Rakyat Palestin dipaksa menggunakan beg plastik untuk mengumpul anggota badan mayat orang awam yang terbunuh dalam serangan terbaru Israel ke atas sebuah sekolah perlindungan di Gaza.
Sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin terbunuh awal Sabtu apabila tentera pendudukan Israel mengebom sekolah Al-Tabiin di kawasan kejiranan Al-Daraj di timur Kota Gaza.
Saksi melaporkan bahawa serangan itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di perkarangan sekolah untuk solat Subuh.
Wartawan dan pasukan kesihatan dan pertahanan awam yang bekerja di wilayah itu bergelut, dan menggambarkan bencana itu di tengah-tengah mayat yang berselerak, beberapa daripadanya rentung.
Saksi berkata, banyak kepala mangsa terputus akibat serangan itu.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan api marak dari sekolah selepas serangan, sementara jeritan mangsa kedengaran di dalam rakaman tersebut.
Tentera Israel mendakwa tentera udaranya pada hari Sabtu menyerang pusat komando dan kawalan yang berfungsi sebagai tempat persembunyian untuk komander Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) di sekolah al-Tabiin. – Ismaweb