Sepanyol akan menghantar sebuah kapal tentera laut untuk menyokong Flotila Global Sumud yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, umum Perdana Menteri Pedro Sanchez di New York pada Rabu, lapor akhbar El Pais, menurut Anadolu.
“Sebuah kapal tindakan maritim yang dilengkapi dengan segala sumber yang diperlukan akan berlayar dari Cartagena esok sekiranya perlu untuk membantu flotila dan melaksanakan sebarang operasi menyelamat,” kata Sanchez.
Menurut laporan itu, Madrid telah menyelaras langkah tersebut dengan Rom selepas kerajaan Itali mengumumkan penghantaran kapal frigat Fasan untuk membantu warganya di atas kapal serta melaksanakan kemungkinan operasi bantuan.
Kementerian Pertahanan Sepanyol juga telah menghubungi rakan sejawatannya di Itali untuk meneroka kerjasama yang lebih luas, yang berpotensi melibatkan negara lain seperti Ireland.
Pegawai menegaskan bahawa misi kapal-kapal Eropah itu bukan untuk berdepan dengan kemungkinan pencerobohan Israel, sebaliknya semata-mata bagi menyediakan bantuan kemanusiaan jika diperlukan. Kapal tentera laut Sepanyol itu akan beroperasi di perairan antarabangsa.
Flotila yang terdiri daripada kira-kira 50 buah kapal itu telah berlayar awal bulan ini dengan tujuan memecahkan sekatan Israel dan menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Gaza, di mana 2.4 juta penduduk Palestin berada di bawah kepungan sejak 18 tahun lalu.
Penganjur sebelum ini melaporkan sebanyak 12 letupan mengenai sembilan kapal di perairan antarabangsa selepas flotila itu berulang kali disasarkan oleh dron. Walaupun kumpulan itu tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab, Israel – yang telah mengancam untuk menghalang misi tersebut daripada sampai ke Gaza – tidak memberikan sebarang komen. – Dunia Palestin