Sekurang-kurang hampir 100 mangsa maut dalam satu serangan udara dilancarkan Israel ke atas sebuah blok kediaman, semalam, menurut agensi pertahanan awam Gaza.
Sekutu dan penyokong utama Israel, Amerika Syarikat (AS), menyifatkan serangan itu – yang mengorbankan ramai kanak-kanak – sebagai ‘mengerikan’.
Pengeboman berlaku ketika Israel berdepan kecaman antarabangsa selepas Parlimennya mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang berperanan membantu rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Kejadian itu menyaksikan pasukan penyelamat Palestin dan ahli keluarga mangsa bertungkus lumus berusaha mencari mereka yang mungkin terselamat, di sekitar blok lima tingkat itu yang musnah di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza.
Satu mayat rentung dilihat tergantung dari sebuah tingkap tingkat atas, manakala banyak mayat lagi berada di atas jalan.
“Jumlah mereka yang syahid dalam pembunuhan beramai-ramai di Beit Lahia ini telah meningkat kepada sekurang-kurang 93, dan kira-kira 40 lagi masih hilang bawah runtuhan,” kata jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, kepada AFP.
Tentera Israel mendakwa bahawa pihaknya sedang ‘meneliti laporan mengenai serangan berkenaan’. Terdahulu, rejim Zionis mendakwa bahawa pasukannya telah membunuh 40 pejuang Hamas, dan kehilangan empat tentera di Gaza.
Saksi awam, Rabie al-Shandagly, 30, berkata letupan itu berlaku pada waktu malam dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
“Orang ramai cuba menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan, namun kini sudah tiada hospital atau penjagaan perubatan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Washington menzahirkan kebimbangan mendalam berikutan kejadian terbabit.
“Ia adalah satu insiden mengerikan dengan kesan mengerikan. Kami sudah menghubungi kerajaan Israel untuk bertanya apa yang berlaku,” kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller, kepada pemberita.
Tentera Israel berterusan melancarkan serangan udara dan darat ke atas utara Gaza sejak Oktober tahun lalu, terutama di sekitar Jabalia, Beit Lahia dan Beit – kononnya untuk menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula. – Berita Harian