Kisah ini telah disunting dari sesi podsiar Arabi Post bersama rakan universiti al-Syahid Yahya Sinwar di Universiti Islam Gaza iaitu, Dr. Ma’mun Abu Amer. Beliau merupakan pakar penganalisis politik Israel.
Siri 3: Yahya Sinwar Ditangkap Zionis
Ketika mulanya Gerakan Intifadah yang pertama pada tahun 1987. Yahya Sinwar telah ditangkap atas tuduhan membunuh tali barut.
Suka untuk aku katakan pada ketika itu, tali barut dan juga rakyat Gaza yang bekerjasama dengan Zionis begitu ramai. Jadi tidak peliklah Sinwar ditangkap atas alasan ini, sedangkan beliau tidak membunuh orang Yahudi, malahan yang disentuh oleh pasukan Sinwar adalah orang Gaza sendiri.
Sebenarnya, sebelum Sinwar ditangkap dengan hukuman 400 tahun penjara, beliau pernah ditangkap buat kali pertama selama 6 bulan. Sinwar ditangkap kerana beliau bersama dengan para mahasiswa dari Persatuan Mahasiswa Islam di Jenin telah melakukan satu operasi khas menangkap tali barut di Tebing Barat.
Melalui pengalaman penangkapan kali pertama inilah yang membuatkan Sinwar lebih mahir dalam operasi menangkap tali barut.
Seperti yang aku sangkakan, Sinwar tidak langsung berubah peribadinya bahkan sifat dan fokus beliau seperti busur anak panah yang menyerang.
Antara kisah yang aku ingat tentang Sinwar ketika beliau di dalam penjara ialah ketika mana beliau bersama rakannya di soal siasat. Setiap kali sesi soal siasat pasti yang disoal siasat itu akan dibelasah dan diterajang.
Ketika sampai giliran beliau, Sinwar telah mengugut penyoal siasat itu, ‘aku akan buat perkara yang sama engkau buat pada rakan aku yang tadi!’. Bayangkan, beliau berani seperti ini sedangkan umurnya masih lagi dalam lingkungan awal 20-an tahun.

Seperti yang aku katakan lebih awal, peribadi Sinwar tidak berubah walaupun sudah meringkuk di dalam penjara. Sejurus masuk penjara, beliau sudah tahu peranan beliau di dalam penjara; iaitu menjadi seorang pemimpin di dalam penjara. Di dalam tahanan, beliau lah yang menjadi orang Tengah bagi segala hal ehwal di dalam penjara antara tahanan dan pihak penjara.
Jika terdapat pegawai penjara yang bersifat zalim beliau bersama dengan tahanan lain akan buat operasi bagi menyerang pegawai yang zalim itu. Antara cara yang digunakan adalah mereka menaburkan sisa sabun di atas lantai supaya pegawai itu terjatuh dan adakalanya mereka menyimbah pegawai itu dengan air panas yang menggelegak.
Bahkan, jauh lebih dahsyat dari itu, Sinwar sebenarnya merancang dua kali untuk melepaskan diri dari penjara. Ini menunjukkan bagaimana peribadi dan cara berfikir beliau yang begitu berani dan bersifat pahlawan.
Kali pertama operasi ini berlaku adalah di Penjara Majdal dan yang kedua di Penjar al-Ramla. Di Pejara al-Ramlah, beliau telah ditempatkan bersama dengan para pesalah dari kalangan rakyat biasa Israel. Dengan kebolehan Sinwar yang mampu bertutur dengan fasih dalam bahasa Ibrani, beliau telah mengupah tahanan Israel untuk sorokkan beliau dari pegawai penjara. Tetapi sayangnya operasi ini gagal.
Di dalam penjara juga, Sinwar telah diuji dengan sakit tumor di otaknya. Pihak penjara telah melewatkan proses rawatannya. Tetapi, pihak penjajah pada ketika akhirnya memberikan rawatan ke atas Sinwar kerana bimbang akan terjadinya rusuhan besar di jalanan Palestin.
Bagi rakyat Palestin isu tahanan di penjara penjajah adalah isu yang besar dan sensitif bagi mereka. Oleh itu, pada tempoh itu, penjajah Zionis tidak ingin melakukan sebarang tindakan yang dapat menaikkan perasaan marah rakyat Palestin.
Bersambung…
Disunting oleh:
Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin