Taufan Al-Aqsa menurut pemikir Maghribi, Taha Abd Rahman

Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Awal perkenalan aku bersama Sang Failasuf, Taha Abd al-Rahman, adalah melalui penulisannya. Aku telah baca dan menelaah hampir kesemua penulisan Taha.

Kali pertama peluang yang datang untuk aku berjumpa dengan Taha adalah ketika mana di sela-sela kesibukan berbincang bersama rakan taulan serta para pemikir di ‘Seminar Islam & Ketamadunan: Kelestarian Pembangunan Satu Bentuk Maqasid Syariah’ yang bertempat di Istanbul. Seminar ini telah dianjurkan pada tahun 2017 oleh Yayasan al-Furqan li al-Turath al-Islami dengan Kerjasama Universiti Ibn Haldun di Istanbul.

Di sanalah kali pertama aku berjumpa dengan Sang Failasuf ini.

Kemudian silaturrahim kami berterusan dengan perantaraan media sosial. Aku juga telah berusaha untuk menziarahi Taha pada tahun yang berikutnya. Namun, keadaan kesihatan beliau yang sedikit tidak baik menghalang pertemuan ini.

Pada beberapa hari yang baru berlalu ini, ketika aku bermusafir ke Rabat (Morocco) buat kali keduanya, aku telah berhubung dengan isteri beliau bagi tujuan ziarah. Namun, isterinya telah nyatakan keuzuran Taha disebabkan keadaan kesihatan beliau yang masih belum pulih akibat operasi pembedahan yang baru sahaja dilalui oleh beliau pada beberapa bulan yang lepas.

Baru sahaja beberapa minit berlalu dari permintaan aku yang lepas, Sang Guru ini sendiri memanggil semula aku untuk datang menziarahi beliau. Kerana katanya, ini adalah anak muridnya dari Gaza yang datang!

Ketika aku baru sahaja melihat beliau dan disampingnya juga ada Dr. Muhammad Awwam. Dr Muhammad terus sahaja menerpa dan memeluk-ku. Dr. Muhammad bahkan berkata: ‘Aku ingin ambil berkat dengan bau wangian Taufan al-Aqsa sepanjang pertemuan yang berkah ini!’.

Selama lebih dari sejam, kami bertukar-tukar pendapat dan berbincang mengenai pertempuran yang sedang hangat berlaku.

Perbualan kami ini juga tidak terlepas juga berkenaan satu penulisan ilmiah yang sedang diusahakan oleh beliau, iaitu: Pembangunan Kemahiran Sastera Arab Dalam Kalangan Penutur dan Hubungannya dengan Kemahiran Logik Dalam Analisis Idea.

Boleh dikatakan segala pancaran sesi falsafah kami bersama Sang Failasuf ini adalah salah satu kesan dari satu bab dari buku yang baru juga dihasilkannya yang bertajuk ‘Sempadan Perjuangan’ (ثغور المرابطة) yang beliau telah tulis dalam kerangka ideanya tentang Intima’iyah (Amanah/Fitrah) yang beliau sering suarakan di dalam penulisannya.

Pemikiran tentang ‘Intima’iyah’ ini sangat berkaitan dengan “fitrah, akhlak, dan tanggungjawab”. Bahkan asas pemikiran ini sangat penting dalam mendepani entiti yang kejam yang sedang dihadapi oleh negara Arab dan Islam.

Ketamadunan dan Taufan Al-Aqsa

Prof. Taha Abd Rahman percaya bahawa Taufan Al-Aqsa telah memberi nafas yang baharu buat ketamadunan Islam, serta membangkitkan semangat buat umat ini.

Taufan al-Aqsa juga telah memberikan sebuah makna yang segar buat manusia melalui nilai-nilai yang mulia. Di mana nilai-nilai ini seseorang akan menemui semula jiwanya dan membuatkan dhamirnya mampu untuk menyelami kedalaman jiwanya.

Kesannya, seseorang manusia itu dapat menghubungkan jasmaninya yang terlihat dengan jiwa yang tersirat di sebalik hatinya. Kehidupannya yang terdekat dapat melihat sekaligus masa depannya.

