Hamas kesal ucapan Mahmoud Abbas tunduk kepada naratif Israel

Anggota Biro Politik Hamas, Izzat al-Rishq melahirkan rasa kesal terhadap ucapan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas yang mengecam kumpulan pejuang Palestin dalam ucapannya pada Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Isu Palestin di New York, Isnin lalu.

Al-Rishq berkata adalah mengecewakan apabila Abbas memilih untuk mengecam perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Israel yang disifatkannya sebagai “penjajahan paling kejam dalam sejarah,” serta dilihat selari dengan naratif dan tuntutan Israel untuk melucutkan senjata kumpulan pejuang.

“Hal ini berlaku ketika penjajah dan pendatang Israel terus melakukan kerosakan di kampung serta bandar di Tebing Barat dan melancarkan perang pemusnahan yang paling berbahaya dalam sejarah rakyat Palestin di Gaza,” katanya dalam kenyataan kepada agensi berita Quds Press.

Mengenai pendirian Abbas yang menolak peranan Hamas dalam pentadbiran Gaza, al-Rishq menyifatkannya sebagai “tunduk kepada tekanan luar” dan “penyimpangan daripada asas hubungan dalaman nasional serta perjanjian yang telah ditandatangani.” Beliau berkata tindakan itu juga mencabul hak rakyat Palestin untuk menentukan kepimpinan dan masa depan mereka sendiri.

Menurut al-Rishq, ucapan itu datang pada saat Israel secara jelas menolak penubuhan negara Palestin, selain meneruskan usaha melemahkan pihak berkuasa, menduduki Gaza, menggabungkan Tebing Barat dan mengyahudikan Baitulmaqdis.

“Rakyat Palestin menantikan pendirian nasional yang serius daripada kepimpinan Pihak Berkuasa Palestin, termasuk langkah melepaskan diri daripada belenggu kuasa luar dan penyelarasan keselamatan dengan Israel, serta kembali ke landasan perpaduan nasional dalam menghadapi penjajahan,” katanya. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sepanyol sertai Itali hantar kapal tentera laut sokong flotila ke Gaza

Next Post

Enam bilionair Yahudi-Amerika dilaporkan biayai genosid Israel

Related Posts