Ketika Gaza memasuki musim panas yang terik pada tahun ini, kira-kira 170,000 isi rumah, bersamaan hampir sejuta penduduk, kini tinggal di dalam khemah dan tempat perlindungan sementara, menurut laporan terkini Norwegian Refugee Council (NRC) yang mengetuai Kluster Perlindungan di Palestin.
Laporan NRC yang diterbitkan pada 18 Jun 2026 menyatakan bahawa kemusnahan rumah-rumah akibat serangan Israel serta sekatan berterusan terhadap kemasukan bahan binaan untuk perlindungan telah menyebabkan keluarga yang dipindahkan terus terperangkap dalam keadaan yang tidak sesuai untuk menghadapi cuaca panas melampau.
Suhu pada waktu siang dijangka mencecah 34.5 darjah Celsius, dengan peningkatan bilangan hari yang melebihi 35 darjah Celsius, sekali gus meningkatkan risiko tekanan haba, dehidrasi dan penularan penyakit.
Selain itu, sekitar 5,000 isi rumah terpaksa tidur di kawasan terbuka, manakala 52,000 isi rumah tinggal di pusat perlindungan yang sesak. Dianggarkan 850,000 penduduk tidak mempunyai keperluan asas perlindungan kecemasan seperti kanvas plastik, papan lapis dan tali.
Kekurangan ini berpunca daripada kemusnahan besar-besaran terhadap kediaman di Gaza, dengan 76.6 peratus atau 371,888 daripada 485,361 unit rumah musnah atau rosak setakat Oktober 2025, menurut penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penyelaras Kluster Perlindungan, Jehan Salim, menegaskan bahawa keluarga-keluarga di Gaza sedang menanggung penderitaan yang sebenarnya boleh dicegah kerana mereka terpaksa tinggal dalam tempat perlindungan yang tidak direka untuk penggunaan jangka panjang.
“Langkah mudah seperti menyediakan teduhan, pengudaraan dan penambahbaikan asas terhadap tempat perlindungan mampu mengurangkan risiko dengan ketara,” katanya sambil menyatakan bahawa bahan-bahan tersebut sering dihalang daripada memasuki Gaza.
Sementara itu, Setiausaha Agung NRC, Jan Egeland, menyifatkan keadaan tersebut sebagai sesuatu yang amat memalukan dan menggesa Israel supaya membenarkan kemasukan bekalan bahan perlindungan ke Gaza. – Dunia Palestin