Taufan al-Aqsa telah menghancurkan kepercayaan kita terhadap konsep kebebasan yang makin tersebar di bawah isme-isme, seperti; ‘Kebebasan adalah apabila kita bersama dengan Israel dan juga tunduk dengan segala macam kehendak mereka’.

Segala macam syarat yang karut ini telah menjadikan kebebasan yang mereka percayai itu terjerat dengan nilai-nilai yang sesat.

Bahkan Taha menambah lagi: ‘Hari ini, Gerakan Mujahidin Palestin telah mencatat sejarah yang harum. Mereka telah membawa manusia ke arah cahaya serta membuka dengan luas minda kita semua’.

Apa yang sedang diusahakan oleh para mujahidin, serta apa yang berlaku di dalam perancangan gerakan yang sangat hebat ini, sama ada dalam bentuk individu mahupun secara berkumpulan, telah membuatkan kita semua menjadi sedar dan rasional tentang apa yang sepatutnya dilakukan.

Yang lebih jitu, para mujahidin ini telah memberikan sebuah tenaga segar buat tamadun dan umat ini untuk terus berjalan di atas landasannya.

Walaupun bilangan para mujahidin boleh dikatakan tidaklah ramai, namun mereka telah sanggup menyahut untuk memikul amanah yang besar dan mulia ini. Kerana merekalah nilai-nilai dan sifat-sifat yang dinisbahkan selayaknya kepada Tuhan dapat ditegakkan semula.

Mereka telah bangunkan semula Islam di atas akhlak yang suci.

Mereka telah tiupkan semula roh untuk mendekat kepada Allah S.W.T.

Sesunggunya umat yang mulia ini amat bergantung pada keberlangsungan perjuangan para mujahidin di Gaza.

Bahkan kekalahan bukanlah sesuatu yang patut berada di dalam fikiran kita dan mereka.

Kerana kekalahan mereka adalah kehancuran buat umat ini!

Taufan Al-Aqsa cara baru untuk faham Perang al-Ahzab

Taha telah samakan peristiwa Taufan al-Aqsa dengan Perang al-Ahzab yang mana perang ini telah berlaku di zaman Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W dan Para Sahabatnya telah berperang melawan tentera musyrikin dan Yahudi yang mengepung kawasan Kota Madinah.

Dalam masa yang sama golongan munafik dan orang-orang yang jiwanya sakit telah membuat kekacauan di dalam Madinah.

Sehingga dikatakan, kegawatan dan ketakutan yang berlaku ketika itu membuatkan jantung mereka terkeluar sehingga ke kerongkong.

Taha berkata: ’Aku telah meneliti pertempuran ini melalui persiapan dan perancangan yang teliti mujahidin. Para Mujahidin sangat cemerlang dalam perancangan dan inovasi yang datang dalam bentuk serangan dan pertahanan. Mereka berjaya walaupun keupayaan mereka amat terhad dan cabaran yang mereka hadapi juga amat besar’.

“Hanya satu-satu ini sahaja pada zaman kini.” Perjuangan Palestin menurut Kacamata Sang Failasuf

Guru kami percaya bahawa Perjuangan Palestin adalah sebuah perjuangan yang telah menyumbang kepada pembinaan Tamadun Islam. Perjuangan ini juga menjadi penyumbang besar kepada kemajuan pembinaan tamadun manusia.

Beliau menambah: ‘Sesungguhnya salah satu cara di mana umat kita hari ini boleh menyumbang untuk membina tamadun dan pembaharuan manusia adalah dengan “jihad”, dan bukan dengan cara lain’.

‘Umat ini hanya akan dapat melihat hasil sumbangan mereka berputik, hanya apabila wujudnya sebuah kumpulan yang sanggup memikul tanggungjawab yang berat ini’.

Menurut Sang Failasuf, para Mujahidin Palestin telah bangkit dengan gagah bagi memikul tanggungjawab yang terbeban di atas pundak mereka.

