“Adakah Israel mempunyai hak untuk wujud?”
Soalan ini sering ditanya oleh pelobi Zionis kepada tokoh dan pemimpin dunia untuk memerangkap mereka, persoalannya mengapa?
Pertamanya kita perlu memahami bahawa soalan ini sendiri adalah tidak sah dan tidak mempunyai keperluan untuk ditanya, kerana Israel itu sendiri telah ‘wujud’ secara haram sejak 76 tahun lalu. Kewujudan mereka telah ‘diiktiraf’ oleh PBB, jadi kenapa perlu soalan itu ditanya lagi?
Jawapannya adalah walaupun entiti haram itu telah ‘wujud’ selama 76 tahun, tetapi ia masih bergelut untuk mendapatkan ‘keabsahan’ terhadap kedaulatan entitinya.
Dalam sistem antarabangsa hari ini, sesebuah entiti dianggap sebagai negara berdaulat apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Konvensyen Montevideo 1933.
Terdapat empat syarat utama dalam konvensyen tersebut:
- Populasi tetap
- Wilayah yang ditetapkan
- Kerajaan yang berfungsi
- Keupayaan untuk menjalin hubungan diplomatik
Israel mempunyai masalah dalam perkara ke-4 untuk melengkapkan legitimasinya. Pada tahun 2024, iaitu 76 tahun selepas kewujudan haramnya, Israel masih tidak diiktiraf oleh 28 negara dalam PBB. Ini menjadikan legitimasi dan ‘kedaulatannya’ masih ‘tempang’ di peringkat antarabangsa.
![](https://duniapalestin.net/wp-content/uploads/2024/11/image-2-1024x969.png)
Oleh itu, mereka berusaha keras untuk melengkapkan pengiktirafan tersebut melalui usaha normalisasi yang sentiasa berjalan, dan juga cuba mendapatkan pengiktirafan tidak langsung dengan bertanyakan soalan seperti “hak kewujudan Israel” kepada tokoh dan pemimpin dunia terutamanya dari kalangan mereka yang masih tidak mengiktiraf Israel secara rasmi.
Maksud sebenar kepada soalan tersebut adalah “adakah anda mengiktiraf Israel?”, kerana soalan mengenai “hak kewujudan Israel” tidak memberi sebarang makna kerana mereka memang telah wujud lama secara haram.
Maka apabila kita ditanya soalan “adakah Israel mempunyai hak untuk wujud?”, kita tidak perlu menjawab soalan tersebut kerana soalan itu sendiri tidak sah, dan jika dipaksa untuk memberi jawapan, maka jawapannya adalah jelas:
TIDAK, kerana maksud jawapan di sini adalah “saya tidak akan mengiktiraf Israel”.
Pembunuh, perompak, perasuah memang wujud, dan mereka mungkin berkuasa, tetapi tidak bermakna mereka layak dan mempunyai hak untuk wujud (sebagai entiti tersebut) dan perlu diiktiraf.
Ahmad Nu’man Mazlan
Penyelidik Dunia Palestin