Israel berkata perang Gaza mungkin berlanjutan tujuh bulan lagi, ketika tenteranya mula menggerakkan kereta kebal memasuki Rafah bagi meneruskan serbuan.
Kenyataan itu dibuat selepas Washington memaklumkan serangan di Rafah tidak membabitkan operasi darat besar-besaran yang akan mencetuskan perubahan dalam dasar Amerika Syarikat (AS).
Mulai Selasa lalu, buat kali pertama sebilangan kereta kebal Israel bergerak ke tengah-tengah bandar Rafah.
Israel ternyata tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan mereka menamatkan serangan ke atas bandar yang diisytiharkan ‘zon selamat’ itu, di mana ramai rakyat Palestin kini berlindung daripada pengeboman.
Mahkamah Dunia itu berkata, Israel tidak menjelaskan bagaimana ia akan memastikan mangsa yang dipindahkan dari Rafah akan selamat selain disediakan makanan, keperluan air dan ubat-ubatan.
Keputusan ICJ itu juga menggesa Hamas membebaskan tebusan yang diambil dari Israel pada 7 Oktober dengan segera dan tanpa sebarang syarat.
Sementara itu, penduduk Rafah memaklumkan kereta kebal Israel bergerak masuk ke Tel Al-Sultan yang terletak di barat dan Yibna dan berhampiran tengah Shaboura sebelum berundur ke arah zon penampan di sempadan Mesir dan bukannya kekal seperti dilakukannya dalam siri serangan lain.
“Kami menerima panggilan kecemasan daripada penduduk di Tel Al-Sultan di mana dron menyasarkan rakyat yang berpindah ketika mereka bergerak dari kawasan tempat tinggal menuju ke kawasan selamat,” kata Timbalan Pengarah Perkhidmatan Ambulans dan Kecemasan di Rafah, Haitham al Hams.
Sementara itu, pegawai kesihatan Palestin berkata, 19 orang awam terbunuh dalam serangan udara dan tembakan Israel semalaman di seluruh Gaza.
Israel menuduh pejuang Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam, sesuatu yang dinafikan kumpulan pejuang itu yang mentadbir Gaza.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Majed Abu Raman menggesa Washington mendesak Israel membuka persimpangan Rafah untuk membolehkan bantuan dibawa masuk ke Gaza.
Beliau menegaskan, sekiranya pihak berkuasa Israel tidak berbuat demikian, maka tidak lama lagi penduduk dan pesakit di Gaza yang terkepung hanya boleh menunggu sehingga ajal tiba kerana sedang bertarung nyawa disebabkan kekurangan rawatan.
Tentera Israel menguasai kawalan taktikal ke atas zon penampan Koridor Philadelphi yang berada sepanjang sempadan antara Semenanjung Gaza dan Mesir, kata seorang pegawai tentera Israel.
Menurut Penasihat Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi, kawalan dan sekatan yang dikenakan sekarang bertujuan menghalang Hamas menyeludup senjata ke Gaza, sekali gus menamatkan tentangan mereka.
Jelasnya, peperangan di Gaza akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini, menandakan Israel tidak bersedia menamatkan perang seperti dituntut oleh Hamas, sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi pertukaran tebusan.
“Pertempuran di Rafah bukanlah perang sia-sia,” kata Hanegbi sambil mengulangi bahawa matlamat Israel bertujuan menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza termasuk menghentikan sokongan sekutunya daripada menyerang Israel.
Negara pengantara, Qatar dijangka mengemukakan cadangan terkini gencatan senjata dan pembebasan tebusan terbaru Israel kepada Hamas pada Selasa, kata individu yang arif mengenai isu terbabit.
Tiada pengesahan segera sehingga semalam dari Hamas yang mengatakan sebarang rundingan adalah sia-sia melainkan Israel menamatkan serangannya ke atas Rafah.
Sayap bersenjata Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, memaklumkan mereka berdepan pasukan penceroboh di Rafah dengan roket anti kereta kebal dan bom mortar selain jerangkap samar serta periuk api, membuatkan banyak serangan berhasil.
Kira-kira sejuta rakyat Palestin yang berlindung di Rafah di hujung selatan Semenanjung Gaza kini melarikan diri selepas arahan Israel untuk berpindah, lapor Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) pada Selasa lalu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata pihaknya memindahkan pasukan perubatannya dari hospital lapangannya di kawasan Al-Mawasi, zon selamat atau zon pemindahan orang awam yang ditetapkan, disebabkan pengeboman berterusan.
Di bandar berhampiran Khan Younis, serangan udara semalaman Israel membunuh tiga orang, kata bekas pegawai kanan polis Hamas, pegawai perubatan dan media Hamas.
Satu lagi serangan lain membunuh empat orang termasuk dua kanak-kanak, kata doktor.
Di utara Gaza, tentera Israel membedil kawasan kejiranan Bandar Gaza dan bergerak lebih hampir ke Jabalia, di mana penduduk berkata sebahagian besar daerah kediaman musnah.
Kekurangan zat berleluasa di Gaza ekoran penyampaian bantuan semakin perlahan atau terhenti sama sekali, dengan tanda-tanda kebuluran mula kelihatan. – Berita Harian