Para mujahidin telah memikul tanggungjawab ini dengan penuh saksama. Mereka memikulnya serta menjalankannya dengan cara yang paling berkesan.

Malah, Mujahidin di Palestin adalah satu-satunya yang telah bangkit dan menyahut seruan bagi mewakili umat ini, dan tidak ada selain mereka buat masa ini.

Aku tidak pernah mengalami makna ini sebelum ini.” Jihad adalah Perjuangan eksistensial, bukan sekadar perjuangan politik

Perjuangan pembebasan Palestin menurut perspektif Sang Failasuf bukanlah hanya tindak balas separuh masak atau tidak menyeluruh. Perjuangan yang diusahakan oleh mujahidin ini adalah sebuah gerakan perjuangan yang sempurna.

Beliau menambah: ‘Aku melihat sudut pandang jihad para mujahidin dalam membebaskan watan mereka melalui perspektif eksistensial, dan apa yang aku maksudkan eksistensial di sini ialah tidak ada makna pada kewujudan tanpa wujudnya rintangan, dan tidak ada erti pada kehidupan tanpa adanya jihad. Kerana kewujudan dan kehidupan hanya bernilai dengan wujudnya jihad itu sendiri!’.

Perjuangan para mujahidin sekaligus telah menyatukan semua kemampuan manusia: pendengaran, penglihatan dan semua deria manusia. Tiada satupun dari anggota tubuh badan manusia yang terkecuali daripada turut serta di dalam jihad ini.

Jihad bukanlah suatu usaha yang mana salah satu anggota berhenti atau tidak ikut, bahkan ia adalah sebuah perjuangan yang menuntut untuk mengerah segala kuadrat yang ada. Dengan kudrat inilah seseorang itu hidup dengan hakikat kehidupan yang sebenar.

Gerakan Jiihad dalam pengertian kewujudan bagaika eliksir kehidupan yang dianugerahkan Allah SWT buat para mujahidin.

Tanpa jihad ini, tidak ada apa-apa makna bagi sebuah kehidupan. Tanpanya yang tinggal hanyalah kematian dan kebinasaan.

Sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu [Al-Anfal: 24]”.

Seperti mana ayat ini telah menceritakan tentang keistimewaan buat para mujahidin yang telah menghancurkan segala keuzuran dan alasan. Tidak seperti kelompok yang redha dengan pengkhianatan dan juga kelompok yang sudah lali dengan kekecewaan yang mencengkam kehidupan mereka.

Kelompok yang hina inilah yang Allah SWT telah sebut di dalam al-Quran sebagai mayat di kalangan mereka yang hidup.

Allah SWT berfirman:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? (Al-An’am: 122)”

Taha juga percaya bahawa makna bagi ayat al-Quran ini tidak pernah ditasfirkan sebelum ini oleh para mufassirin.

Bagi Taha, tafsir ini sekaligus adalah tafsir eksistensial yang mengangkat nilai kewujudan Insan.

“Mentaliti Zionis telah dikalahkan.” Impian Sang Failasuf telah menjadi kenyataan

Taha telah memberitahu kami bahawa semangat dan kesedaran beliau terhadap Palestin dan juga politik telah bermula sejak Naksah (Hari Kekalahan) pada tahun 1967.

Pada ketika itu, beliau masih lagi bergelar seorang mahasiswa di universiti. Ketika itu juga beliau amat meminati bidang sastera arab khususnya berkaitan syair.

Ketika itulah terdetik di dalam jiwanya sebuah kegusaran, lalu sukmanya bertanyakan soalan cepumas: ‘Apakah Akal dan mentaliti yang mampu mengalahkan Bangsa Arab sebegini rupa? Bagaimanakah umat yang begitu ramai bilangannya bahkan punyai sejarah yang mulia, boleh jatuh teruk begini?’.

Ketikamana persoalan ini menghantui jiwanya, terbit pula satu pengharapan: ‘Bilakah agaknya bagi kami Bangsa Arab dan Umat Islam untuk punyai akal dan mentaliti yang dapat mengalahkan Akal Zionis!’.

