Pemimpin Hamas, Abdul Rahman Syadid menyeru umat Islam untuk hadir secara beramai-ramai di Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan bagi menentang sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis di Baitulmaqdis.
Beliau menegaskan bahawa kehadiran berterusan umat Islam di kawasan masjid suci itu amat penting bagi mempertahankan hak sejarah dan agama mereka.
“Kita mesti beramai-ramai menuju ke Al-Aqsa, memperkukuh kehadiran serta menolak sekatan yang bakal dikenakan oleh rejim penjajah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, Ramadan adalah peluang penting untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan memastikan ia terus dipenuhi jemaah, terutama oleh penduduk Baitulmaqdis, Palestin 1948 dan Tebing Barat.
Beliau turut memberi amaran bahawa usaha rejim Zionis untuk mengosongkan masjid itu daripada penduduk asalnya tidak akan berjaya, sebaliknya hanya akan meningkatkan semangat perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankannya. – Dunia Palestin