Knesset Israel pada Rabu meluluskan bacaan awal rang undang-undang yang bertujuan mengharamkan penyiaran laungan azan melalui pembesar suara di wilayah Palestin yang dijajah, menurut Anadolu memetik laporan media.
Akhbar Israel Hayom melaporkan bahawa Knesset meluluskan rang undang-undang itu dalam bacaan awal bagi memperketatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap apa yang disifatkannya sebagai “bunyi bising masjid.”
Rang undang-undang itu diluluskan dengan 50 undi menyokong berbanding 36 menolak dalam parlimen yang mempunyai 120 anggota, menurut akhbar Yedioth Ahronoth.
Rang undang-undang itu dikemukakan oleh parti Otzma Yehudit yang dipimpin oleh Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, dan turut mendapat sokongan daripada parti pembangkang Yisrael Beiteinu yang dipimpin ahli politik berhaluan kanan, Avigdor Lieberman.
Pengerusi Majlis Kebangsaan Palestin, Rawhi Fattouh menyifatkan langkah itu sebagai satu “jenayah” dan “keganasan perundangan”.
Beliau berkata tindakan tersebut merupakan “pelanggaran terang-terangan terhadap kebebasan beribadah dan kebebasan beragama,” menurut satu kenyataan.
Rang undang-undang itu perlu melepasi tiga lagi bacaan sebelum boleh dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
Pengharaman laungan azan melalui pembesar suara secara berkesan akan menghilangkan fungsi utamanya, iaitu memaklumkan umat Islam tentang waktu solat, dan bukannya sekadar satu ritual yang dilaungkan di dalam masjid.
Menurut saluran televisyen Israel, Channel 14, cadangan undang-undang itu menetapkan bahawa tiada sistem pembesar suara boleh dipasang atau digunakan di mana-mana masjid tanpa kebenaran awal yang jelas daripada pihak berkuasa. – Dunia Palestin