Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka membuat undian mengenai deraf resolusi Palestin yang menuntut Israel mengakhiri ‘pencerobohan haramnya’ di ‘wilayah Palestin yang diduduki’ dalam tempoh enam bulan.
Undian itu dijadualkan dilakukan ketika Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang akan berlangsung minggu depan.
Deraf resolusi itu selaras dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai lalu yang menyatakan bahawa pendudukan dan penempatan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan perlu ditamatkan.
Walaupun pendapat mahkamah tertinggi PBB yang dikenali sebagai Mahkamah Dunia menyatakan bahawa ia harus dilakukan secepat mungkin, deraf resolusi UNGA itu menetapkan tempoh enam bulan untuk tujuan berkenaan.
Kumpulan Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) semalam meminta supaya UNGA yang terdiri daripada 193 anggota mengundi pada 18 September ini.
Teks dalam deraf resolusi lapan halaman itu mungkin menjalani perubahan sebelum ia diundi.
Undian berkenaan dijangka diadakan hanya beberapa hari sebelum pemimpin dunia tiba di New York bagi menghadiri perhimpunan tahunan mereka di PBB.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menggesa UNGA menolak sepenuhnya resolusi yang memalukan itu dan menerima resolusi yang mengutuk Hamas serta menyeru pembebasan semua tebusan dengan segera.
Pendapat nasihat ICJ tidak mengikat tetapi berpengaruh di bawah undang-undang antarabangsa dan mungkin melemahkan sokongan untuk Israel, sama seperti resolusi UNGA, juga tidak mengikat tetapi membawa pengaruh politik.
Israel menawan Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur iaitu kawasan bersejarah Palestin yang diinginkan oleh rakyatnya untuk membentuk sebuah negara dalam perang Timur Tengah pada 1967.
Sejak itu, Israel membina penempatan haram di Tebing Barat serta memperluaskannya secara beransur-ansur, yang masih diteruskan sehingga kini.
Pada 27 Oktober lalu, UNGA menggesa supaya ‘gencatan senjata’ segera dilaksanakan. Ia kemudian menuntut ‘gencatan senjata kemanusiaan’ serta-merta pada Disember. – Berita Harian