Seorang pegawai Pertahanan Awam Gaza memberitahu AFP awal Selasa bahawa 40 syahid dan 65 yang cedera ditemui dan dipindahkan ke hospital berdekatan berikutan serangan di dalam zon kemanusiaan Al-Mawasi.
Wilayah yang dibom itu diisytiharkan zon selamat sebelum ini dan terletak di Khan Younis, bandar utama di selatan wilayah Palestin.
Media Palestin turut mengesahkan laporan Reuters bahawa sekurang-kurangnya 40 mangsa terbunuh dan 65 lagi cedera.
Pertahanan Awam Gaza turut memaklumkan sekurang-kurangnya 20 khemah pelarian turut musnah dibedil tentera Israel ketika penghuninya masih tidur di dalam.
Tentera Israel dalam satu kenyataan, berkata pesawatnya telah ‘menyerang tokoh pejuang Hamas penting yang beroperasi di dalam pusat arahan dan kawalan bawah tanah di dalam Zon Kemanusiaan di Khan Younis.
“Pejuang Hamas mara dan melakukan serangan terhadap Pasukan Pertahanan Israel (IDF),” kata kenyataan yang dikeluarkan IDF.
Hamas, kumpulan pejuang Islam yang mengawal Gaza sebelum konflik, menafikan dakwaan Israel bahawa pejuang bersenjata mereka berada di kawasan sasaran, dan menolak tuduhan ia mengeksploitasi kawasan awam untuk tujuan ketenteraan.
“Ini adalah pembohongan jelas, yang bertujuan untuk menghalalkan jenayah keji ini dengan menjadikan Hamas sebagai kambing hitam.
“Hamas telah berulang kali menafikan bahawa mana-mana anggota kami menyertai perhimpunan awam atau menggunakan tempat awam untuk tujuan ketenteraan,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat yang mencari mangsa serangan di al-Mawasi menemui serpihan peluru berpandu Israel dalam kawah sedalam sembilan meter di kem pelarian di selatan Semenanjung Gaza, lapor Al Jazeera Arabic (AJA), memetik sumber tempatan.
Saksi menggambarkan suasana huru-hara di kawasan itu, dengan api semakin marak membakar khemas yang diperbuat daripada plalstik manakala pesawat peninjau Israel terus mengelilingi ruang udara, lapor AJA.
Serangan berlaku berhampiran hospital lapangan yang dikendalikan oleh badan amal Britain, UK-Med, di pintu masuk ke Al-Mawasi.
AJA sebelum ini turut melaporkan mengenai serangan Israel ke atas orang yang berlindung di dalam khemah di kawasan al-Mawasi di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza.
Kawasan pantai al-Mawasi sesak dengan khemah sejak ramai penduduk Palestin melarikan diri ke sana apabila tentera Israel menetapkannya sebagai ‘zon selamat’ semasa pencerobohan daratnya ke atas bandar Rafah dan Khan Younis yang berdekatan.
Dalam perkembangan berkaitan di Tebing Barat, pihak berkuasa Israel menyampaikan notis mengenai niat mereka untuk merampas tanah dari kampung Palestin di Asira al-Qibliya, Burin dan Madama di selatan Nablus, di Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi berita Wafa. – Berita Harian