Hamas memperbaharui gesaan supaya jawatankuasa nasional teknokrat bagi mentadbir Semenanjung Gaza dibenarkan memasuki wilayah itu dengan segera bagi melaksanakan tanggungjawab pentadbiran secara penuh.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata pihaknya telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menyerahkan pelbagai aspek pemerintahan dan pengurusan di Gaza kepada jawatankuasa nasional berkenaan.
“Kami menyeru agar jawatankuasa tersebut diperkasakan segera, dibenarkan memasuki Gaza dan diberikan semua keperluan yang diperlukan untuk menjalankan tugasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh Nickolay Mladenov yang dilaporkan meminta pentadbiran Gaza berundur sebelum jawatankuasa itu dibenarkan memasuki wilayah berkenaan.
Menurut Hazem, syarat sedemikian secara praktikal akan membawa Gaza ke arah keadaan huru-hara dan ketidakstabilan, yang menurutnya selari dengan usaha penjajah Israel untuk memperkukuhkan keadaan tersebut di wilayah itu.
Kenyataan itu disiarkan menerusi saluran rasmi Hamas ketika usaha rundingan berkaitan pentadbiran dan situasi kemanusiaan di Gaza terus mendapat perhatian antarabangsa. – Dunia Palestin