Israel tidak boleh mengenakan syarat untuk gencatan senjata di Lubnan, tegas pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, dalam ucapannya balas mengenai hasrat regim Zionis itu yang mahu jaminan pasukannya tetapi diberi kebebasan bertindak terhadap pergerakan itu.
Penentangan itu dibuat susulan Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengeluarkan kenyataan terlebih dahulu, mengatakan sebarang perjanjian gencatan senjata harus berpihak kepada Israel yang mahu tenteranya mempunyai ‘kebebasan bertindak’ terhadap Hizbullah.
Pada masa sama, Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein sedang menuju ke Israel dalam usahanya berunding menamatkan perang.
Hochstein, yang berada di Beirut, memaklumkan hasratnya untuk berusaha memeterai perjanjian gencatan senjata susulan perang di Lubnan yang semakin meruncing sejak akhir September selepas hampir setahun berbalas tembakan maut merentasi sempadan utara Israel.
Israel berikrar mempertahankan kawasan utara, namun mendakwa pihaknya tetap membenarkan puluhan ribu orang yang dipindahkan akibat pertempuran rentas sempadan pulang ke tempat tinggal mereka.
Israel juga menghantar tentera darat ke selatan Lubnan, di mana tiga askarnya dilaporkan terbunuh, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan korban kepada 52 orang sejak operasi ketenteraan daratnya bermula.
Dalam pada itu, tentera mengumumkan dua anggotanya terbunuh dalam pertempuran sama iaitu anggota simpanan Ze’ev ‘Jabo’ Hanoch Erlich berusia 70 tahun dan seorang lagi askar berusia 22 tahun dari Baitulmaqdis terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan awal pagi semalam.
“Israel tidak boleh menang dan mereka juga tidak boleh mengenakan syaratnya kepada kami,” kata Qassem dalam ucapan yang disiarkan sejurus Hochstein mengumumkan rancangan perjalanannya ke Israel.
Qassem berkata, kumpulan bersenjatanya mahu ‘Israel menamatkan pencerobohan secara kekal’ dan menjelaskan pihaknya akan melakukan apa saja untuk memastikan ‘kedaulatan Lubnan terpelihara’.
Beliau juga berikrar tindak balas terhadap serangan Israel yang baru-baru ini mengorbankan nyawa di Beirut, yang akan ditujukan ke arah tengah ‘Tel Aviv’, iaitu hab komersial Israel berpenduduk padat.
Sebelum ke Israel, Hochstein mengadakan pertemuan kali kedua dengan Speaker Parlimen sekutu Hizbullah Lubnan, Nabih Berri, yang mengetuai usaha rundingan pengantaraan bagi pihak kumpulan disokong Iran itu.
“Pertemuan semalam mencatatkan kemajuan. Jadi, saya akan bergerak ke Israel untuk cuba menyelesaikan perkara ini jika ia boleh dilakukan,” kata Hochstein kepada pemberita di ibu negara Lubnan.
Selasa lalu, Hochstein berkata, pengakhiran perang berada ‘dalam genggaman’ dan hampir membuahkan hasil. – Berita Harian