Wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majed Bamya mengecam tindakan jahat Amerika Syarikat (AS) memveto resolusi yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat, dan kekal di Gaza.
Beliau menyifatkan langkah AS itu tiada asas yang kukuh untuk menolak resolusi bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, lapor Agensi Anadolu.
“Israel akan sentiasa mendakwa syarat belum dipenuhi kerana rancangannya adalah untuk meneruskan perang, merampas tanah dan memusnahkan rakyat,” kata Bamya kepada Majlis Keselamatan PBB.
Beliau menggambarkan serangan berterusan Israel sebagai usaha untuk “melenyapkan sebuah bangsa”.
Katanya, “14 bulan telah berlalu dan kita masih berdebat sama ada pembunuhan beramai-ramai ini perlu dihentikan.
Tiada sebarang justifikasi untuk memveto resolusi yang cuba menghentikan proses ini,” katanya kesal.
Menurut Bamya, veto AS yang menyekat tuntutan gencatan senjata tanpa syarat – secara tidak langsung menyokong perang yang membunuh, mencacatkan, menakut-nakutkan dan memusnahkan seluruh bangsa.
Pada Rabu, AS memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza.
Sejak Oktober 2023, AS telah memveto tiga draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza, serta berkecuali dalam beberapa undian lain. – Ismaweb