‘Sesungguhnya aku percaya dan yakin kebangkitan bagi Akal Arab dan Islam pada zaman moden ini telah bertemu detik kebangkitannya pada detik tercetusnya Taufan al-Aqsa!’.

Para mujahid telah menunjukkan segala keupayaan Akal Islam dan terzahir dari mereka segala keluasan dan kekuatan Akal ini.

Di dalam pertarungan ini, wujudnya pula Akal Zionis yang terzahir dengan jelas segala kelemahan dan kekejaman mereka.

Para mujahidin telah memikul tanggungjawab yang mulia ini di atas pundak mereka menuju hakikat yang mereka sedang hadapi di hadapan Zionis yang kejam.

Sementalah itu, terealisasilah kejayaan mereka yang gemilang. Inilah maksud sebenar tentang al-Istifa’ Min Allah, yang Allah SWT sebutkan sebagai ‘Golongan yag Telah dipilih oleh Allah SWT’.

Akal mujahidin adalah ‘Akal al-Muayyad

Taha Abd Rahman telah membahagikan jenis akal kepada 3 bahagian:

  1. Akal Mujarrad: akal yang dibebani dengan pelbagai limitasi.
  2. Akal Musaddad: akal yang telah dicemari dengan pelbagai penyakit.
  3. Akal Muayyad: akal yang dihiasi dengan segala kesempurnaan.

Sang Failasauf berpendapat rahsia kejayaan yang gilang yang berlaku pada 7 Oktober tempoh hari adalah berpunca dari Akal Muayyad yang dibantu oleh Allah SWT.

Bahkan, Akal al-Muayyad ini dipenuhi dengan iman yang suci yang melewati segala perbatasan materialisme dan kebendaan. Akal ini bangkit seperti seorang raja yang hebat dan suci dari sebarang kemaksiatan kepada Allah SWT. Akal ini bagaikan ‘Cahaya atas cahaya’.

Para mujahidin diibaratkan sebagai cahaya yang memancar dengan terang dan menerangi nilai insaniah dengan segala nilai yang telah kita hilang selama ini.

Cahaya ini menyingkap semula fitrah yang telah mereka lafazkan saat bersaksi di hadapan Allah SWT tentang keEsaan-Nya. Dengan fitrah inilah jiwanya akan terangkat martabatnya dan menjadi sebaik-baik makhluk-Nya.

Sesungguhnya para mujahidin bagaikan raja yang gagah perkasa, semangat mereka tidak kenal erti batasan, sama ada yang berbentuk masa dan tempat.

Jiwa mereka terikat dengan ‘Arasy dan di dalam masa yang sama mereka berada di bawah bayangan Ilahi. Jiwa-jiwa mereka berkumpul bersama Allah SWT dan berpisah kerana-Nya. Bahkan, para malaikat berjuang bersama mereka!

Apa yang berlaku pada 7 Oktober yang terangkum dalam masa 3 jam tempoh hari, adalah sebaik-baik petunjuk bahawa merekalah contoh sempurna bagi Akal al-Muayyad yang sering aku kisahkan di dalam penulisan dan pengisian yang telah aku sampaikan.

Berbahagialah wahai para mujahidin!

Ini juga adalah dalil yang agung dan hakikat yang jelas bahawasanya Allah SWT ingin mewariskan kepada mereka segala Fadilat Ilahi dan Khususiyat Rabbaniah. Supaya mereka menjadi tanda kehebatan buat hati yang hidup dan juga menjadi contoh yang baik buat mereka yang punyai pendengaran yang tajam sedang mereka menjadi saksi kepada kisah yang berlaku ini.

Kerana apa yang paling penting ialah kita mengambil iktibar dari kisah yang sedang berlaku ini, kerana ia adalah tanda kebesaran, sebelum ia menjadi hikayat bualan manusia yang lain.

