Amal al-Hayya, isteri kepada Ketua Hamas di Gaza, Dr Khalil Al-Hayya, telah mempamerkan ketabahan luar biasa selepas kehilangan empat orang anak lelaki dan lima orang cucunya yang terkorban sebagai syuhada.
Dalam satu temu bual khas bersama saluran Al Jazeera Mubasher, Amal yang lebih mesra disapa sebagai Ummu Osama, menyatakan rasa syukur dan bangganya atas pengorbanan keluarganya dalam perjuangan rakyat Palestin. Menurut beliau, secara keseluruhannya seramai 17 orang ahli keluarga besar mereka telah syahid setakat ini.
Keempat-empat anak lelakinya yang terkorban ialah Hamza pada tahun 2008; Osama pada tahun 2014 bersama isteri dan tiga anaknya; Hummam di Doha, Qatar kira-kira tujuh bulan lalu; serta Azzam yang baru sahaja terkorban dalam serangan terkini Israel.
Beliau turut memaklumkan bahawa seorang lagi anak lelakinya, Izzuddin, kini masih berada di Gaza dan sedang bertahan walaupun mengalami kecederaan parah akibat serangan Israel ke atas sebuah sekolah.
Walaupun bergelar keluarga pemimpin tertinggi, Amal menegaskan bahawa anak-anaknya tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa atau memisahkan diri daripada penderitaan rakyat awam.
“Pemimpin mesti berada di barisan hadapan sebelum tentera, dan kami perlu mengorbankan anak-anak kami sebelum anak-anak rakyat,” tegas beliau.
Anak lelakinya, Azzam, sebelum ini dengan tegas menolak tawaran untuk terus tinggal di luar Gaza selepas mendapat rawatan kecederaan di Turki pada tahun 2021, dengan menyatakan bahawa dia “akan mati jika keluar dari Gaza ibarat ikan yang dikeluarkan dari air”.
Menceritakan detik menerima berita kematian setiap anaknya, Amal berkata beliau menyambutnya dengan ketenangan dan melakukan sujud syukur kepada Tuhan. Beliau menganggap ujian berat ini sebagai “harga perjuangan” yang wajib dibayar demi pembebasan bumi Palestin yang sedang dijajah.
Mengulas mengenai keadaan semasa konflik, Amal menyifatkan Gaza kini ibarat “sebuah kubur besar” di mana ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan tanpa sebarang kemudahan asas kelangsungan hidup seperti makanan, minuman, dan ubat-ubatan penahan sakit.
Walaupun diuji dengan ancaman pengeboman yang berterusan, kebuluran, dan pemindahan secara paksa, beliau menegaskan rakyat Gaza terus menunjukkan semangat ketahanan yang amat tinggi. – Dunia Palestin