Hamas umum kesyahidan Panglima al-Qassam, Izzuddin al-Haddad

Hamas mengumumkan secara rasmi kesyahidan Panglima Briged al-Qassam, Izzuddin al-Haddad, yang terkorban dalam satu serangan udara penjajah Israel di Semenanjung Gaza.

Dalam kenyataan yang disiarkan gerakan itu, Hamas memaklumkan al-Haddad, yang juga dikenali sebagai Abu Suhaib, syahid pada petang Jumaat selepas menjadi sasaran pembunuhan terancang Zionis bersama beberapa anggota keluarganya dan orang awam di Gaza.

Menurut kenyataan itu, isteri beliau Ummu Suhaib serta anak perempuannya Nour turut syahid dalam serangan berkenaan, selain beberapa penduduk awam lain.

Hamas menyifatkan al-Haddad sebagai antara tonggak utama projek muqawamah Palestin di Gaza dan pemimpin lapangan yang memainkan peranan penting dalam operasi ketenteraan, khususnya sepanjang operasi Taufan al-Aqsa.

“Beliau kekal teguh di medan perjuangan, mempertahankan rakyat, tanah air dan tempat-tempat suci sehingga ke detik terakhir kehidupannya,” menurut kenyataan itu.

Gerakan itu turut menyatakan bahawa al-Haddad sebelum ini telah kehilangan dua anak lelakinya, Suhaib dan Mu’min, serta menantunya Mahmoud Abu Hasirah yang syahid dalam peperangan di Gaza.

Dalam kenyataan sama, Hamas mengecam tindakan Israel yang didakwa terus melakukan serangan terhadap rakyat Palestin walaupun selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa.

Hamas turut mendakwa masyarakat antarabangsa gagal mengambil tindakan tegas terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekali gus membolehkan serangan berterusan terhadap Gaza berlaku.

Gerakan itu menegaskan bahawa pembunuhan pemimpin muqawamah tidak akan melemahkan perjuangan rakyat Palestin, sebaliknya akan menjadi bahan bakar perjuangan pembebasan menuju al-Quds dan Masjid al-Aqsa. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Penjajahan Zionis punca utama konflik di rantau Asia Barat

Next Post

Israel rancang rampas 20 hartanah berhampiran Masjid al-Aqsa

Related Posts