“Duhai, aku mengharapkan aku masih muda, agar aku mampu berjuang bersama mereka!” Harapan Sang Failasuf dalam Perang Taufan Al-Aqsa

Di dalam jeda perbincangan kami yang hangat ini, tiba-tiba guru kami meluahkan perasaannya dan impian mulianya kepada kami:

’Alangkah bagusnya jika aku masih muda supaya aku dapat berjuang bersama para mujahidin. Kerana detik inilah detik sebenar kehidupan, detik ini jugalah detik yang perlu dikejar oleh mereka yang inginkan kehidupan hakiki yang tiada bandingnya’.

‘Detik ini jugalah yang terpancar kehebatannya kepada para mujahidin dalam bentuk seruan ilahi kepada mereka. Mujahidin seakan-akan mendengar seruan ini secara terus, dan bukanlah seruan ini mereka fahami dari hasil pembacaan dan pemahaman mereka. Tidak sama sekali’.

Waktu inilah apabila para mujahidin memohon sesuatu kepada Tuhan, akan dikabulkan, apabila dipohon pengampunan, akan dihapuskan segala dosanya. Segala nikmat Ilahi sentiasa mengiringi bersama gerakan mujahidin dan tidak pernah berpisah pun dari mereka. Seperti firman Allah SWT:

﴿إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ١٦٠﴾

«Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu(Ali Imran: 160)»

Allah SWT juga berfirman:

كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar (AL-Baqarah: 249)”

Detik inilah yang sudah lama aku tunggu-tunggu sepanjang hayatku. Tetapi sangat beruntung buat para mujahidin di sana, kerana mereka tergolong dalam golongan yang terpilih.

“Sudah lama aku telah usahakan penulisan ini..” Penyebab utama penulisan kitab ‘Thughur Al-Murabithah’.

‘Setiap kali aku perasaan tanggungjawab itu menghampiri, pasti aku akan segerakan penulisan ini. Tanpa buku ini, seakan-akan hilanglah makna kehidupanku. Bahkan sepertinya aku telah mengingkari suruhan Allh SWT dengan maksiat yang tidak pernahku lakukan kepada-Nya sebelum ini. Aku bertanggungjawab atas penulisan ini. Aku telah serahkan hak penuh kepada pihak penerbit untuk cetak buku ini, dan aku tidak mengambil darinya walau sesen’.

Dari kata-kata Sang Pemikir Agung ini, terzahir jelas sebab penulisan buku ‘Thughur al-Murabitah’ atau ‘Sempadan Perjuangan’, yang mana sebab ini tidak pernah diceritakannya di dalam pendahuluan bukunya ini.

Dari kata-katanya ini juga terpancar jelas segala genap tanggungjawab yang hadir dalam bentuk, individual, keilmuan, pemikiran, falsafah yang mana sudah berakar umbi di dalam jiwa Sang Failasuf ini.

Yang mana tanggungjawab ini digambarkannya sebagai amanah dan misi yang mana tidak boleh dipandang enteng. Jika segala tanggungjawab yang telah disbutkannya itu telah dibaut secara culas, maka akan hapuslah sifat kebenaran seseorang itu.

Kehinaan normalisasi… Khianat amanah dan khianat ilmu

Guru kami juga telah meluahkan segala kekecewaanya dan kesedihannya serta kesakitan jiwanya lantaran kelemahan yang menimpa umat ini.

Kelemahan ini telah berpunca dari sebahagian dari umat ini secara umum dan sebahagian golongan ilmuan secara khususnya.

Bahkan, Taha telah berkata:

‘Sesungguhnya kelemahan yang berpunca dari umat ini sendiri sangat menyedihkan jiwa. Lebih-lebih lagi kelemahan para ilmuan umat ini. Aku anggap bahawa sebahagian besar dari kalangan ilmuan telah melakukan khianat kepada amanah dan khianat kepada ilmunya!’.

‘Tanpa Projek Normalisasi, mana mungkin penjajah akan mampu untuk lakukan kolonisasi. Kalaulah negara-negara yang telah teruskan normalisasi, membuat satu keputusan yang tegas, sudah pasti serangan kejam yang berlaku ini akan terhenti’.

