Berdasarkan sejarah apabila berlaku perubahan pada tampuk pemerintahan sesebuah negara kuasa besar, ia tidak akan banyak merubah geopolitik Malaysia kerana sebagai negara kecil, kita jarang berada dalam radar utama pemimpin negara terbabit.
Namun, pada masa sama Malaysia boleh mengambil kesempatan susulan berlaku pertukaran pemimpin negara kuasa besar demi kelangsungan dasar luar negara.
Sebagai contoh, ada banyak bezanya siapa akan menerajui Rumah Putih, Amerika Syarikat (AS) kerana bekas Presiden, Donald Trump atau Presiden Joe Biden mempunyai gaya kepemimpinan berbeza. Malah, seandainya Naib Presiden, Kamala Harris menjadi calon Presiden bagi Parti Demokrat, ia juga perlu diberi perhatian.
Akan tetapi situasi mungkin agak berbeza sedikit dengan pertukaran pemimpin United Kingdom (UK) kerana Malaysia mempunyai hubungan akrab bukan sahaja dalam bentuk hubungan kerajaan dengan kerajaan tetapi antara rakyat. Senario hubungan Malaysia dengan AS agak berbeza kerana pertalian sejarah agak rapat di antara Malaysia dan UK.
Ada juga berpendapat hubungan Malaysia dengan UK tidak begitu memberi kesan walau siapa pun menjadi Perdana Menteri UK seperti mana persepsi nasib Palestin tidak akan berubah walau siapa juga dipilih sebagai Presiden AS.
Mungkin persepsi ini ada asasnya kerana perubahan jawatan Perdana Menteri daripada Boris Johnson kepada Liz Truss dan terakhir Rishi Sunak tidak banyak memberi kesan kepada Malaysia sama ada dari segi ekonomi atau geopolitik.
Seperkara yang perlu diketahui, perubahan tampuk pemimpin UK kali ini membabitkan pertukaran parti iaitu daripada Parti Konservatif kepada Parti Buruh yang ideologi politiknya agak jauh berbeza.
Sebab itu, penting bagi Putrajaya mengambil kira perubahan ideologi politik agak ketara ini dalam merangka hubungan diplomatik masa hadapan dengan London di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer.
Hubungan ekonomi Putrajaya dan London ketika ini diikat sebahagian besarnya oleh Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Trans-Pasifik (CPTPP) yang kandungannya ditentukan sebelum UK menyertainya.
Jika Starmer mendakwa perjanjian ekonomi London-Brussels tidak menguntungkan UK lalu beliau bertekad untuk mengubah perjanjian dimeterai Johnson ketika itu, CPTPP pula sukar untuk Starmer kerana UK sebenarnya lebih memerlukan CPTPP.
Mengambil kira Malaysia adalah ahli asal CPTPP dan terbabit dalam penggubalan kandungannya, maka besar kemungkinan manfaat itu akan berpihak kepada Malaysia dalam hal hubungan ekonomi dengan UK di bawah pimpinan Starmer melalui ikatan CPTPP.
Akan tetapi dalam hal geopolitik pula, mungkin terdapat sedikit perbezaan pendekatan dasar luar Parti Buruh berbanding Parti Konservatif. Ikatan geopolitik pertahanan dari segi dasarnya diikat menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut disertai Singapura, Australia dan New Zealand.
Hakikatnya FPDA tidak banyak memainkan peranan dalam mewarnai geopolitk pertahanan rantau Asia Tenggara jika dikaitkan dengan isu tuntutan bertindih Laut China Selatan yang dianggap pemangkin utama kestabilan rantau ini. Tidak keterlaluan jika diandaikan FPDA dalam hal geopolitik pertahanan sudah dianggap berstatus jumud.
Isu pertahanan tiga negara
Satu lagi kerjasama pertahanan antara tiga negara iaitu UK, AS dan Australia (AUKUS) dianggap sebagai pemangkin utama kestabilan rantau Indo Pasifik ketika ini. Kerjasama AUKUS dimeterai pada 2021 yang mana Johnson adalah Perdana Menteri ketika itu dari Parti Konservatif.
Setakat ini Starmer belum menyentuh hal AUKUS iaitu sama ada mahu meneruskan kerjasama ini atau sebaliknya kerana di pihak London, ia membabitkan perpindahan teknologi kapal selam berkuasa nuklear dari UK kepada Australia.
Jika diambil kenyataan Starmer yang UK akan tetap membantu Ukraine dan menyokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam hal ini, maka sudah pasti Starmer juga positif terhadap AUKUS.
Maka, boleh dianggap kekalnya status quo dalam hal geopolitik pertahanan di bawah Starmer kerana AUKUS dan terdapat satu lagi kerjasama pertahanan digelar QUAD membabitkan AS, Australia, Jepun dan India atau turut digelar NATO Asia.
Walaupun UK tidak terbabit dengan QUAD, hakikatnya kerjasama geopolitik pertahanan UK-AS tidak banyak berubah dengan kepemimpinan baharu UK ini, sekali gus membuatkan pertalian antara AUKUS dan QUAD adalah begitu nyata sekali.
Satu lagi isu menarik mungkin mewarnai hubungan diplomatik Kuala Lumpur-London ialah mengenai Palestin. Di bawah era kepemimpinan Parti Konservatif, London adalah penyokong tegar Israel seperti AS.
Tidak dinafikan sebelum ini Parti Buruh di bawah pimpinan Jeremy Corbyn dituduh sebagai parti antisemitik kerana Corbyn sering mengutuk Israel. Selepas Starmer mengambil alih pucuk pimpinan retorik ala Corbyn, belum begitu menyerlah dasar ini dalam Parti Buruh.
Namun dalam hal Palestin, pegangan Parti Buruh tidak banyak berubah dan Starmer berjanji akan menyokong penubuhan negara Palestin merdeka. Dalam hal dasar luar, isu Palestin menyerlahkan perbezaan ketara antara Parti Konservatif dan Parti Buruh.
Menjadi lebih menarik apabila jiran UK iaitu Perancis melalui pilihan raya legislatif beberapa hari lalu menyaksikan parti berhaluan kiri iaitu New Popular Front (NFP) berjaya mengatasi parti pimpinan Presiden Emmanuel Macron iaitu Ensemble.
Macron diketahui adalah penyokong tegar Israel dan menariknya, pemimpin NFP iaitu Jean Luc Melenchon amat dibenci Tel Aviv kerana begitu pro-Palestin.
Jika pada Mei lalu, Ireland, Norway dan Sepanyol mengisytihar sokongan penubuhan negara Palestin merdeka, apakah kita akan menyaksikan UK pula menyatakan sokongan sama. Ini antara perkara yang menarik untuk ditunggu dan dilihat apakah Starmer akan mengotakan janji beliau.
Azmi Hassan
Penulis adalah Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR)
Sumber: Berita Harian