Tentera Israel mengumumkan misinya di Shujaiya, kawasan kejiranan timur Gaza yang menjadi lokasi pertarungan sengit selama dua minggu, sudah berakhir.
Rejim berkenaan dalam satu kenyataan berkata operasi itu memusnahkan ‘lapan terowong’, kompleks tempur dan bangunan dipenuhi perangkap, selain menghapuskan puluhan pejuang.
Serangan membabitkan unit elit Israel di Shujaiya itu diperluas ke pusat Bandar Gaza, Isnin lalu.
Sementara itu, jurucakap pertahanan awam di Gaza, Mahmoud Bassal, berkata terdapat kerosakan meluas ke atas ‘infrastruktur dan kawasan perumahan’ di situ, menyebabkan Shujaiya bertukar menjadi ‘bandar tinggal’.
“Kami sekali lagi memaklumkan dunia mengenai realiti tragis di Gaza serta tindakan perlu diambil institusi antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tentera Israel semalam, mengedarkan ribuan risalah ke Bandar Gaza, mendesak semua penduduk melarikan diri daripada serangan berat melalui bandar utama wilayah itu.
Ia ditujukan kepada ‘semua penduduk di Bandar Gaza’, menggariskan laluan pelarian ditetapkan dan memberi amaran kawasan bandar, dikatakan didiami 350,000 orang akan terus menjadi zon peperangan berbahaya.
Tentera Israel melancarkan serangan darat di Rafah, awal Mei lalu, yang kemudiannya dianggap oleh Israel sebagai kubu terakhir Hamas, menyebabkan lonjakan pertembungan antara rejim Zionis dan pejuang Palestin di utara serta pusat Semenanjung Gaza.
Ahad lalu, menandakan peperangan di Gaza sudah berlarutan selama 10 bulan. – Berita Harian