Sang Failasuf juga berpandangan bahawa generasi baru yang mendatang ini punyai satu tanggungjawab yang wajib.

Tanggungjawab ini akan lebih besar bebannya berbanding tanggungjawab yang dipikul oleh generasi yang sudah berlalu.

Sebab mengapa beliau katakan seperti ini adalah kerana apa yang telah berlaku pada tahun 1967 (Naksah) adalah apabila Yahudi berbondong-bondong pulang ke ‘negara’ mereka. Manakala, para pemuda generasi kini tidak merasai detik kekalahan yang telah dilalui oleh yang terdahulu. Pada ketika itu sentimen ketaasuban dan rasisme Yahudi sangatlah memekat.

Ketahuilah, bahawasanya generasi yang baru ini perlu memikul satu cara pandang yang baru yang mesti dipadankan dengan persediaan yang amat berbeza caranya berbanding waktu dulu.

Setiap kali Sang Pemikir Agung ini berbicara tentang para pemuda umat ini, beliau sering menanggapi mereka dengan sebuah kepercayaan, bahawa para pemuda inilah rahsia sebenar kebangkitan bagi setiap masyarakat dan umat.

Mereka sahajalah yang mampu untuk mengeluarkan umat ini dari zaman kegelapannya kepada cahaya kesedaran Islah. Dengan cahaya inilah kehidupan menjadi gemilang.

Penutup

Melalui tadabbur falsafi intima’i dan tafakkur akhlaki urfani, yang melangkaui zahir segala kisah serta menembus batinnya, kita mungkin dapat menggarap ufuk ketamadunan dan unsur maknawi bagi Perang Taufan al-Aqsa melalui kacamata pemikiran Guru kami: Profesor Taha Abd Rahman yang telah beliau perjuangkan selama puluhan tahun.

Aku juga yakin bahawa wajib bagi setiap muslim masakini untuk sentiasa ulang baca dan ulang kaji segala turath Taha dalam rangkuman pemahaman dan pemikiran Taha yang sentiasa membara di dalam jiwanya, yang sentiasa memandu pikirannya dan, yang sentiasa hadir di ingatannya.

Kerana tidak mungkin untuk kita pisahkan segala curahan ilham pemikiran Taha dari perjalanan kehidupannya.

Kerana jika kita pisahkan dua elemen yang penting ini, pasti sukar untuk kita garap maksudnya, pemikirannya dan juga tujuannya.

Kita sendiri boleh lihat dengan jelas bagaimana pemikiran Taha yang sangat dalam amat berkait dengan jiwa serta perasaannya yang sangat halus. Yang menatijahkan perasaan tanggungjawab terhadap peristiwa besar yang sedang berlaku: Taufan al-Aqsa, yang sedang dihadapi oleh umat ini.

Persitiwa ini akan menjadi kayu ukur tentang kesetiaan dan kemunafikan sesebuah fikrah, juga menjadi saksi hidup buat kebenaran apatah lagi ‘kematian’ seseorang ilmuan.

Taufan al-Aqsa telah mengubah semula cara faham kita terhadap idea, pemikiran, kewajipan dan amanah. Kita pasti akan perbaharui cara pandang kita terhadap semua elemen penting ini melalui akal kita, lalu dihidupkan nilai-nilai ini dengan ruh, dengan ruh ini kita akan bina Kebangkitan Yang Hakiki.

Kerana Islah dan Tajdid ini amat bergantung kepada amalan jihad perjuangan yang berterusan.

Penulis: Dr. Muhamad al-Nafar
Sumber: hadaracenter.com
Terjemahan: Anas Bad Latif | Ahmad Muntaha Zainal Bahrin

Total
0
Shares
1 comment
  1. Satu penulisan yang sangat menghidupkan jiwa!! Semoga diri ini akan dapat bersama-sama dengan gerabak perjuangan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kekuatan media sosial sebagai syarat pembebasan Al-Aqsa

Next Post

Kesyahidan Hasan Al-Banna

Related Posts