat wajah yang selama ini mereka sangkakan sebagai teroris, bukanlah pengganas.
Tawanan perang dilayang dengan baik! Orang tua dihormati bagai keluarga! Tawanan telah dilayan bagai tetamu kehormat!
Bermula detik inilah detik sokongan dunia beralih kepada mujahidin, telah beralih kepada (عبادا لنا) yang dimaksudkan oleh Allah SWT!
Para pembaca yang budiman,
Apa yang kita lihat sekarang ini ialah proses ‘live’ yang Allah maksudkan dengan kehancuran yang ke-2.
Namun, bilakah janji Allah SWT yang ke-2 akan hadir kepada Bani Israil?
Ini adalah termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib.
Kita harus yakin & pasti dengan janji Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Teruskan menyokong Mujahidin di Gaza & Palestin.
Mungkin mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran?
Hanya Allah SWT yang tahu.
Yang pasti kehancuran ke-2 sedang berlaku di depan mata kita.
Kita harus memilih pihak mana yang kita mahu bersama.
Adakah bersama para simpati Bani Israil yang sedang melakukan kehancuran?
Atau kita mah bersama dengan ‘Hamba-Hamba Allah SWT’ yang akan menunaikan janji-Nya.
Nasihat penulis yang pacal ini, kita jangan tersalah pilih pihak!
Wallahuaalam.
Ustaz Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin Network